Online Diary Aku dan Dia..: Yes, Isteriku Pregnant! -Bab 18-

Friday, April 3, 2015

Yes, Isteriku Pregnant! -Bab 18-


Terkocoh-kocoh Airil turun dari biliknya. Rambutnya kelihatan kering dan berserabut, tidak kemas seperti selalu. Sambil menapak menuju ke rak kasut bersebelahan pintu, dia menguap sambil menutup mulut. Matanya terasa masih berat namun oleh kerana tuntutan tugas, dia menggagahkan diri untuk bangun pagi tadi. Solat subuh juga dia terlepas hari ini!
Sebaik sahaja membuka pintu rak kasut, bau harum ‘ambi pur’ segera menerpa hidungnya. Ahhh..segar…
Pewangi berbentuk gel berwarna ungu itu sengaja diletakkan disitu oleh ibunya bagi menghilangkan bau kepam.
“Airil tak sarapan dulu?” Suara Hajah Noraida tiba-tiba memecah sepi pagi itu. Matanya ralit memerhatikan kelakuan anak lelakinya yang kelihatan tergopah-gapah dan tertunduk-tunduk mencari kasut.
Kenapa pula budak ni bangun lambat!
Hajah Noraida hanya menggeleng-gelengkan kepala. Beg sandang yang sengaja disilangkan ke belakang oleh Airil dipandang lucu olehnya.
Biasanya doktor pergi klinik bawa briefcase, anak aku ni macam nak gi jalan-jalan pulak!
Gerak geri Airil terhenti apabila mendengar sapaan itu. Wajahnya yang terhalang oleh penutup rak itu dinaikkan sedikit bagi melihat wajah ibunya. Sejurus wajah lembut Hajah Noraida tertancap di mata. Kemudian pandangannya dihalakan ke atas meja makan. Sarapan telah tersedia disitu. Tiba-tiba dia berasa serba salah. Akhirnya dia bangun dari mencangkung. Langkahnya diatur perlahan menuju ke meja makan. Hajah Noraida tersenyum memandangnya sambil menarik kerusi untuk anaknya itu.
“Ermmm…nasi lemak! Mesti sedap ni.” Puji Airil sebaik sahaja melabuhkan punggungnya disitu. Hajah Noraida membubuh ikan bilis, kacang, timun, telur dan sambal ke atas nasi sebelum menghulurkannya kepada Airil. Dia kemudian duduk berhadapan anak lelakinya itu.
“Aik, belum makan dah cakap sedap.” Ujar Hajah Noraida menjeling sekilas. “Kenapa Airil bangun lambat ni? Tak pernah-pernah buat perangai macam ni? ”
Airil cuma tersengih. Sebenarnya dia cuba mengelak dari soalan itu, namun Hajah Noraida lebih cekap membaca segala tindak tanduknya.
“Subuh tadi ibu dah kejut kan? Airil dah duduk pun masa tu? Ni mesti dah tinggal sembahyang subuh, kan?” Soal Hajah Noraida lagi.
“Orang tertidurlah bu. Tak sengaja.” Jawab Airil tersengih. Hajah Noraida hanya menggeleng mendengar jawapan ‘selamba badak’ anaknya itu.
Bertuah punya budak, boleh dia tidur balik lepas dah kejut tadi!
“Banyak nyamuklah semalam bu. Orang tak boleh nak tidur. Balik-balik terjaga.” Sambung Airil lagi sambil terus menyuap nasi lemak ke mulutnya. Rasa pedas dan sedikit manis sambal Hajah Noraida betul-betul merangsang deria rasa. Memang tidak dinafikan, ibu kesayangannya itu memang juara dalam bidang memasak-masak. Apa saja yang dimasak oleh Hajah Noraida benar-benar memenuhi seleranya.
Airil tersenyum senang. Dia berasa bersyukur mempunyai seorang ibu seperti Hajah Noraida.  Bertuah sungguh rasanya apabila ditatang bagai minyak yang penuh walaupun dirinya bukan muda lagi!
Airil mencuri-curi memandang ibunya apabila terasa dirinya sedang diperhatikan.
Mak oi!
Hampir tertanggal jantungnya apabila Hajah Noraida masih merenung dirinya yang sedang enak melantak nasi lemak itu. Dia segera memperlahankan kunyahan. Wajah berkerut ibunya ditatap resah. Perlahan-lahan bibir tua itu mengukir senyum.
“Kenapa ibu senyum?” Soal Airil yang mula tidak senang.
“Senyum pun salah?” Soal Hajah Noraida selamba sambil mencapai teko dan menuangkan kopi ke dalam cawan.
“Betul lah bu. Banyak nyamuk semalam. Orang tak boleh tido.”
“Ye tau. Kenapa kalut sangat ni?”
“Ibu tu mesti fikir bukan-bukan.”
Hajah Noraida ketawa kecil. Nyamuk gigitlah sangat!
“Dah, makan cepat. Nanti lambat sampai klinik.”
Airil mengangguk. Usai menghabiskan makanan, dia segera bersalam dengan Hajah Noraida dan mencium kedua-dua pipi ibunya. Hajah Noraida masih tersenyum seperti tadi namun Airil buat-buat tidak faham.
“Airil gerak dulu lah bu.”
“Ye lah, hati-hati bawa kereta tu.” Pesan Hajah Noraida kemudian. Dia menghantar Airil sehingga ke muka pintu. Dia memerhatikan Airil sehingga susuk tubuh anaknya itu hilang dalam porch yang bertutup. Sejurus kereta anaknya itu mundur dan terus meluncur pergi.
Hajah Noraida menggeleng-gelengkan kepala. Ulah anak lelakinya itu saling tak tumpah seperti ketika dia mula-mula jatuh cinta dengan arwah isterinya dulu.
Mudah-mudahan Airil dah bertemu pengganti arwah Afraniza. Doa Hajah Noraida  dalam hati sebelum menapak keluar dan menutup pintu pagar.
***
Rosmah duduk di anak tangga terakhir rumahnya. Dia mengesat air mata yang mengalir di pipi dengan menggunakan selendang yang dipakainya. Hidungnya merah dan matanya bengkak akibat terlalu banyak menangis. Orang kampung yang datang seorang demi seorang telah balik ke rumah masing-masing selesai sahaja majlis pengebumian tengahari tadi.
 Rosmah berasa sunyi. Dunianya terasa kelam. Dia bangun dan memusing memandang kebelakang. Rumah mereka sekeluarga ditatap sayu olehnya. Kemudian dia menapak perlahan kearah pangkin yang terletak dibawah kolong rumah. Matanya segera tertancap kearah motor milik Pak Zali yang telah rosak berdekatan pangkin itu. Hatinya kembali dirundung rasa pilu. Dengan langkah terketar-ketar dia menapak perlahan ke pangkin itu. Sebaik sahaja melabuhkan punggung dia mengusap-usap motosikal milik arwah suaminya seolah-olah dia mengusap wajah Pak Zali.
 Kehilangan suami dan anak sekaligus dirasakan telah meragut separuh daripada nyawa. Arwah Pak Zali dan Zuraini telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Kedua-dua mereka meninggal pada hari yang sama semalam. Pak Zali meninggal ketika menungggang motosikal menuju ke surau. Arwah suaminya jatuh dari kenderaan tersebut dan meninggal di tempat kejadian akibat serangan strok dan kecederaan parah di kepala. Sementara Zuraini…
Rosmah terus menangis teresak-esak apabila mengenangkan nasib anak gadisnya itu. Zuraini telah ditemui dalam keadaan hampir bogel didalam semak dan dia disyaki diperkosa sebelum dibunuh.
“Ya Allah anak aku, suami aku…Ya Allah.” Rosmah mengongoi seperti anak kecil. Kucing arwah Zuraini yang sedang tidur diatas pangkin itu terjaga apabila mendengar suara tangisan Rosmah. Dia bangun dan menggeliat sebelum duduk menghadap wajah wanita itu. Rosmah segera membelai tubuh haiwan kesayangan anaknya itu.
“Zu dah takde, Koci.” Adu Rosmah seolah-olah binatang itu memahami kata-katanya. Koci terus mengiau apabila melihat tuannya itu terus-terusan menangis. Dia menggesel-geselkan badannya di peha Rosmah seperti turut sama berduka dengan kejadian itu. Rosmah segera mengangkat tubuh Koci dan meletakkannya diatas riba. Dia tunduk sambil membelai-belai bulu kucing kesayangan arwah Zuraini itu.
“Mungkin ini dosa-dosa aku menganiaya Arina, kan Koci?” Kucing itu terus mengiau sambil menggeliat manja di peha Rosmah. Sesekali dia menatap wajah wanita itu seperti memahami setiap patah yang diucapkan oleh Rosmah.
Rosmah teresak-esak lagi. Perit sungguh rasa dihati apabila ditinggalkan oleh orang-orang yang disayangi. Dia merasakan seperti sebatang kara di dunia ini.
“Hanya kau je yang aku ada sekarang ni, Koci…”
“Mak Su.”
Rosmah tersentak. Suara lembut Arina tiba-tiba menerpa cuping telinga. Dengan muka sembab, dia mengangkat wajah mengikut alunan suara lembut itu.
“Mak Su mari makan.” Pelawa Arina yang sudah pun berdiri dihadapannya. Senyum yang terukir di bibir anak buahnya itu amat memilukan hati.
“Arina…”
“Dari siang tadi Mak Su tak makan. Nanti Mak Su sakit.”
Bibir Rosmah terketar-ketar menahan getar dihati. Dia mengangkat tubuh Koci dan meletakkannya di atas pangkin. Kemudian dia terus bangun dan memeluk Arina.
“Maafkan Mak Su Arina. Maafkan Mak Su. Mak Su menyesal menganiaya hidup kamu dulu. Maafkan Mak Su. Mungkin ini balasan tuhan kepada Mak Su.” Pinta Rosmah berkali-kali.
“Mak Su..” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Arina.
“Kerana Mak Su hidup kamu terseksa. Maafkan Mak Su nak. Mak Su menyesal.” Ucap Rosmah meleraikan pelukan sambil mengangguk-anggukan kepala tanda dia bersungguh-sungguh memohon ampun. Suaranya diselangi dengan esakan tangis yang tidak surut-surut dari tadi.
Arina berasa kasihan. Dia sudah tidak mahu memikirkan hal itu. Dia menggenggam kedua-dua tangan Rosmah sebelum mengukir senyum.
“Saya dah lupakan semuanya Mak Su. Mungkin semua ini telah ditakdirkan untuk saya. Saya pasrah.”
Rosmah menggeleng-gelengkan kepala. Bahunya masih terhenjut-henjut menahan esak.
“Dah, dah.Tak mau nangis macam ni. Apa yang penting sekarang Mak Su makan dulu. Saya dah masak nasi, cencaru sumbat sambal terutup dan sup sayur ni. Mesti Mak Su suka.” Ujar Arina tersenyum lagi sambil menunjukkan bekas makanan yang dibawanya. Dia tersengih menunjukkan barisan giginya yang tersusun cantik. Sebenarnya, dia sedaya upaya untuk menggembirakan hati Rosmah. Walaupun wanita itu pernah menyakiti hidupnya namun dia tidak pernah berdendam. Rosmah adik kepada arwah ibunya dan dia amat menyayangi wanita itu.
Keikhlasan yang terpancar pada wajah Arina membuatkan hati Rosmah semakin sayu. Dia tahu, disebalik senyum anak buahnya itu terselit duka yang tak mampu terungkai. Rosmah teresak-esak lagi.
“Laa..kenapa ni Mak Su? Dah jangan menangis macam ni. Saya ada ni. Saya takkan tinggalkan Mak Su.” Pujuk Arina lagi. Dia betul-betul risau apabila melihat keadaan Rosmah yang tidak terurus itu.
“Mak Su betul-betul rasa bersalah dengan kamu nak.” Ujar Rosmah sayu. Dia benar-benar diamuk rasa kesal. Tiba-tiba dia berasa terpanggil untuk menceritakan segala-galanya kepada Arina.
“Mak Su, saya dah lama maafkan Mak Su dan arwah Zuraini. Sedikit pun takde rasa dendam dalam hati saya ni. Saya…”
“Tidak Arina. Mak Su mesti bagitahu kamu satu perkara.” Rosmah terus memintas tanpa sempat Arina menghabiskan kata-kata. Dia memegang kejap bahu Arina sambil anak matanya merenung tepat kedalam anak mata wanita itu.
***
Beberapa bulan sebelum itu…
Hujan lebat yang turun mencurah-curah sejak dari tadi seperti tidak ada tanda-tanda untuk berhenti. Reza mula kelihatan gelisah. Sekejap-sekejap dia memandang ke halaman rumah. Sebenarnya dia bimbang jika ada kereta jiran-jiran yang melintasi halaman itu. Dia mengerling Zaliya yang berpeluk tubuh dihadapannya. Wanita itu memuncungkan mulut. Dia tahu, Zaliya pasti berkecil hati kerana setiap pertanyaan yang diajukan hanya dijawab secara acuh tak acuh olehnya.
Reza mengeluh lagi. Dia benar-benar risau kalau mereka ditangkap berdua-duaan disitu. Sementalahan pula mereka tidak mempunyai sebarang ikatan. Mereka  hanya duduk di beranda tanpa masuk ke dalam. Dia sengaja tidak menjemput Zaliya masuk kerana isterinya tidak berada di rumah. Pertengkaran yang berlaku dengan Arina petang semalam menyebabkan wanita itu meninggalkan dirinya. Hatinya berasa ngilu apabila ditinggalkan, namun dia tak pasti mengapa dia terlalu benci melihat wajah Arina jika wanita itu berada dihadapan mata.
“Sejuknya.” Suara Zaliya tiba-tiba menyelinap lamunan. Wanita itu sengaja menguatkan suaranya yang kedengaran berlawan dengan deru hujan yang turun mencurah-curah bagi menarik perhatian Reza.
“Awak nak minum tak? Boleh saya buatkan kopi.” Reza menyoal.
 “Apa dia?” Soal Zaliya kurang jelas.
“Awak nak kopi tak?” Reza mengulang soalannya.
“Ermm..boleh lah.
Reza mengangguk sebelum tubuhnya hilang di balik pintu. Dalam masa 10 minit dia muncul semula dengan dua  mug di kedua-dua tangannya.
“Nah.” Reza mengunjukkan secawan mug kepada Zaliya.
Thanks.” Zaliya sengaja tersenyum menggoda sambil meliuk lentukkan tubuhnya yang terdedah luas di bahagian dada.
Reza terpempan. Semangatnya sedikit tergugat melihat tubuh itu. Namun dia pantas melarikan anak matanya dan berpura-pura memandang ke halaman rumah. Dia menghirup kopi yang dibancuhnya sendiri sebelum meletakkan cawan itu diatas kerusi.
“Awak duduk sini dulu ye? Saya nak mandi kejap.”
“Errr…”
Reza terus masuk ke dalam tanpa menunggu jawapan dari Zaliya.
Zaliya mencebik. Matanya terhala kearah mug Reza yang masih berisi kopi. Dia tersenyum senget. Tangannya pantas mengeluarkan sesuatu dari beg tangan dan secara perlahan-lahan dia melangkah mendapatkan mug itu…
***
            “Ahhh..sudahlah.”
Wajah masam Razif mengundang senyum Airil. Dia hanya memerhati kelakuan Razif yang berpura-pura menulis sesuatu itu. Dia meninggikan kepalanya, namun apa yang pasti Razif hanya menconteng-conteng kertas tanpa tujuan. Airil tersengih lagi. Apabila rasa diperhatikan, Razif mengangkat muka. Wajah lelaki itu bertambah kelat apabila melihat senyuman Airil.
            “Tak payah buat muka ‘toya’ macam tu lah.” Usik Airil ketawa kecil.
            “Ahhh..malaslah aku nak layan kau.”
            “Heii..” Airil ketawa lagi. “Relax lah bro, jangan marah macam ni.”
            “Banyaklah kau punya relax. Gara-gara kau lambat ramai patient marah aku, tau? Semua aku kena handle sorang-sorang!” Razif terus-terusan merungut. Berkali-kali dia mengatakan benda yang sama sehingga naik muak Airil mendengar.
            “Dah lah Izati pun cuti seminggu. Kau pula datang lambat. Nak patah lutut aku ke hulu ke hilir pagi tadi.” Rungut Razif lagi sambil menunjuk bilik Izati disebelah. Izati adalah rakan kongsi mereka, yang juga merupakan seorang pakar sakit puan di klinik itu.
            “Ye..Sorry lah, aku kan dah minta maaf ni.”
            “Sorry..sorrySorry naik lori lah!”
            Airil terus ketawa apabila mendengar kata-kata Razif. Kawannya yang seorang itu kalau merajuk mengalahkan perempuan. Mentang-mentang setiap hari rawat pesakit perempuan!
            “Hah, gelaklah puas-puas. Besok biar aku pula yang datang lambat.” Ugut Razif sambil mengangkat jari telunjuknya. Kelewatan Airil pagi tadi membuatkan dia tak cukup nafas, tak cukup tangan melayan karenah pesakit. Sementelahan majoriti  yang datang ingin dirawat oleh Doktor Zahiril Nizam Rahmat, bukan Doktor Razif Johari!
            Ye lah, muka iras Baim Wong. Lemah lembut pula tu. Manalah pesakit tak suka, lagi-lagi pesakit perempuan. Bebel Razif dalam hati.
            Eleh, bukannya famous pun Baim Wong tu. Cemuhnya lagi.
            “Ok, aku minta maaf. Lain kali aku tak buat lagi.” Airil masih dengan sisa tawanya mengangkat kedua-dua tangan.
            “Hari ni aku belanja kau lunch.” Pujuk Airil lagi sambil mengenyitkan mata.
            Perlahan-lahan Razif tersenyum sambil mengangguk.
“Ok.”
            Airil tersengih. Dia tahu, Kelemahan sahabatnya itu ialah apabila diajak makan. Mana badan tak debab!
            “Aku pun dah lapar ni dari pagi aku tak makan lagi.” Ujar Razif sambil menggosok-gosok perutnya.
            “Ye...Dahlah,Jom!” Airil segera bangun.
            “Kejap!”
            Pergerakan Airil terhenti. Dia memusingkan badan. Keningnya berkerut memandang wajah Razif yang tangannya seperti polis trafik menahan kenderaan dari bergerak!
            Kejap pulak, tadi cakap dah kebulur sangat!
            “Apa lagi ni?”
            Razif tersenyum. “Kau duduklah dulu.”
            Airil merengus sebelum duduk semula di hadapan Razif. “Hah, ada apa lagi? Tadi cakap dah lapar sangat.” Ujar Airil dengan matanya balik-balik tertancap ke arah jam di pergelangan tangan.
            Dah 1.15, ada tak sempat makan ni kang. Bebel Airil dalam hati.
            “Tadi aku tak sempat nak tanya. Ye lah tadikan aku merajuk dengan kau.” Jawab Razif tersengih.
            Airil mencebik. Merajuk konon, aku tampar baru tau!
            “Hah, cepatlah apa dia? Dah satu suku lah wei.” Ujar Airil sambil menunjuk-nunjuk jam di pergelangan tangannya itu.
            Razif ketawa sebelum memandang tepat wajah Airil. “Apesal kau lambat tadi? Tak pernah-pernah kau buat sebelum ni?”
            “Laaa…apa punya pentinglah soalan kau tanya ni. Aku terlewat bangun lah, apa lagi.”
            “Bohong!”
            Airil tersentak. Dah buat tebiat ke apa si Razif ni nak menjerit-jerit?
            Razif tersenyum sumbing. Airil yang dikenalinya adalah seorang yang sangat menepati masa. Tak pernah dia lambat atas alasan-alasan yang tidak munasabah. Kecuali…
            “Kau dah jatuh cinta semula ke?”
            Sekali lagi Airil tersentak. Bibirnya cuba mengucapkan sesuatu namun tidak terluah oleh lidah. Matanya kemudian tajam memandang Razif yang ketawa berdekah-dekah di hadapannya.
Macam aku nak luku je mamat debab ni, entah apa yang lucu!
Akhirnya Airil turut tersenyum. Memang perasaan itu yang dirasainya ketika ini! Namun senyuman itu mati apabila mengingatkan sesuatu yang mengganggu emosinya..
Mana nak cari Arina?
Airil mengaru kepalanya yang tidak gatal.
Ibu, tolong..orang dah angau!
***
           

           







Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

4 comments :

  1. Yunk! I love this...hehehe...TQ selitkan Dr. kepala benjol tu ye...serabut betul dia..Baim wong? Lagi suka bygkan Dude Herlino..xpun Teuku Ryan..hahaha..sori! ober plak angan2 ku..

    ReplyDelete
  2. Sorry Mirei May, lambat reply.=) Aah, saya selitkan cerita dia sebab nanti dia jadi saingan Reza. Sbb sy pun dah kesian sgt dekat Arina. Hehe. Aah ek. dua2 tu pun handsome. =D Anyway thanx 4 reading yunk.=)

    ReplyDelete
  3. Lambatnyer nak tunggu kesinambungannyer ni...tertunggu2 every episode tp nape pendeknyer episod kali ni ..xpuas baca baru feel dh abis..huhuhuhu..harap2 dipanjangkan lg episod akan dtg..good jobs

    ReplyDelete
  4. Sorry Amirtasya80 atas kelewatan. Ok Insyaallh lepas ni saya akan cuba panjangkan ye. Thanx 4 reading.=)

    ReplyDelete

Hai, siapa yang cute tu? Komenlah disini.

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen