Online Diary Aku dan Dia..: Yes, Isteriku Pregnant! -Bab 12

Thursday, December 4, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! -Bab 12


Amira termenung. Kepalanya didongakkan ke langit. Orang ramai yang lalu lalang di dataran itu tidak dihiraukan lagi. Fikirannya menerawang kepada perkara lain. Gumpalan awan yang menutupi langit menjadi santapan matanya sejak dari tadi. Pelbagai perkara yang berlaku pada dirinya seolah-olah tergambar pada gumpalan awan itu.
Pada waktu petang atau malam, Persiaran Sungai Bassac yang terletak berhadapan dengan Jalan Utama ke Royal Palace itu memang sibuk dengan kunjungan pelancong atau warga Kemboja sendiri. Bunyi jerit pekik penjaja yang menjual barangan mereka kedengaran di sana sini. Namun Amira tidak mengendahkan keriuhan yang berlaku disekitarnya. Dia tenggelam dengan dunia yang diciptanya sendiri.
Rambutnya yang berwarna hitam kecoklatan itu terbuai-buai disapa angin semilir yang bertiup dari arah sungai Bassac. Amira memejamkan mata. Sungguh nyaman rasanya apabila angin itu menyapa kulit. Apabila membuka mata, sebuah feri yang mempunyai kabin tidur lalu dihadapan. Beberapa orang kanak-kanak yang berada ditebing dataran itu melambai-lambai kearah feri itu walaupun tiada siapa yang menyambut lambaian mereka disitu.
Amira tersenyum. Hatinya terhibur melihat keriangan kanak-kanak itu. Mereka semua kelihatan gembira seolah-olah tidak ada satu pun masalah yang mengganggu fikiran dan hidup mereka. Seolah-olah hanya kebahagian yang menghurung hati mereka disaat ini. Amirah megetap bibir. Walaupun senang dengan keadaan itu, namun terbit perasaan cemburu dihatinya.  Dia tidak berpeluang mengecapi semua itu ketika masih kanak-kanak. Zaman kecilnya banyak diwarnai dengan kabus yang kelam. Apabila mengingati sejarah hidupnya yang lampau, dia hanya mampu menghembus nafas perlahan.
Latar hidupnya tidak seindah mana. Dia adalah seorang gadis yang membesar di rumah anak-anak yatim. Kedua-dua ibu dan bapanya meninggal ketika dia masih kecil. Amira memejamkan mata. Satu persatu kenangan masa silam muncul dibenak. Zaman kanak-kanaknya mula suram apabila ayahnya meninggal dunia akibat terlibat dengan kemalangan jalan raya. Ketika itu dia baru berusia enam tahun. Ibunya pula menyusul selepas itu kerana menghidap kanser payudara.
Amira meneguk air liur. Ada sendu dalam hatinya apabila teringatkan kedua arwah ibu dan ayahnya. Walaupun masih kecil, dia amat mengingati wajah kedua-dua mereka. Wajah-wajah itu begitu terpahat dihatinya sehingga kini. Pemergian orang-orang yang disayangi itu menyebabkan dia dan adik perempuannya yang berusia empat tahun hilang tempat bermanja. Mereka kemudian diletakkan di bawah penjagaan makciknya iaitu adik kepada ibunya.
Namun nasib tidak menyebelahi mereka. Setiap hari mereka berdua akan menjadi mangsa sepak terajang suami makciknya yang juga seorang kaki mabuk. Dia dan adiknya tidak dapat berbuat apa-apa. Malahan, setiap hari mereka dikerah untuk membuat kerja-kerja rumah yang tidak setimpal dengan kudrat kanak-kanak. Makciknya juga bukan seorang yang baik. Mereka dilayan seperti hamba abdi. Makan cuma sekali sehari. Itupun cuma sisa makanan suami isteri itu.
Kemuncak derita apabila dia dengan tidak tersengaja  telah memecahkan gelas di dapur. Makcik dan pakciknya memukul dirinya sehingga kering tekaknya merayu meminta ampun. Pakciknya telah memijak-mijak badannya sehingga dia tidak sedarkan diri. Rupa-rupanya adiknya tidak tahan melihat dirinya dibelasah dengan teruk. Dia berlari keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran-jiran yang berdekatan sambil menangis. Sejurus kemudian, beberapa orang kampung tiba di rumah itu. Pacik dan makciknya terkedu dan tidak menyangka perbuatan mereka itu disaksikan oleh orang lain. Orang-orang kampung yang agak berang dengan sikap tidak berperikemanusiaan suami isteri itu menangkap kedua-dua mereka dan menyerahkan kepada pihak polis atas alasan melakukan perbutan dera.
Mengingatkan adiknya, hatinya  disayat rasa pilu. Besar sungguh pengorbanan yang dilakukan oleh adiknya itu. Jika bukan kerana tubuh kecil itu berlari meminta pertolongan, kemungkinan dia tidak ada lagi di dunia ini kerana kedua suami isteri itu membelasah dirinya seperti orang hilang akal. Apabila membuka mata, air mata yang bertakung sejak dari tadi meluncur laju di pipi. Amira segera mengesat air mata itu. Terasa malu jika orang yang lalu lalang disitu terperasan yang dirinya sedang menangis.  
Mereka kemudian dihantar ke rumah anak-anak yatim sehinggalah mereka terpisah ketika dia berusia sepuluh tahun. Amira masih ingat lagi, ketika itu dia sedang bermain-main dengan adiknya. Tiba-tiba mereka didatangi oleh warden dan sepasang suami isteri.  Rupa-rupanya kedatangan suami isteri itu  ialah ingin mengambil dirinya sebagai anak angkat. Mereka berdua tercengang apabila warden terus mengemas baju dan memimpin tangannya masuk ke dalam kereta. Amira meggeleng-gelengkan kepala. Air matanya mengalir lagi apabila teringatkan wajah adiknya ketika itu.  Suara tangisan adiknya itu masih terngiang-ngiang ditelinganya sehingga hari ini. Seperti adiknya, dia juga tidak mahu mereka berdua terpisah.
Namun ibu dan ayah angkatnya berjanji akan selalu membawa dirinya ke rumah anak-anak yatim itu. Amira lega dan dia berjanji dengan adiknya akan selalu datang melawat. Namun impian itu tidak kesampaian apabila mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur. Ayah angkatnya yang bekerja sebagai anggota polis diarahkan pindah ke sana secara mengejut. Selepas setahun, dia mengajak ibu dan ayahnya melawat adiknya di rumah anak yatim itu. Namun malangnya, adiknya itu sudah tidak tinggal disitu lagi. Semahu-mahu dia menangis apabila mendapat khabar yang adiknya telah diambil menjadi anak angkat oleh sepasang suami isteri dari Johor. Semenjak itulah dia tidak berpeluang lagi berjumpa dengan adik kesayangannya sehinggalah beberapa minggu lepas.
Amira menguakkan rambut kebelakang. Dia telah membuat keputusan nekad. Bulan itu adalah bulan terakhir dia berada di Phnom Penh.  Sudah dua tahun dia bermastatutin di negara Komunis ini berama ibunya dan bekerja di Pejabat Kedutaan Malaysia. Ayahnya telah meninggal dunia lima tahun yang lepas. Dia akan balik semula ke Malaysia bersama ibunya kerana ingin berada dekat dengan adik yang lama terpisah. Itu janjinya kepada arwah ibu dan ayah kandungnya dulu, menjaga dan melindungi Arina!
***
“Abang, janganlah macam ni. Zaliya isteri abang juga. Apapun alasan, dia dah sah jadi isteri abang.” Arina berusaha memujuk Reza. Ketika mengungkap kata-kata itu, hatinya digigit rasa ngilu. Pedih dan mengguris hati.  Mulut sahaja berkata begitu, namun hati tuhan saja yang tahu. Isteri mana di dunia ini yang sanggup berkongsi suami.
“Abang balik rumah Zaliya ye?” Pinta Arina lagi dengan suara yang lirih. Reza memandang wajah isteri kesayangannya itu. Hancur hatinya apabila melihat wajah isteri yang dicuranginya itu. Tapi demi Allah, dia langsung tidak sedar! Dirinya menjadi mangsa ilmu hitam Zaliya, Mak Su dan Zuraini. Mengingatkan mereka bertiga, Reza mengetap bibir. Sakit sungguh hatinya mengingatkan kejahatan mereka yang mahu menghancurkan kebahagiaannya dengan Arina.
“Abang?”
“Ina macam tak suka je abang ada dekat dengan Ina. Dari semalam asyik halau abang pergi je.”
Arina terkelu. Demi Allah, kalau waktu boleh diundur dia akan memastikan semua perkara ini tidak terjadi. Tidak sama sekali! Namun pujukan dan kata maaf dari Zaliya semalam sedikit sebanyak telah melembutkan hatinya.  Wanita itu berkali-kali meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya membomohkan Reza lagi. Dia mengaku benar-benar mencintai Reza.
Walaupun terasa ngilu dihati, Arina pasrah. Ini semua takdir Ilahi. Mahu atau tidak, dia terpaksa menerima hakikat yang Zaliya adalah madunya. Isteri kedua kepada suaminya.  Walaupun hatinya terhiris hebat, namun ini adalah ketentuan yang terpaksa dilalui. Dia wanita, dia faham apa perasaan Zaliya. Walaupun Zaliya tega menyakitkan hatinya dengan mengahwini Reza.
“Abang, Ina cintakan abang dan kalau boleh setiap masa Ina nak abang ada disamping Ina. Abang kan suami Ina.” Ujar Arina dengan suara tersekat-sekat. Umpama ada sesuatu yang menyekat di kerongkong.
 “Sampai hati abang tuduh Ina macam tu.” Suara Arina mula serak. Air mata mula bertakung di kolam mata. Arina cuba bertahan namun rasa sebak dihati serasa tidak terkawal lagi. Dia menutup kedua mukanya apabila menyedari air mata mula mengalir keluar dari tubir mata. Sejurus kedengaran suara esakan Arina memenuhi ruang bilik itu.
Reza terpempan.
“Ina…” Reza segera memeluk tubuh isterinya yang teresak-esak menangis. “Maafkan abang. Abang serabut tadi.” Akui Reza sambil mendakap erat tubuh isterinya itu. Reza mengeluh halus. Dia balik-balik menyalahkan dirinya kerana begitu mudah jatuh kedalam perangkap Zaliya. Ikatan suami isteri bersama Zaliya amat membebankan benaknya sehingga apa yang dilakukannya sekarang ini semua serba tak kena.
“Ina..” Panggil Reza sekali lagi sambil mengusap-usap rambut isterinya itu. “Maafkan abang.” Ujar Reza sambil mencium ubun-ubun Arina.
            “Ina tak kuat bang. Ina rasa perit sangat dalam hati Ina ni.  Hati Ina pedih abang ada isteri lain lagi. Abang janganlah tuduh Ina macam tu.” Suara Arina yang mengongoi dalam dakapannya menerpa cuping telinga dan  terus menusuk ke tangkai hati Reza.
            “Abang minta maaf Ina.”
 “Ina paksa hati Ina jadi kuat. Ikutkan Ina, abang tak payah balik jumpa Zaliya tu lagi. Namun apa daya Ina, dia isteri abang juga. ” Sambung Arina dengan teresak-esak. Terhenut-henjut bahu isterinya itu menahan tangis. Reza memejamkan mata. Selajur sebutir air matanya mengalir di pipi. Hatinya terasa pedih apabila isteri kesayangannya itu terseksa batin. Dia membelai-belai rambut Arina dan mencium rambut isterinya itu.
“Pergilah bang.Please..Ina ok.” Arina mengangkat wajahnya dan memandang wajah Reza. Wajahnya basah dengan air matanya sendiri.  Bersama satu keluhan, Reza memegang kedua-dua pipi Arina. Dia menatap mata redup isterinya itu.
“Ok. Sayang jangan menangis lagi. Petang ni abang balik rumah Zaliya. Hmm?” Akhirnya Reza membuat janji walaupun tidak sepenuh hati. Rasa tidak puas lagi dia bermanja dengan Arina selepas dipulihkan oleh Ustaz Hanafi seminggu yang lepas. Namun dia terpaksa akur demi menjaga hati Arina. Kalau setakat Zaliya, tak ingin dia meninggalkan Arina seorang diri di rumah.
Reza mengesat air mata Arina sebelum meraih semula tubuh isterinya itu ke dalam pelukannya.
***
Rosmah merengus kasar. Sakit sungguh hatinya apabila mengetahui tembelang mereka bertiga telah diketahui oleh semua orang. Kesudahannya, pipinya menjadi mangsa tapak tangan suaminya. Mengingatkan itu, tangannya segera dinaikkan keatas pipi. Bisa tamparan suaminya telah hilang tetapi bisa di hatinya masih pedih sehingga sekarang.
“Kurang ajar punya betina. Aku dah tolong kau macam apa, baki duit aku kau tak bayar. Kau memang nak kena dengan aku!” Rosmah menggenggam penumbuk sambil membebel marah seorang diri. Sakit betul hatinya apabila Zaliya dengan selamba tidak mahu membayar baki duit yang dijanjikan.
Kau buat kerja macamana sampai Reza tahu rancangan aku? Mampus aku tak nak bayar baki duit tu!
Kata-kata Zaliya semalam benar-benar membuatkan hatinya menggelegak. Nasib baik dia berada dalam pejabat Zaliya. Kalau tidak mahu saja dia mengganyang mulut celupar itu!
Zuraini yang baru balik berasa pelik apabila melihat Rosmah bercakap seorang diri di ruang tamu.
Dah kenapa orang tua ni membebel sorang-sorang!
Rosmah menoleh kearah Zuraini yang memandang hairan.
 “Kau kenapa pandang aku macam tu?”
“Aik, pandang pun tak boleh.” Jawab Zuraini seraya meletakkan beg sandang ke atas meja.
“Mak ni dah kenapa bercakap sorang-sorang?” Ujar gadis itu apabila duduk disebelah Rosmah. Kakinya dilunjurkan setelah penat seharian berjalan-jalan di bandar. Dia kemudian menoleh memandang Rosmah yang membisu disisinya dengan kening berkerut.
“Mak…”
“Yang kau sebok kenapa!” Suara Rosmah yang melengking mengejutkan Zuraini. Dia hanya melopong memandang Rosmah yang terus berlalu masuk ke bilik.
***
Sedari tadi Zaliya telah bersiap-siap untuk menyambut kedatangan Reza malam itu. Dia  mengerling sekilas kearah  jam loceng diatas meja solek. Jarum pendek telah merangkak ke angka sembilan.
Awal lagi. Detik hatinya.
Dia tidak menyediakan makan malam kerana menurut Arina, Reza telah makan malam bersama-samanya di rumah. Walaupun terselit rasa sakit hati, namun dia terpaksa mengalah dulu. 
Nanti akan tiba juga masanya Reza menjadi milikku sepenuhnya. Ujar Zaliya perlahan dengan hati yang membusuk. Dia tersenyum senget.
Malam tu, dia memakai baju tidur dari jenis kain satin berwarna merah hati yang cukup menggoda. Dia menggayakan tubuhnya dihadapan cermin. Setelah berpuas hati, dia menyikat rambut ikal berwarna perang miliknya. Rambut asalnya adalah berwarna hitam dan lurus. Walaupun bukan semulajadi, namun dia tetap merasa bangga. Mana-mana lelaki yang memandang dirinya pasti akan terpikat dan jatuh tersungkur. Dia juga yakin Reza juga akan terpikat melihat dirinya malam ini. Zaliya tersenyum lagi.
Tiba-tiba, melalui pantulan cermin dia ternampak kelibat Reza berdiri dibelakang. Hampir sikat yang dipegangnya terlepas dari genggaman. Dia segera memusingkan badan dan menerpa kearah Reza. Dia memeluk lelaki itu dan berulang kali mengucapkan ‘thanks’ kepada Reza. Namun Reza hanya berdiri seperti patung tanpa membalas pelukan Zaliya.
Tiba-tiba tubuh Zaliya terdorong beberapa langkah ke belakang. Zaliya tercengang. Dia memandang wajah Reza.
“Kenapa ni sayang?”
Wajah tanpa riak milik Reza ditatap dengan penuh rasa hairan. Dia cuba memeluk tubuh Reza sekali lagi namun gerakannya terhenti apabila Reza menaikkan lima jari menunjukkan tanda berhenti.
“Cukup Zaliya!”
Zaliya tersentak. Dia memandang wajah Reza tanpa berkelip. Suara Reza yang keras benar-benar membuat dirinya terperanjat. Wajah Reza yang tiba-tiba berubah rona merah membuatkan dirinya berasa gerun.
“Sayang, kenapa ni? Liya..”
“Siapa sayang kau?” Reza memintas kata tanpa sempat Zaliya menghabiskannya. 
“Sayang, kenapa ni?” Soal Zaliya sambil cuba menghampiri Reza lagi.
“Kau jangan nak panggil aku sayang, abang, darling or whatever! Geli telinga aku ni nak dengar.” Mata Reza mencerlung memandang Zaliya dihadapannya. Langkah Zaliya terhenti apabila melihat suaminya itu betul-betul dalam keadaan marah.
 “Arina je yang layak panggil aku macam tu, kau faham tak?” Bentak Reza sambil menuding jari telunjuk menghala ke muka Zaliya.
Zaliya terpempan. Hatinya tiba-tiba bergetar apabila Reza menyebut nama Arina. Rasa sakit hatinya tiba-tiba datang menyerbu.
“Awak ni dah kenapa? Saya isteri awak juga lah!”
“Isteri? Hei, kau dengar sini baik-baik. Kau dah bomohkan aku sampai aku tak ingat apa-apa, sampai aku terkahwin dengan kau sekarang kau nak aku layan kau macam isteri aku? Perempuan jenis apa kau ni hah! Tengking Reza menghampiri seraya menolak tubuh Zaliya ke atas tilam sehingga baju tidur yang dipakainya terselak dibahagian peha. Reza meneguk air liur apabila melihat peha Zaliya yang putih melepak itu. Namun dia segera memadamkan hasratnya yang tiba-tiba menggebu tadi. 
Zaliya tiba-tiba ketawa sambil menepuk-nepuk tilam.
“Sayang, jangan nak jadi hipokrit ok? Liya isteri sayang juga. Tubuh Liya halal untuk sayang. Mari?” Goda Zaliya sambil menghulurkan tangan. Dia mengukir bibir dengan senyuman manis bagi memancing berahi lelaki itu.
Reza yang cuma memerhati kelakuan Zaliya tiba-tiba ketawa kuat. Zaliya segera duduk apabila merasakan Reza seperti memain-mainkannya. Dia hanya memerhati gelagat Reza yang ketawa terbahak-bahak seperti disampuk hantu!
“Cik Zaliya..” Ujar Reza setelah ketawanya reda.
“Opss sorry. Puan Zaliya.” Reza berpura-pura menutup mulut.
“Kau cakaplah apa yang nak kau cakap. Aku cuma nak kau dengar kata-kata aku ni baik-baik.” Raut wajah Reza yang ceria tadi tiba-tiba bertukar serius. Dia bercekak pinggang. Zaliya menanti kata-kata yang terluncur dari mulut lelaki itu.
“Malam ni..” Ujar Reza sambil menunjuk dirinya dengan jari telunjuk.
“Aku bersumpah tak akan sekali-kali akan menyentuh tubuh engkau sampai bila-bila walaupun kau tu bini aku, faham!”
 Usai berkata-kata Reza terus keluar dari bilik itu dan masuk ke bilik sebelah. Zaliya tersentak apabila Reza menghempas daun pintu dengan kuat. Menggigil-gigil dirinya menahan rasa marah.
Rezaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!
***
Di bilik sebelah…

Reza duduk dipinggir katil. Suara amukan Zaliya sudah tidak dipedulikan lagi. Di kepalanya hanya terfikirkan Arina. Tiba-tiba dia menangis semahu-mahunya. Kasihan isterinya itu. Nasib malang seolah-olah tidak putus berkunjung ke dalam hidup Arina. Dan yang paling menyeksa hatinya, dia adalah salah seorang yang menyumbang kepada nasib malang itu. Wanita mana yang sanggup dimadukan?
Walaupun ramai lelaki di dunia ini jika berpeluang ingin mempunyai isteri lebih dari satu, tapi tidak bagi dirinya. Berilah wanita secantik Jessica Alba, namun Arina juga tetap di hati. Kasihnya begitu menggunung kepada isterinya itu.
Alangkah indahnya andai waktu-waktu ini aku sedang berbahagia dengan Arina di rumah. Bukan menghadap amukan Zaliya di rumah neraka ini. Getus Reza sendiri sambil mencebik. Sakit betul hatinya apabila Zaliya mencuba cara kotor demi mendapatkan dirinya.
Jika bukan Arina yang meminta dia datang, tak ingin dia mengunjungi Zaliya.  Akhirnya Reza melelapkan mata tanpa mahu memikirkan masalah yang memberat dikepalanya ketika ini. Jerit pekik Zaliya seumpama polong di bilik sebelah pun tidak dihiraukannya lagi.
Memekiklah engkau sampai pagi! Reza terus menarik selimut menutup mukanya. Tidak berapa lama kemudian kedengaran dengkuran kasar lelaki itu yang membuatkan Zaliya yang berada di bilik sebelah bertambah sakit hati!
***
I love you sayang...








Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

2 comments :

  1. Mcm mana nak hapuskan Zaliya tu? Tak suka dia..menyampah..hahaha ^^, TQ ada update baru..hari2 bukak blog ni..^_^V

    ReplyDelete
  2. Hehe. Tq Mirei May. Insyaallah saya akan cuba habiskan cerita ini bab demi bab sehingga cerita ini tamat.;-)

    ReplyDelete

Hai, siapa yang cute tu? Komenlah disini.

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen