Online Diary Aku dan Dia..: Yes, Isteriku Pregnant! - Bab 13

Monday, December 15, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! - Bab 13


“Minumlah.” Ujar Syikin sejurus menyedut jus oren yang baru dihidangkan oleh pelayan restoran itu. Matanya ralit merenung wajah bujur sirih Arina yang hanya memandang gelas dihadapannya.
Perlahan-lahan Arina mencapai jus mangga itu dan menyedutnya perlahan. Namun kemanisan dan kedinginan minuman itu langsung tidak menyegarkan hatinya. Dirinya umpama tidak berpijak di bumi nyata. Syikin kasihan melihat wajah muram Arina. Dia segera memegang tangan Arina sambil menatap wajah sugul itu.
“Sabar Arina. Mungkin ada hikmah disebalik semua yang berlaku ni.” Pujuk Syikin apabila melihat sahabatnya itu seperti kehilangan semangat. Perlahan-lahan bibir Arina mengukir senyum. Namun apa yang nyata, senyuman itu tampak dibuat-buat pada penglihatan mata Syikin. Hatinya tiba-tiba dipagut rasa sedih. Sedih apabila melihat kepura-puraan Arina.  Kalau dirinya berada di tempat Arina, dia pun tidak pasti samada dia boleh atau tidak menerima kenyataan sekiranya dimadukan. Cerita Arina sebentar tadi betul-betul membuatkan dia merasa sakit hati. Dirinya dan Arina seperti cubit peha kanan, peha kiri terasa sama!
Kalaulah Asyraf kahwin lagi satu, mau pengsan aku. Gumamnya lagi.
“Aku ok Syikin. Lagipun, ini bukan salah suami aku.”
Syikin terkedu. Arina masih mampu bersabar walaupun dirinya dimadukan.
“Eleh, kalau ok, kenapa muka tu monyok je?” Soal Syikin kemudian. Mimik wajahnya kelihatan tidak berpuas hati.
Tiba-tiba telinganya tertangkap tawa halus Arina. Maka makin berkerut keningnya melihat keletah wanita itu.
Dah sewel ke apa. Rungutnya. “Apa yang lucu?”
“Lucu tengok muka kau tu, risau sangat. Err..aku datang bulan lah. Tu lah mood tak berapa nak ok sangat ni. Jangan risau, Reza dah layan aku macam dulu, macam mula-mula kahwin.” Sahut Arina sambil tersenyum. Masih nampak dibuat-buat!
Syikin mencebik. Lagi nak backing suami dia yang tak guna tu! Cemuhnya dalam hati. Walaupun Arina telah menceritakan semua kejadian sebenar, namun hatinya  masih belum mampu menerima yang Reza berkahwin lagi.
Ahhhh, lelaki mana yang tak nak beristeri lebih dari satu! Monolognya lagi.
“Tak faham aku dengan kau ni. Suami kau tak nak jumpa si Zaliya miang tu, kau paksa dia pergi jumpa. Isk, kalau aku memang tak lah. Dahlah betina tu rampas suami orang.” Akhirnya Syikin meluahkan rasa tidak puas hati yang terbuku sejak tadi. Sakit betul hatinya apabila membayangkan sikap wanita yang merampas suami teman baiknya itu.
“Kalau aku, dah lama aku tomoi betina tu.” Kembang kempis hidung Syikin menahan rasa geram di hati. Dia menggengam kedua-dua penumbuknya sambil melayangkan buku lima seolah-olah sedang beradu dalam gelanggang boxing.
 “Kau ni tak padan dengan kecik, garang betul!” Suara tawa Arina tiba-tiba meledak kuat. Dia segera menutup mulut apabila perasan suaranya mungkin mengganggu pelanggan lain. Kemudian dia memandang Syikin semula. Gelihati sungguh dia melihat aksi spontan Syikin seperti peninju hendak beradu tenaga itu.
Tak senonoh betul minah ni, lagi nak buat macam tu. Selorohnya dalam hati. Syikin hanya menjeling geram apabila melihat Arina mentertawakannya.
“Aku ni walaupun tinggi Cuma 155cm, setakat nak sepak muka dan terajang orang tu boleh sangat. Kalau tak sampai, hah aku lompat la sikit.”
Bertambah kuat suara Arina ketawa apabila mendengar loyar buruk daripada Syikin.
 “Wah kalau macam tu aku dah boleh lantik kau jadi pengawal peribadi aku, belasah si Zaliya tu.” Gurau Arina sambil membesarkan matanya. Kini  giliran Syikin pula ketawa mendengar kata-kata Arina.
“Alaaa, no hal lah setakat terajang betina gedik tu. Dengan satu kaki aku ni je, betina tu boleh terbang tau.” Sahut Syikin sambil menunjukkan sebelah kakinya ditepi meja makan. Akhirnya dia ketawa sama apabila melihat Arina terkekeh-kekeh ketawa. Kali ini, barulah tawa Arina tidak nampak dibuat-buat!
Mereka berdua terdiam apabila pelayan restoran itu menghantar makanan yang dipesan. Usai mengucapkan terima kasih, mereka menikmati hidangan masing-masing sambil berbual.
            “Aku baru pergi holiday kejap, dah macam-macam benda jadi kat kau ni. Nasib baik Nazirah ada kat JB. Kalau tak aku pun tak tau apa jadi pada kau. ” Ujar Syikin tiba-tiba. Dia mengeluh perlahan sambil merenung wajah Arina yang kelihatan suram. Dia tahu, pasti wanita itu bersedih lagi.
“Aku rasa kau ni kena mandi bunga lah. Biar naik sikit seri muka kau tu. Dah macam kambing gurun aku tengok.”
            Arina yang sedang enak menyuap makanan tiba-tiba tersedak. Dia memegang dadanya sambil terbatuk-batuk. Matanya berair akibat tercekik makanan. Dia segera mencapai gelas dihadapan dan menyedutnya laju. Syikin yang menyangka Arina cuma bergurau terkekeh-kekeh ketawa.  Arina menjeling geram kearah Syikin apabila batuknya mula reda.
            Mangkuk hayun punya member. Boleh dia cakap muka aku yang macam Kristine Hermosa ni serupa kambing gurun!
            “Engkau lah, macam Isko.”
Terburai tawa Syikin apabila mendengar kata-kata Arina.  Dia amat mengetahui watak lelaki tua dalan cerita Pangako Sa Yo itu. Tak baik Arina! Syikin ketawa lagi.
            “Kau tak baik tau kutuk orang macam tu.” Ujar Syikin dengan tawa yang masih bersisa. Arina mencebik memandangnya.
            “Eleh, kau kutuk aku takpe pula.”
            “Kutuk aku takpe, ni kau babitkan Isko sekali dah kenapa.” Syikin ketawa lagi. Arina yang pada mulanya terkulat-kulat memahami kata-kata Syikin akhirnya ketawa sama.
            Isk, tak baik aku ni. Arina sedar sendiri dalam hati. Dia memandang Syikin yang tak habis-habis membuat lawak. Tak kering gusi apabila duduk melepak dengan Syikin. Ada sahaja perkara yang menjadi bahan jenakanya. Sedikit sebanyak, tekanan yang membeban dihatinya ketika ini terubat seketika.
            “Hah, dah pukul 6.00 petang. Jomlah aku hantar kau balik.” Sergah Syikin tiba-tiba apabila kedua-dua mereka selesai makan.
Arina merenung jam di pergelangan tangan. Dia mengeluh halus.
 “Syikin, aku tak balik rumah malam ni. Reza takde.. aku sunyilah.”
            Syikin memandang wajah Arina dengan kening berkerut.
“Habis kau nak pergi mana malam ni? Nak merayap sorang-sorang?
Laju Arina menggeleng.
“Habis kau nak ke mana? Ish, tu lah..kau ni, takde masalah cari masalah. Reza tak nak pergi rumah Zaliya kau paksa dia. Sekarang diri sendiri yang rasa sunyi kan? Eh malaslah aku nak nasihatkan kau ni. ” Panjang berjela leteran dari Syikin yang terpaksa ditadah oleh cuping telinga Arina.
            “Alaa..takpelah. Aku takut kalau makin dikawal, nanti makin lain jadinya.”
Syikin cuma menjungkitkan bahu sambil membentuk-bentuk bibir.
“Suka hati kau lah. Tapi kalau aku, jangan harap aku nak lebih kurang dengan betina macam tu.” Ujar Syikin sambil menuding jari telunjuk  ke arah dirinya sendiri.
“Aku lepak kat Pan Pac, dah booking bilik semalam. Membebel macam mak nenek lah kau ni.” Akui Arina akhirnya. Kini giliran dia pula membentuk-bentuk mulutnya.
            “Banyak sangat duit kau lepak kat Pan Pac? Ke kau pun dah pasang sugar daddy? Sergah Syikin tiba-tiba dan membuatkan Arina menendang kakinya.
            “Sugar daddy engkau. Kau ingat aku ni sengkek sangat ke? Ni Nazirah bagi aku baucarlah. Free of charge aku tidur kat sana.” Bidas Arina bersungguh-sungguh.  Syikin cuma ketawa sambil mengerutkan kening. Bibirnya berkali-kali berdesit kerana kesakitan
            Gila minah ni, macam takde tempat lain nak sepak. Tulang kering aku juga yang jadi mangsa!
“Alaa...gurau pun tak boleh. Garang betul Puan Arina kita ni semenjak dah bermadu ni.” Seloroh Syikin lagi menyebabkan Arina membuntangkan kedua-dua matanya.
            “Malas aku nak layan kau. Dahlah hantar aku balik.” Rajuk Arina mula memuncungkan mulut. Dia terus bangun dan meninggalkan Syikin. Syikin ketawa dan terkocoh-kocoh bangun menyaingi Arina. Dia menyucuk-nyucuk pinggang wanita itu yang cuba mengelak-elak darinya. Akhirnya kedengaran tawa riang dari kedua-dua mereka yang berjalan beriringan menuju kereta.
***
            “Amira Zalikha Binti Yusoff @ Rosales. Diploma Sains Kesetiusahaan Politeknik Port Dickson”            
            “Ye saya encik.”
            “Kenapa berhenti kerja government? Soal lelaki separuh abad itu sambil merenung tepat wajah Amira. Cantik betul gadis dihadapannya itu. Wajahnya seperti ada darah campuran. Di tambah lagi dengan rambutnya yang kecoklatan menambahkan lagi seri wajah yang bermata coklat itu. Dia yakin, semua milik wanita itu adalah asli. Lagipun wanita itu memang berwajah Pan Asean. Seketika dadanya berdetak laju seperti dipalu-palu apabila melihat ukiran mata gadis itu. Sungguh memikat hati!
            “Saya terpaksa encik.” Sahut Amira perlahan. Dia berasa sedih kerana terpaksa melepaskan jawatan sebagai setiausaha di Pejabat Kedutaan Malaysia, Phom Penh. Sementalahan pula kerja itu tetap dan berpencen, lagilah dia terasa sayang. Namun demi kerana Arina, dia sanggup berkorban. Dia tidak sanggup membiarkan adiknya itu menderita seorang diri. Luahan hati adiknya ketika pertemuan mereka di Phnom Penh beberapa minggu lepas amat meruntun jiwa wanitanya. Pesanan ringkas yang dihantar oleh adiknya tiga hari lalu membuatkan semangatnya semakin kuat untuk duduk dekat dengan adiknya itu.
            Kesian Arina, umur muda dah dimadukan. Keluhnya dalam hati apabila mengingati isi pesanan ringkas itu.
“Terpaksa?” Soal lelaki hairan. Amira mengangguk perlahan.
            “Personal problem, encik.” Ringkas jawapan Amira tanpa mahu memanjangkan sebab musabab kenapa dia melepaskan jawatannya dahulu.
            Lelaki itu cuma mengangguk-anggukan kepala.
            “Ok takpe. Mungkin terlalu peribadi kan? Saya tak nak paksa awak. So bila boleh start kerja? Tomorrow, boleh?” Saran lelaki itu tiba-tiba.
            Amira terkedu. Macam tu je ke interviewnya? Soalnya dalam hati. Tak sampai dua minit. Namun malas memikirkan hal itu Amira terus mengangguk laju.
            “Boleh sangat encik.” Ujarnya girang. Lelaki itu ketawa dan menyerahkan fail Amira semula.
            “Ok, kalau macam tu awak boleh datang bekerja besok. Esok pagi-pagi awak terus jumpa Nancy kat depan untuk lapor diri.”
            “Terima kasih banyak encik. Err.. kalau takde apa lagi saya minta diri dulu.” Sopan Amira meminta kebenaran. Dia segera bangun dengan bibir tidak putus-putus mengukir senyuman.
            Lelaki itu menganggukan kepala dan  memerhati langkah Amira yang ingin memulas tombol pintu.
            “Err..Amira…”
 Spontan wanita itu menoleh kearahnya. “Ye encik?”
            “Buat permulaan, saya bagi gaji  sebanyak tiga ribu belum termasuk elaun.”
            “Ya Allah, banyak tu. Terima kasih banyk-banyak encik. Saya berjanji, encik takkan kecewa dengan saya.” Ujar Amira tersenyum manis. Dia memulas tombol pintu dan meninggalkan ‘bakal bos’ nya itu dengan hati yang girang. Dia langsung tidak menyangka rezekinya akan datang secepat itu.
            Alhamdulillah. Syukurnya .
            Sementara Faizul yang telah kehilangan kelibat Amira masih lagi tersenyum. Wajah Amira betul-betul menawan hatinya ketika ini. Akhirnya dia ketawa kecil sambil menyelak-nyelak fail yang bertimpa-timpa di atas meja. Penangan bakal “PA” barunya membuatkan senyumannya meleret-leret secara tiba-tiba.
***
            “Hello, Zana ke ni?”
            “Angah ye? Jap Zana panggil mama.”
            “Eh Zana…” Laungan Reza terhenti setakat itu apabila telinganya mendengar bunyi gagang telefon diletak kasar ke atas meja. Dia mengeluh halus. Nampak sangat adiknya yang manja dengan dirinya sebelum itu masih marah.
            Zana belum tahu  cerita sebenar.  Gumam Reza bermonolog. Dia memicit-micit dahi yang tidak sakit. Perubahan sikap semua ahli keluarganya menyebabkan hatinya bagai dicarik-carik.
            Ini semua angkara si Zaliya gila tu. Sumpahnya lagi dalam hati. Dia menjeling pintu tandas dimana Zaliya berada. Kesempatan itu digunakannya untuk menghubungi ahli keluarganya.  
Ikutkan hati, mahu saja dia menerajang pintu tandas itu dan diri Zaliya sekali. Namun dia segera beristighfar. Ini adalah ketentuan yang ditakdirkan oleh Allah untuknya. Mahu atau tidak, dia terpaksa menerimanya dengan hati yang terbuka.
            “Assalammualaikum Angah.” Sayup-sayup dihujung sana kedengaran suara mama memberi salam. Hati Reza menjadi sejuk sebaik sahaja mendengar suara wanita yang melahirkannya itu.
            “Waalaikumsalam. Mama sihat?” Jawab dan soal Reza sekaligus. Hatinya tiba-tiba digayuti rasa pilu sebaik sahaja  mendengar suara Datin Khadijah.  Dia tahu, ibunya itu masih marah pada dirinya. Ini dibuktikan semasa pernikahannya dengan Zaliya tidak ada seorang pun ahli keluarganya yang datang menjenguk, termasuk Datin Khadijah.
            “Alhamdulillah mama sihat. Angah Sihat?” Suara datin Khadijah lunak menyoal.
            “Angah sihat ma.” Jawab Reza sambil mengetap bibir. “Mama, maafkan Reza.” Pintanya setulus hati. Telinganya terdengar keluhan halus ibunya disebelah sana.
            “Mama dah tau cerita sebenar. Nazirah dan Nazim dah ceritakan semuanya semalam.”
Reza terpempan. Hatinya berdebar-debar menunggu respon Datin Khadijah seterusnya.
“Mama tak sangka, jahat betul perempuan tu. Sanggup jumpa bomoh gara-gara nak dapatkan lelaki yang dia suka.” Suara Datin Khadijah kedengaran mendengus.
Reza segera menenangkan ibunya. Apabila keadaan kembali terkawal Reza bertanya pula mengenai ahli keluarganya yang lain.
“Papa, Zana, Along dah tahu ke pasal ni mama?”
“Papa kamu dah tahu. Mama dah cakap semalam. Cuma Zana dan Along lagi mama tak sempat bagitahu. Mungkin kejap lagi.”
Reza menarik nafas lega. Jiwanya terasa lapang apabila ahli keluarganya telah mengetahui cerita sebenar. Jadi mereka tahu yang dirinya langsung tak bersalah.
“Mama…” Ujarnya perlahan.
“Kenapa Angah?” Suara Datin Khadijah tiba-tiba bertukar nada sayu seolah-olah memahami kekusutan yang dihadapi oleh anak lelakinya itu. Dia berasa bersalah kerana bersangka buruk terhadap Reza selama ini.
“Angah nak ceraikan Zaliya.” Ucapnya spontan. “Angah tak sanggup melihat Arina terluka. Angah terlalu sayangkan Arina.” Selajur wajah isteri kesayangannya itu bermain-main diruang mata.
Datin Khadijah terkejut apabila mendengar pemintaan Reza. Ikutkan hati, dia bersetuju sahaja dengan kehendak Reza. Namun melalui pertimbangan akal fikiran, dia cuba menasihati anaknya itu. Tidak molek rasanya kalau dia menjadi batu api dalam permasalahan anak-anaknya. Lagipun bercerai adalah perkaara halal yang tidak disukai Allah.
“Angah, minta petunjuk daripada Allah. Buat solat Istikharah. Insyaallah nanti Angah akan menemui jalannya.” Nasihat Datin Khadijah sebelum mereka mengakhiri perbualan pagi itu.
Reza merenung telefon bimbit ditangannya. Dia berkira-kira ingin menghubungi Arina. Namun hasrat itu dipadamkan bila memikirkan sekejap lagi dia akan balik menemui isterinya itu. Arina tidur di hotel malam tadi. Semalam Arina menghantar pesanan ringkas dan meminta dia menjemput  isteriya itu pukul 9.00 pagi di lobi hotel Puteri Pan Pasific. Reza tersenyum. Terasa tidak sabar hatinya ingin memeluk Arina.
Apabila hendak bangun meninggalkan apartment itu, tiba-tiba Zaliya tergopoh-gopoh keluar dari pintu tandas. Reza tidak dapat mengelak apabila Zaliya terus memeluk tubuhnya.
“Adoi, kau kenapa?” Soal Reza tidak senang dengan perlakuan Zaliya. Dia menolak lembut tubuh Zaliya. Namun Zaliya memberi reaksi yang sebaliknya. Matanya bersinar-sinar memandang Reza. Bibirnya dihiasi dengan senyuman manis.
“Sayang…”Ujar Zaliya manja. Reza cuma mencebik mendengar ungkapan itu. Namun Zaliya tidak peduli. Dia mencapai tangan Reza dengan sebelah tangan. Sebelah tangan lagi dia memegang satu benda yang berbentuk panjang dan berwarna putih. Zaliya menggerakkan-gerakkan benda itu dengan gerakan badannya sekali.
“Apa hal engkau terkinja-kinja ni?”
“Cuba teka.”
“Eh, aku takde masa lah. Apa dia?”
“Liya dah pregnant!
Ungkapan yang terkeluar dari mulut Zaliya membuatkan mulut Reza melopong. Tiba-tiba lututnya menggeletar.
Pregnant? Bila masa aku sentuh dia?
***
Suasana berbalam dan tenang di D’Coast  menenangkan jiwa Arina seketika. Dia memesan sebotol sparkling juice. Sambil meneguk minuman itu, matanya diarahkan ke pentas kecil dimana tiga orang gadis cilik dan seorang lelaki yang agak berumur menyanyikan pelbagai lagu. Mereka semua adalah kumpulan dari Filipina dan merupakan penyanyi di D’Coast. Salah seorang dari gadis itu melambai-lambai kerah Arina. Arina membalas lambaian itu sambil tersenyum manis. Kemudian gadis itu menunjukkan isyarat ibu jari.
Arina ketawa. Sebentar tadi gadis itu datang ke mejanya dan meminta dia membuat permintaan lagu. Gadis itu mengenalinya kerana sudah dua kali dia datang ke situ. Pertama kali apabila Reza membuat surprise untuk dirinya dengan membuat candle light dinner pada ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Kali kedua ketika dia mengunjungi Nazirah di  Hotel Puteri Pan Pasific ini, wanita itu membelanja dia makan disini. Ketiga-tiga gadis itu memuji-muji Arina dan menyatakan wajah Arina persis pelakon terkenal di negara mereka, Kistine Hermosa. Arina tersenyum.
Sejurus cuping telinganya tertangkap suara lelaki Filipina itu menyanyikan lagu permintaannya, How can I tell her about you nyanyian Lobo. Arina berasa terhibur. Lagu itu adalah lagu kegemarannya. Sementalahan pula suara lelaki Filipina itu seakan-akan suara Lobo. Sementara ketiga-tiga gadis itu bertindak sebagai suara latar. Arina tersenyum manis dan sesekali bibirnya mengikuti bait-bait lagu itu. Dia bertepuk tangan selesai sahaja kumpulan itu menghabiskan nyanyian mereka.
Kira-kira pukul 10 malam, Arina meninggalkan ruangan itu dan kembali semula kebiliknya di tingkat 8 hotel itu. Arina melambai-lambaikan tangan kearah gadis-gadis cilik itu. Tanpa disedari, segala perlakuan wanita itu telah menarik minat salah seorang pengunjung disitu!
***

           
           
           



                       
           




Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

2 comments :

  1. terbaik...best sgt...tak sabar nak tunggu sambungan lagi..hehe

    ReplyDelete

Hai, siapa yang cute tu? Komenlah disini.

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen