Online Diary Aku dan Dia..: May 2014

Tuesday, May 13, 2014

(Yes, Isteriku Pregnant!) - Bab 5

Subuh yang hening. Reza bersama Cikgu Hamdan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Kemudian mereka meninggalkan Masjid Sultan Abu Bakar tempat mereka menunaikan solat Subuh sebentar tadi. Walaupun sekali sekala, Cikgu Hamdan memang suka bersembahyang di masjid  yang tersegam indah ditepi laut ini. Dan subuh itu, dia mengajak Reza berjemaah disini.
Reza memandang Cikgu Hamdan yang melangkah tenang menuju ke kereta Alza milik orang tua itu.
“Err..pakcik. Apa kata kita pergi sarapan, pekena roti canai. Saya belanja.” Ajak Reza tiba-tiba.
“Boleh jugak. Pakcik pun dah lama tak makan roti canai.” Cikgu Hamdan memandangnya sekilas. Ada senyum dibibir orang tua itu.
“Makcik kamu tu, kawal makan pakcik ni sangat. Ni hah, dia tak bagi pakcik makan makanan berminyak. Takut paras kolestrol naik.” Cikgu Hamdan ketawa kecil dan tawa itu disambut oleh Reza. Orang tua itu kemudiannya meletakkan tangan dibahu Reza sambil kedua-dua mereka melangkah beriringan menuju ke kereta.
***
Suasana di Restoran Habib yang terletak di kawasan Perling sudah kelihatan riuh rendah walaupun hari masih terlalu awal. Cikgu Hamdan memilih untuk duduk dibahagian dalam restoran.
Tak tahan sejuk. Ujar orang tua itu tadi.
Sementara menunggu pesanan makanan dan minuman tiba, mereka membuang pandang kearah televisyen yang terletak ditengah-tengah restoran. Kelihatan siaran wrestling sedang disiarkan disitu.
Kedai mamak dan wrestling memang tak boleh dipisahkan. Getus Reza dalam hati. Kalau bukan wrestling, bola. Ujarnya lagi.
 Lagi-lagi kalau musim world cup, memang meriah restoran mamak. Macam hari raya! Dia kemudian tersengih sendiri. Teringat kenangannya bersama Komeng dan Daim yang selalu melepak di kedai mamak. Entah apa khabar kedua-dua temannya itu. Semenjak bergaduh dengan Daim tempoh hari mereka langsung tak bertemu lagi.
“Pakcik kalau tak pakai kaca mata, memang tak nampak apapun kat tv tu.” Ujar Cikgu Hamdan seraya mematikan lamunan Reza. Dia kemudian memandang kearah orang tua itu. Tiba-tiba dia teringatkan papanya yang juga memakai kaca mata.
“Papa saya pun macam tu pakcik. Kena pakai kaca mata, baru nampak kalau nak tengok tv.”
Kedengaran tawa dari mulut Cikgu Hamdan. “Orang dah berumur ni nak, serba serbi dah kurang. Kesihatan, penglihatan, hah..umur pun makin kurang.” Sergah orang tua itu dengan nada bergurau. Reza turut ketawa mendengar kata-kata Cikgu Hamdan itu.
Insyaallah, semoga pakcik dikurniakan umur yang panjang. Doa Reza dalam hati.
“Ayah Reza sihat tak? Dia tahu tak Reza datang kesini?” Soal Cikgu Hamdan tiba-tiba.
Reza terkedu. Memang sudah lama dia tidak mengetahui khabar orang tua itu. Jadi, manalah dia tau aku nak datang kesini! Pemuda itu tiba-tiba memberontak dalam hati.
Reza memandang Cikgu Hamdan. Tanpa berselindung, dia menceritakan semua yang terjadi keatas dirinya. Tentang hubungannya dengan keluarga, tentang peristiwa dia dihalau dan tentang Arina masuk ke hospital kerana dirinya!
“Maafkan saya pakcik. Saya betul-betul menyesal kerana menjadi penyebab Arina  masuk hospital.”
Cikgu Hamdan terdiam seketika apabila mamak yang bekerja di restoran itu datang menghantar makanan dan minuman yang dipesan tadi. Selepas mengucapkan terima kasih, dia memandang wajah Reza semula.
“Tentang Arina, pakcik dah lupakan. Ye lah anak pun dah sedar kesilapan sendiri dan berani untuk meminta maaf.”
Reza lega. Dia kemudian meletakkan gelas minuman dihadapan Cikgu Hamdan. “Minum pakcik.” Pelawa Reza. Cikgu Hamdan mengangguk-anggukan kepala.
“Cuma satu nasihat pakcik." Cikgu Hamdan terdiam seketika. Kemudian dia menyambung lagi. "Jangan kita buang orang tua kita walau apapun yang terjadi.”
Reza tersentak. Tak menyangka langsung Cikgu Hamdan akan mengutarakan perkara itu. Reza cuma mendiamkan diri. Terasa tak mampu dirinya mengulas perkara yang dianggapnya tidak penting buat masa ini.
Aku tak pernah buang mereka, tapi Datuk Amran yang tega menghalaunya dari rumah beberapa bulan yang lepas! Namun kata-kata itu cuma terluah didalam hati.
“Walau sejahat manapun mereka, walau sebesar manapun kesilapan mereka kepada kita, tapi mereka adalah penyebab kita wujud di dunia ini. Anak kena ingat tu.” Nasihat Cikgu Hamdan lagi.
Reza menghembus nafas halus. Dia mengangguk cuma. “Saya akan cuba pakcik.”
Cikgu Hamdan tersenyum nipis. Dia perasan, tiada kesungguhan dibalik kata-kata itu. Dia turut terkesan wajah Reza mula berubah menjadi keruh. Mungkin ungkapan nasihat yang diberikannya tadi memberi kesan yang mendalam dihati pemuda itu.
“Dah, makan roti tu. Nanti sejuk, jadi keras pula. Baling kucing pun boleh pengsan.” Ujar Cikgu Hamdan berseloroh sambil membesarkan kedua-dua matanya. Niatnya supaya pemuda itu ceria semula.
Reza terkekeh ketawa apabila melihat wajah Cikgu Hamdan. Entah mengapa, dia berasa cukup senang dan lebih selesa berkongsi cerita dengan orang tua itu. Berbeza sekali dengan Datuk Amran. Dan sejujurnya, dia amat mendambakan seorang ayah yang sebaik dan seikhlas Cikgu Hamdan!
***
Ketika pagi menjelang, Reza secara ala kadar membersihkan bahagian dalam kereta vios yang dipandunya. Pemuda itu bersiul-siul sambil mengelap dashboard kereta. Apabila menoleh keluar, dia terpandang Arina menjinjit beg baju dan menuju ke arahnya. Kelam kabut dia keluar untuk  membantu gadis itu.
Dengan killer smile miliknya, dia mengambil beg tersebut dari tangan Arina dan memasukkannya ke dalam boot kereta bersebelahan dengan beg bajunya. Kemudian cepat-cepat dia menutup rapat boot kereta itu, dengan harapan dirinya dapat berbual-bual dengan Arina. Rindu sungguh dia dengan gadis itu.
Sebulan tak jumpa bai. Reza berseloroh dalam hati. Mau tak rindu!
Namun apabila berpusing kebelakang, Reza terperanjat. Syikin berdiri begitu hampir dengannya sambil menjinjit beg baju. Wajah gadis itu pula nampak masam.
“Amboi, habis madu sepah dibuang. Dah dapat Arina, aku dilupakan. Kalau kau dah tutup benda tu, beg aku ni nak campak kat mana?” Gadis itu membebel . Dia sengaja membuat mimik muka tidak berpuas hati.
Reza ketawa dan membuka boot itu semula. Dia mencapai beg baju Syikin dan memasukkannya kedalam. Arina cuma tersenyum apabila melihat gelagat kedua-dua mereka. Namun apabila pandangannya bertemu dengan Reza, cepat-cepat dia mengalih pandangan kearah lain. Malu!
Arina kemudian bergegas mendapatkan kedua ibu bapanya yang berdiri di beranda rumah. Kedua-dua wajah orang tuanya itu kelihatan sayu. Anak kesayangan mereka bakal meninggalkan mereka sekali lagi. Mata Cikgu Rubiah kelihatan bergenang. Cikgu Hamdan pula  kelihatan tenang namun Arina seperti dapat meneka perasaan ayahnya ketika ini.
“Arina balik dulu ibu, ayah.” Arina mencium tangan Cikgu Rubiah lantas memeluk tubuh ibunya erat. Cikgu Rubiah tidak dapat menahan perasaan. Dia menangis dan mencium pipi anaknya itu bertalu-talu. Arina  turut menangis apabila melihat ibunya kelihatan pilu. Dia mencium kedua-dua pipi tua ibunya dan memeluk wanita itu lagi.
Cikgu Hamdan memegang bahu Arina sambil menganggukan kepala. Arina melepaskan pelukan ibunya lalu mencapai tangan Cikgu Hamdan dan mencium tangan itu. Ayahnya itu kemudian menepuk bahunya berkali-kali sambil berpesan, “Hati-hati dalam perjalanan. Dah sampai telefon ibu dan ayah kat sini.” Arina mengangguk-anggukan kepala. “Baik ayah.” Dia memandang Cikgu Rubiah semula. Ibunya itu kelihatan masih mengesat-ngesat air mata.
Arina menuju kearah Cikgu Rubiah dan memeluk tubuh ibunya lagi. Cikgu Rubiah membalas pelukan Arina seolah-olah tidak mahu berpisah dengan gadis itu.
“Arina jangan tinggal solat ye nak. Nanti ayah dan ibu lawat Arina nanti sebelum bertolak ke Mekah.” Ujar Cikgu Rubiah sayu. Nanti ibu masak asam pedas ikan pari kegemaran Arina sebelum kami pergi nanti.” Sambung ibunya lagi. Arina berasa hiba mendengar kata-kata ibunya. Dia hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala.
Syikin yang melihat adengan itu turut mengalirkan air mata. Dia yang mengenali keluarga itu sejak sekian lama amat memahami ikatan yang kuat antara mereka. Sementara Reza berasa sangat sayu apabila melihat kasih sayang Arina kepada orang tuanya. Bertambah-tambah rasa kasihnya kepada gadis itu. Syikin dan Reza turut bersalaman dengan kedua ibu bapa Arina. Apabila tiba giliran Reza bersalam dengan Cikgu Hamdan, orang tua itu memeluknya. Dia kemudian memandang mata Reza agak lama sebelum menepuk bahu pemuda itu berkali-kali sebelum bersuara.
“Pakcik harap Reza tengok-tengokkan anak pakcik dan Syikin kat sana nanti.”
“Insyaallah pakcik.”
“Pegang janji anak semalam.”
Reza terkedu.
Akhirnya Reza hanya mengangguk-anggukkan kepala. Tinggi betul harapan Cikgu Hamdan kepadanya walaupun mereka baru sahaja kenal dua hari lepas! Tiba-tiba, rasa ingin melindungi gadis itu semakin menebal.
“Jangan risau pakcik, saya akan pegang janji saya. Pakcik jangan susah hati. Saya akan menjaga batas saya terhadap Arina dan tak akan melakukan perkara tak elok kepada anak pakcik. Saya tak akan membenarkan sesiapun menyakiti Arina.”
Cikgu Hamdan menganggukkan kepalanya. Dia tidak tahu kenapa hatinya tiba-tiba rasa berdebar sejak kebelakangan ini. Dalam keadaan begitu, tiada lain yang difikirnya selain anak kesayangannya, Arina. “Ya Allah, kau lindungilah anak kami itu.” Doanya sayu dalam hati. Arina tidak punya sesiapa lagi di dunia ini selain dirinya dan isterinya.
Reza yang perasan wajah ayah Arina berubah suram segera memaniskan rona muka bagi mengurangkan kegalauan dihati orang tua itu. Dengan hormat, dia meminta diri daripada ayah dan ibu Arina sambil berjanji sekali lagi yang dia akan menjaga keselamatan Arina dan Syikin di Ampang nanti. Mereka bertiga melambaikan tangan kepada kedua-dua mereka sebelum beredar menuju ke kereta.
Reza membuka pintu hadapan di bahagian penumpang dan memandang Arina dengan lembut. Dengan anggukan kepala dan isyarat mata, dia menyuruh gadis itu masuk.
Arina tersenyum. Dia kemudian membuka pintu belakang dan terus masuk dalam perut kereta! Syikin yang bersedih tadi tiba-tiba terkekeh ketawa. Terasa lucu hatinya apabila melihat air muka Reza terus berubah!
Reza menjeling ke arah Syikin. Kurang asam. Boleh dia gelakkan aku.
Syikin memandang kerahnya sambil menaikkan kedua-dua tangan dengan bahu sedikit terjongket. Ada senyum dihujung bibir gadis itu sebelum dia masuk ke dalam kereta. Reza mendengus. Dia menuruti Syikin dan duduk dibahagian pemandu. Lelaki itu kemudiannya menjeling Syikin yang tersenyum-senyum disebelahnya.
Eh minah ni. Ada balik jalan kaki karang. Reza menggerutu dalam hati.
Dia kemudiannya memakai kaca mata hitam jenama Rayban yang elok terletak diatas kepalanya tadi. Reza membunyikan hon seraya mengangkat tangan apabila kereta itu mula bergerak perlahan. Arina pula cepat-cepat membuka cermin kereta dan memandang kedua orang tuanya yang sudah berdiri berdekatan pintu pagar. Terasa sayu hatinya apabila melihat tangan ayahnya melingkari bahu ibunya sambil kedua-dua orang tuanya itu melambai-lambai tangan kearah mereka.  Semakin lama, semakin mengecil fizikal kedua orang tuanya itu.
Arina kemudian bersandar selepas menutup cermin . Dia masih mengesat-ngesat air mata yang seolah-olah tidak mahu berhenti mengalir. Sebelum ini, bukan dia tidak pernah berpisah dengan kedua orang tuanya. Namun entah kenapa kali ini dia berasa berat hati apabila meninggalkan kedua-dua mereka tadi.
Melalui cermin depan, Reza memerhati Arina yang masih kelihatan bersedih. Walaupun tanpa suara, Reza tahu yang gadis itu sedang menangis. Hatinya sungguh tersentuh apabila melihat gadis kesayangannya itu kelihatan pilu.
Arina..Getusnya sendiri.
 Imbasan suara Cikgu Hamdan semalam tiba-tiba terngiang-ngiang ditelinga.
“Reza sukakan anak pakcik?” Soalan itu tiba-tiba keluar dari mulut Cikgu Hamdan. Jam  ketika itu menunjukkan ke angka 11. Reza menemankan Cikgu Hamdan bersantai-santai diberanda rumah setelah menolong orang tua itu menggulung tikar yang digunakan untuk kenduri doa selamat. Dia turut membancuhkan kopi O untuk Cikgu Hamdan dan dirinya sendiri kerana Cikgu Rubiah, Arina dan Syikin telah pun masuk tidur.
  Reza berdebar. Dia merasakan dadanya seperti mahu pecah apabila soalan itu diajukan kepadanya.
“Arina cuma kawan saya pakcik.” Dia cuba menjawab tenang. “Err..tapi maaf kalau saya bertanya, kenapa pakcik tanya macam tu?” Soalnya kemudian. Kerunsingan mula menunjal fikirannya. Ayah Arina tak suka aku ke?
“Takde apa. Cuma tolonglah tengokkan Arina nanti.” Pesan Cikgu Hamdan tanpa mahu memanjangkan cerita.
Reza berasa pelik. Dia memandang Cikgu Hamdan yang sedang asyik melihat cahaya bulan yang bersinar cantik pada malam itu.
“Arina Cuma anak angkat pakcik dan makcik.” Beritahu Cikgu Hamdan. Reza buat-buat terkejut walaupun perkara itu telah diketahuinya daripada Nazirah apabila sepupunya itu menemuduga Arina beberapa bulan lepas.
“Dia memang takde sesiapa lagi didunia ini…kecuali seorang kakak.” Reza kelihatan tersentak, juga berpura-pura terkejut. Maklumat itu juga telah diketahuinya.
“Tapi pakcik dan makcik memang tak tahu kat mana kakak Arina sekarang. Kami pernah mencari dia melalui alamat yang kami dapat dari rumah anak yatim tempat kami mengambil Arina 12 tahun lepas. Tapi mereka sekeluarga telah berpindah.” Ujar cikgu Hamdan seraya memandang muka Reza.
Kali ini Reza memberi sepenuh perhatian kepada Cikgu Hamdan. Hah, yang ini dia tak tahu lagi!
Suasana berubah hening seketika sehingga orang tua itu menyambung lagi. “Kami tahu, Arina masih berharap mahu bertemu dengan kakak kandungnya. Ya lah, kakaknya itu sahaja satu-satunya saudara sedarah sedaging yang dia ada kat dunia ni.”
Cikgu Hamdan terdiam. Tangannya mencapai cawan dan menghirup kopi O yang dibancuh oleh Reza tadi. Reza pula kelihatan sabar menanti cerita yang selanjutnya dari ayah Arina. Dia setia menunggu sehingga orang tua itu meletakkan cawan ke atas meja.
“Pakcik dan makcik berharap sangat dapat menunaikan hajat Arina. Kehadirannya selama ini cukup membahagiakan kami suami isteri. Dia...anak yang baik.”Cikgu Hamdan memandang Reza sekilas.  Ada riak sayu terpampang diwajah itu.
Yelah, kami dah tua, nak. ..Entah berapa lama lagi boleh hidup di dunia ini. Kalau kami dah takde siapalah yang nak tengok-tengokkan Arina nanti.”
Reza tersentuh apabila melihat wajah orang tua itu berubah riak. Walaupun baru mengenali keluarga ini, tapi hatinya berasa sungguh dekat dengan setiap ahlinya. Dia yang kurang mendapat perhatian dari seorang ayah berasa kagum dengan kasih sayang yang terjalin antara mereka walaupun gadis kesayangannya itu cuma anak angkat dirumah ini!
Apabila melihat wajah Cikgu Hamdan berubah keruh, Reza seperti mendapat kekuatan dalam diri. Dengan melafazkan Bismillah, dia menyuarakan isi hatinya.
“Sebenarnya saya ingin mebuat pengakuan kepada pakcik.” Kini giliran Cikgu Hamdan pula yang memberi tumpuan kepadanya. Reza kemudian menarik nafas dalam-dalam dan dengan sekali lafaz di meluahkan apa yang terbuku dihati. “Saya sangat sayangkan dan cintakan anak pakcik.” Reza lega. Ketegangan perasaannya mengendur. Terasa ringan beban yang ditanggungnya didalam hati. 
Dia tidak mahu Cikgu Hamdan menilai dirinya dari sudut negatif, iaitu cuma mahu memain-mainkan perasaan Arina. Reza ingin meyakinkan orang tua itu yang dia ikhlas untuk berkawan dengan gadis itu. Seketika, dia merasakan dirinya tersangat macho kerana berani membuat pengakuan. Good job Hardy Reza!
 Reza kemudian memandang wajah Cikgu Hamdan dan menanti reaksi dari orang tua itu.
Cikgu Hamdan kelihatan tenang. “Pakcik dah tahu nak.” Ujarnya perlahan.
Reza tersentak. Macamana Cikgu Hamdan boleh tahu? Nampak sangat ke ‘kegedikan’ dia nak memikat Arina sepanjang berada dirumah ini! Reza merasakan mukanya berubah merah. Malunya aku!
Reza..Reza..Pakcik dulu makan garam. Kalau setakat nak berkawan takkan kamu sanggup datang dari jauh dan berhadapan dengan kami, orang tua Arina. Detik orang tua itu dalam hati. 
Cikgu Hamdan memandang kelakuan Reza yang mula tidak keruan. Dia tersenyum nipis. Orang tua itukemudian terbatuk-batuk kecil sebelum melanjutkan  kata-kata.
“Satu je pinta pakcik. Kalau Reza memang sayangkan anak pakcik, jaga dia baik-baik. Sebagai lelaki yang baik, pakcik harap Reza hormati maruahnya sebagai wanita. Anak faham maksud pakcik kan?” Reza terkedu mendengar nasihat Cikgu Hamdan itu.  
Pemuda itu kemudian mengangguk. “Saya faham pakcik.”
“Dan kalau dah ada kemampuan dan ada jodoh, kahwinilah dia. Pakcik amat berharap Reza dapat menjaga anak pakcik jika ditakdirkan kami tidak ada lagi dunia ini.” Luah Cikgu Hamdan. Dia tahu pemuda dihadapannya itu adalah seorang pemuda yang baik. Namun sebaik mana pun dia, tiada ertinya jika tiada ikatan apa-apa dengan Arina. Jadi, kahwin adalah jalan penyelesaian. Walaupun agak terburu-buru, Cikgu Hamdan pasrah. Dia takut jika tidak berkesempatan menunaikan hajatnya itu. Kasihan Arina berseorangan nanti.
Reza terperanjat bukan main. Jauh sungguh perancangan Cikgu Hamdan. Namun hatinya sangat bahagia mendengar  permintaan itu. Namun kata-kata akhir orang tua itu membuatkannya sedikit pilu.
“Ikatan pekahwinan dapat mencegah kemungkaran. Pakcik risau, kalau-kalau anak berdua tak mampu nak mengawal diri. Tanpa ikatan yang sah, macam-macam boleh berlaku.  Janji dengan pakcik, hmmm?
Reza terkesima. Harapan Cikgu Hamdan itu membuatkan dirinya rasa dihargai dan diperlukan. Dia faham perasaan orang tua itu. Ibu bapa mana tak risau kalau anak dara tinggal jauh dari keluarga. Lagi-lagi yang cantik jelita seperti ‘bakal isterinya’ itu.
“Insyaallah pakcik. Saya memang cintakan anak pakcik setulus hati saya. Bukan kerana nafsu. Sumpah! Ujar Reza sambil mengangkat tangan kanannya, perlakuannya sama seperti ketua pengawas yang mengetuai bacaan ikrar!
Tawa Cikgu Hamdan meledak apabila melihat ulah pemuda itu. Reza turut tersengih memandang Cikgu Hamdan. Wah, terlebih sudah pakcik ni!
“Kalau kehidupan saya dah stabil, saya janji akan mengambil Arina menjadi teman hidup saya. Saya terlalu sayangkan dia pakcik.” Janji Reza sejurus tawa Cikgu Hamdan redah. Mereka kemudiannya mengakhiri perbualan pada malam itu apabila Cikgu Hamdan meminta diri untuk masuk tidur.

“Jangan lupa bangun solat subuh.” Pesan terakhir orang tua itu.

Reza menghembus nafas halus. Fikirannya masih ligat memikirkan kata-kata Cikgu Hamdan semalam. Amanat itu kelihatan berat bagi sesetengan orang, tapi tidak bagi Reza. Baginya harapan Cikgu Hamdan adalah permulaan untuk dia berubah. Berubah menjadi lelaki dan insan yang lebih bertanggungjawab. Amanat itu juga menyebabkan rasa sayangnya kepada Arina semakin menebal!
 Apabila menoleh sekilas kebelakang, dia melihat gadis itu sudah terlena. Sementara Syikin sedang asyik bermain games.
Macam budak-budak, padahal tak lama lagi jadi mak budak. Reza mencebik dalam hati. 
Kira-kira dua jam perjalanan, Reza membuka signal ke kiri dan masuk kesimpang RNR Pagoh. Syikin menoleh memandangnya.
“Aku nak gi toilet kejap.”
Gadis itu mengangguk. Lelaki itu kemudian keluar. Syikin menoleh kebelakang memandang Arina. Kelihatan gadis itu terpisat-pisat membuka mata.
“Dah sampai mana ni?” Gadis itu masih kelihatan mamai. Nyenyak betul dia terlena tadi!
“Perhentian Pagoh. ‘Laki’ kau g toilet jap.” Syikin menjawab selamba. Arina menarik cuping telinga Syikin. Gadis itu merintih sakit sebelum terkekeh ketawa.
“Dahlah, aku nak beli air mineral. Kau nak kirim apa-apa tak?” Soal Arina.
“Takde.” Syikin menjawab ringkas sambil memejamkan mata. Dari Johor Bahru dia menghadap handphone, kepalanya mula terasa pening. Matanya pula mula terasa mengantuk. Arina kemudian keluar dari kereta dan menuju ke kedai yang terletak diperhentian itu. Dia mencapai air mineral dan membeli beberapa bungkus gula-gula. Setelah membayar harga barang, Arina bergegas menuju kereta.
Dari jauh, dia melihat Reza sedang bersandar dikereta sambil menghisap rokok. Kaca mata hitam jenama Rayban yang elok dipakainya tadi kini diletakkan diatas kepala. Apabila ternampak dirinya, lelaki itu cepat-cepat membuang puntung rokok itu sebelum melenyek-lenyekkannya dengan kasut. Gadis itu berlagak selamba walaupun hatinya agak gemuruh apabila Reza seperti memerhati setiap derap langkahnya. Syikin pula sudah terlena di dalam kereta.
“Beli apa?” Reza menegur lembut sambil membukakan pintu kereta untuk dirinya. Lelaki itu melirikkan senyuman dan ternyata senyumannya berbalas. Hati Reza begitu girang apabila bibir Arina terukir untuknya.
“Air mineral. Saya ada belikan untuk awak juga.”
Reza mengangguk-anggukkan kepala. Dia meleretkan senyuman lagi apabila gadis itu selamat masuk ke dalam kereta. Terasa berbunga-bunga hatinya apabila Arina mula memberi perhatian kepadanya walaupun hanya dengan sebotol mineral!
Bersama sebaris senyum, Reza  tergesa-gesa masuk kedalam kereta. Namun demi sahaja terpandang wajah Syikin yang sedang tidur disebelah kirinya, senyumnya mati. Dia berasa ralat. Kenapalah bukan Arina yang duduk disebelahnya!
“Awak nak air mineral?” Suara lembut Arina menyapa lembut di telinga apabila mereka meninggalkan perhentian itu. Terasa bahagia rasanya apabila gadis itu mula mengambil berat.
“Boleh juga.”
Arina membuka tutup botol air mineral itu dan memberikannya kepada Reza.
“Terima kasih.” Ucap pemuda itu sambil menoleh sekilas kebelakang. Arina cuma tersenyum. Reza meneguk air mineral itu berkali-kali sehingga separuh. Arina memandang dari belakang. Nampak haus sangat pemuda ini. Detiknya dalam hati.
Reza kemudian menyimpan botol itu didalam bekas  yang terdapat di dalam kereta itu. Melalui cermin depan, dia memandang Arina lagi. Gadis itu mula kelihatan tidak selesa. Tidak selesa kerana hanya mereka berdua yang sedang terjaga pada waktu itu!
“Awak tak mengantuk lagi?”
Arina Cuma menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Arina.” Reza memulakan bicara sambil menjeling Syikin disebelahnya, risau kalau gadis itu terjaga. “Kalau saya nak tanya sesuatu awak jangan marah ye?”
“Nak tanya apa?” Soal gadis itu.
“Awak masih marah kat saya lagi ke gara-gara peristiwa kat bus stop hari tu? Reza menggunakan peluang ketika Syikin sedang tidur untuk berbual-bual dengan Arina. Sepanjang beberapa hari berada di Johor Bahru, dia tidak berpeluang bertanya kepada gadis itu.
Arina terpempan. Aku nak cakap apa, marah memang marah. Tapi sekarang? Adui…Dia runsing sendiri.
“Arina?” Soal Reza lagi sambil melihat gadis itu lagi.
“Err..saya dah maafkan awak.” Arina ringkas menjawab.
“Itu je?”
Itu je lah. Aku nak cakap apa lagi! Namun kata-kata itu cuma berlegar didalam hati.
“Saya juga nak minta maaf, sebab tengking awak tempoh hari.” Akui Arina. Sememangnya dia betul-betul menyesal gara-gara peristiwa itu. Terasa separuh hatinya dibawah pergi disebabkan insiden itu apabila Reza tiba-tiba menghilangkan diri.
Reza terdiam. Dia kelihatan memberi tumpuan kepada pemanduannya. Namun Arina dapat meneka,  pemuda itu seperti memikirkan sesuatu.
“Saya yang sepatutnya meminta maaf kepada awak Arina.” Akui pemuda itu. “Awak jangan simpan dalam hati, hmm? Oleh kerana berasa bersalah, dirinya tekad tidak mahu berjumpa dengan Arina buat sementara waktu. Dalam masa sebulan itu, dia menumpang dirumah sahabat lamanya Nazim dan tidak balik lagi kerumah sewa lama tempat dia menginap sebelum itu.
Arina cuma mengangguk-anggukkan kepala apabila Reza memandangnya lagi melalui cermin depan. Pemuda itu tersenyum seraya mengangkat-angkat kedua-dua keningnya apabila pandangan mereka bertaut. Gadis itu akhirnya ketawa kecil apabila melihat kelakuan nakal Reza.
“Awak menghilang kemana dalam sebulan ini?”Soalan yang sudah lama menyesakkan hati akhirnya diluahkan juga.
“Tak kemana pun.” Reza menjawab. “Kenapa, awak rindu kat saya ke?”
“Perasan.” Arina mendesis perlahan namun suaranya itu dapat didengar oleh Reza. Pemuda itu ketawa apabila melihat wajah Arina berubah rona. Tawanya yang agak kuat membuat Syikin yang berada dikerusi hadapan kelihatan bergerak-gerak! Mereka segera menghentikan perbualan apabila Syikin memandang kearah mereka berdua silih berganti.
“Amboi, dah rujuk balik ke?” Sergah gadis itu dengan mata yang sengaja dibesarkan!
***
Jam telah menunjukkan keangka 12. Namun mata Arina seperti tidak mahu lelap. Dari menelentang dia mengiring ke kiri. Matanya terkebil-kebil memandang jarum jam yang sedang bergerak perlahan. Namun mata itu tetap terasa segar dan tiada tanda-tanda mengantuk. Oleh kerana berasa bosan, dia bangun dan memusing kekiri sambil melunjurkan kaki. Sejak sampai dirumah tengahari tadi, hatinya berdebar-debar. Dia pun tidak tahu kenapa dia harus berperasaan seperti itu.
Arina cuba memadam perasaan bukan-bukan di hatinya. Dia cuba memikirkan perkara-perkara yang menyenangkan hati. 
Insyaallah, takde apa-apa yang perlu dirunsingkan. Dia memujuk diri sendiri.
 Suasana yang sunyi dan sejuk pada malam itu membuatkan Arina cemburu. Cemburu dengan semua orang yang telah 'selamat' belayar ke alam mimpi, sementelahan dirinya pula masih terkebil-kebil seorang diri. Arina yakin Syikin juga telah lama beradu.  Apa yang pasti, sudah tentu sahabatnya itu beradu bersama senyuman yang meleret dibibir. 
Yelah, orang baru balik dari berjumpa buah hati. Arina menggumam sendiri. Sampai sahaja dirumah tadi, Syikin terus keluar  apabila Asyraf datang menjemput.
Arina mengeluh halus kerana rimas tidak berbuat apa-apa. Dia kemudian mencapai getah rambut yang terletak diatas meja tepi katil dan menyanggul tinggi rambutnya, sehingga nampak lehernya yang jinjang. Arina bangun. Beberapa detik kemudian, biliknya itu kelihatan terang benderang dengan cahaya lampu. Dia kemudian membuka pintu dan menuju kedapur untuk membancuh milo.
Untung-untung boleh mengantuk. Harapnya dalam hati.
Arina kemudian kembali kebilik bersama mug yang berisi milo. Dia duduk dibangku yang memang tersedia dihujung katil berhadapan dengan meja solek yang memang tersedia di rumah sewa itu. Sambil meneguk minuman panas itu, tangan kirinya mencapai telefon bimbit di atas meja.
Arina cuba melayari internet dan berharap matanya akan letih serta mengantuk.
Dahlah besok nak kerja. Dia merungut sendiri. Sedang ralit melayari internet, gajet miliknya itu bergegar memberi isyarat ada message masuk. Arina melihat ke dalam aplikasi. Sapa yang whatsapp  malam-malam buta ni?. Ujarnya perlahan.
Ooo.. Reza! 
Arina kemudian tersenyum membaca Whatsapp dari lelaki itu.

Salam Arina Laila. Dah tidur ke?

Wah, sebut nama penuh. Ungkapnya perlahan. Timbul idea difikirannya untuk mengusik pemuda itu. Di kemudian membalas whatsapp daripada Reza itu.

Wasalam. Belum tido lg, saya tengah wasap ngan boyfriend saya. Ada apa ye?

Sambil tertawa kecil, Arina terus menekan butang send. Agak lama juga Reza baru membalas pesanan itu.

Boyfriend? Sape? Hmm, ye lah.. orang ada boyfriend. Sapelah saya ni. Maaf mengganggu.:-(

Merajuk pulak! Arina terkekeh ketawa. Dia bergegas menutup lampu dan baring dikatil. Hmm, nak jawap apa ye?

Saya main-main je lah. Orang macam saya ni manada boyfriend. Kan kawan2 awak ckp saya ni kolot.:-( .

Arina menekan butang send lagi. Tak sampai seminit, isyarat whatsapp masuk kedengaran lagi. Arina pantas membuka pesanan itu.

Manada kolot. Serius, awak cantik. Cantik sangat. Kalau awak nak tau, awak selalu buat jantung saya bergetar tau. Arina, dengar ni.

Arina termangu. Dengar apa? Ayat Reza tergantung disitu sahaja. Tiba-tiba Reza menghantar pesanan suara melalui aplikasi itu.

Disetiap ada kamu mengapa jantung ku berdetak,
 berdetak dengan lebih kencang seperti genderang mahu perang.

Arina ketawa apabila mendengar suara lelaki itu menyanyi lagu kumpulan Dewa. Sedap juga suara mamat tu, husky gitu!

Sedap juga suara awak ye. Hehe. Ok awak. Saya dah mengantuk. Nanti kita sambung lagi ye. Gudnite!

Arina kemudian mengakhiri perbualan kerana matanya mula terasa mengantuk. Reza kemudian membalas pesanan itu.

Ok, awak tidur dulu. Gudnite gadisku. Miss u so much!

Arina tersenyum melihat pesanan itu. Bila masa aku setuju jadi awek dia ni? Namun disebalik persoalan itu, terselit rasa bahagia yang tidak bertepi didalam hati.  Akhirnya Arina terlelap juga bersama handphone yang masih berada dalam genggaman. Dirinya juga sama seperti Syikin, tidur dengan senyuman!


***









Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Thursday, May 8, 2014

(Yes, Isteriku Pregnant!-Bab 4)


            “Papa.” Rozana menegur Datuk Amran yang sedang asyik menyapu marjerin ke atas roti. Hanya dia dan papanya berada di meja makan pada waktu itu. Datin Khadijah masih berada di dapur bersama Kak Nab, orang gaji mereka. Sementara Along masih belum turun dari bilik.
            “Ye.” Sahut Datuk Amran pendek tanpa memandang wajah Rozana. Gadis itu nampak tak berpuas hati.
            “Papa.” Ulangnya lagi.
            “Yes daughter. Kenapa?” Mata Datuk Amran memandang tepat ke wajah Rozana sambil kedua-dua tangannya memegang roti. Dia sebenarnya kurang gemar berbual ketika hendak makan.
          “Hmm, semalam Angah call Zana..” Kata-katanya mati disitu apabila Datuk Amran tiba-tiba merengus kasar dan meletakkan roti yang dipegangnya ke atas pinggan. Dia kemudian merenung tajam ke wajah anak perempuannya itu.
            “So?” Soal Datuk Amran pendek, tetapi agak tegas pada pendengaran Rozana.
            “Err..dia kirim salam kat papa.” Adui, lain aku nak cakap lain pula yang keluar. Detik Rozana kesal dalam hati.
            “Waalaikumusalam.” Datuk Amran meneruskan sarapannya.
            “Dia nak pinjam duit papa. Nak buat business sikit.” Dengan sedikit kekuatan Rozana meneruskan maksudnya.
            Dabbbbbbb!!
            Rozana terperanjat. Datuk Amran tiba-tiba menghentak meja makan dengan tangan kirinya. Matanya mencerlung kearah Rozana. Bibir gadis itu terketar-ketar menahan debar.
            “Jangan disebut nama budak tak tahu diuntung tu dalam rumah ni. Aku tak suka!” Suara Datuk Amran keras memecah hening. Kemarahan Datuk Amran kepada Reza jelas kelihatan sehingga dia tega menggantikan gelaran ‘papa’ kepada ‘aku.’
            Bunyi hentakan meja yang kuat membuatkan Datin Khadijah bergegas keluar dari dapur. Di muka pintu, dia terkesan muka anak gadisnya itu berubah merah.
            Rozana terkulat-kulat memandang wajah papanya. Gadis itu memuncungkan mulut lantas bergegas meninggalkan Datuk Amran sendirian. Dia menapak laju ke biliknya dan terserempak dengan Along ditangga. Abang sulungnya itu tersenyum sinis kepadanya dan terus menuruni anak tangga sambil ketawa yang jelas dibuat-buat pada pendengaran Rozana!
            Saja nak sakitkan hati orang. Getus hatinya geram. Beberapa ketika terdengar suara Along menyapa ramah papanya di meja makan, kelihatan mesra kedua-dua beranak itu.
            Hipokrit. Rozana mencemuh dalam hati. Tiba-tiba hatinya dirundung sedih apabila teringatkan Reza. Kesian Angah. Keluhnya sendiri.Disaat ini, dia berasa sungguh rindu kepada abangnya yang seorang itu. Walaupun kadang-kadang perangai Reza agak overacting berbanding semua orang tapi hati budi Angah jauh lebih baik dari Along!
***
Hampir sebulan Arina berasa tenang tanpa gangguan. Kepalanya terasa ringan kerana tidak perlu bertekak setiap petang dengan jejaka-jejaka tidak diundang itu.
Arina mengesat peluh yang menitik di dahi dengan hujung baju kurung yang tersarung ditubuhnya. Kemudian dia mengipas-ngipaskan badannya dengan menggunakan tangan.
            “Dah pukul 5.30 masih panas lagi.” Rungutnya sendiri. Dia kemudiannya bangun dan memandang kehujung jalan. Kereta bertali arus di jalanraya, namun bayang-bayang bas belum kelihatan lagi.
Arina mengeluh dan duduk semula. Dia berasa sunyi walaupun bunyi kereta agak bising dihadapannya. Tadi ada seorang gadis cina menemankan dia di bus stop ini tetapi gadis itu sudah pergi apabila sebuah kereta datang menjemputnya.
Cepatlah bas, aku bosan tunggu sorang-sorang kat sini. Rayunya dalam hati. Kepalanya tertoleh berkali-kali memandang ke hujung jalan. Namun dia mengeluh hampa. Bayang-bayang ‘kotak bergerak’ itu tetap tidak kelihatan.
“Apsal kau macam takde semangat ni? Dua tiga hari ni aku tengok muka kau monyok semacam je?” Imbasan peristiwa semalam menjengah fikirannya. Ketika itu dia sedang membelek-belek telefon bimbitnya. Pertanyaan Syikin itu dibiarkan sepi tanpa jawapan.
“Makcik, aku tanya kau ni. Kau dah kenapa? Macam kematian laki jer aku tengok.”
“Takde apa-apa lah.” Arina cuma menjawab acuh tak acuh sambil menjeling Syikin sekilas. Aku muda belia macam ni dipanggil makcik!
“Hah, ye la takde apa. Dari tadi aku tengok kau asyik membelek telefon bimbit. Tunggu panggilan buah hati ke?” Syikin tersenyum-senyum memandangnya. Dia tau, ‘buah hati’ yang dimaksudkan oleh Syikin itu adalah Reza.
“Tak kuasa aku. Aku tengah online la. Buka blog Penulisan2u ni. Baca cerpen, novel..Hah, puas hati?”
“Yer la tu Arina Laila Binti Yusof. Semua ‘peel’ kau ada dalam poket aku. Kau ni, nak berlakon pun tak reti. Mengaku je la kau rindukan dia sebab dah lama tak call kau, kan?” Syikin tersenyum menyindir kearahnya.
Arina mengeluh halus. Kata-kata Syikin semalam betul-betul mengganggu emosinya. Serkap jarang Syikin ada benarnya.
            Walaupun dia berasa tenang kerana bebas dari gangguan Reza dan kawan-kawannya, namun  hatinya berasa kosong. Dia berasa kehilangan sesuatu. Arina pun tak tahu apa yang hilang.
            Ke aku rindu dengan mamat sewel tu? Dia menyoal dirinya sendiri. Eh, tak mungkinlah!
            Tapi sejak sebulan ini, jiwa Arina seperti meronta-ronta. Kemana menghilangnya Reza? Dia terasa hati ke aku marah dan tengking dia sebulan yang lepas? Tiba-tiba dia berasa sungguh menyesal dan bersalah kerana meninggikan suara kepada lelaki itu. Dia tahu, Reza sebenarnya  lelaki yang baik. Cuma perangainya sahaja kadang-kadang agak nakal.
            Kesian dia. Mesti dia tersinggung dengan aku. Detik hatinya kesal apabila teringatkan lelaki itu.
            Lamunan Arina terhenti apabila bunyi hon bas tiba-tiba memecah sunyi. Bersama keluhan halus, dia melangkah tanpa semangat. Melangkah lambat-lambat umpama ditolak seseorang dari belakang untuk masuk ke dalam perut bas.
 Hatinya umpama tertinggal di bus stop itu!
***
            “Syikin, jumaat ni aku nak balik JB. Kau nak saing aku balik tak?” Arina menegur Syikin yang sedang asyik bermain games Clash Of Clans.
            “Hmm…”. Gadis itu hanya menyahut pendek. Dengan mulut yang sedikit muncung, tangannya kejap memegang Handphone Sony Xperia Z Ultra miliknya tanpa memandang kepada Arina.
            Ishh minah ni. Boleh dia buat dek macam tu je. Arina memandang geram kewajah Syikin.
            “Anak Pak Mansur, kau dengar ke aku tanya ni? Hee..mulut tu tak payah nak muncung sangatlah. Kalau Asyraf nampak gerenti kau kena reject.Tak pasal-pasal nanti dia pilih aku.” Arina sengaja menyebut nama buah hati sahabatnya itu bagi meraih perhatian Syikin. Ternyata percubaannya itu berhasil. Syikin memandang kearahnya dan meletak handphone diatas meja. Tangannya pantas mencapai bantal sofa kecil yang terletak disebelahnya.
            “Kalau nak kena fire ngan aku cubalah!” Syikin membaling Arina dengan bantal sofa itu. Arina ketawa sambil menepis. Muka sahabatnya itu kelihatan masam mencuka. Syikin kemudian menyilangkan kedua-dua tangan lantas bersandar di sofa.
            Dengar pun. Ujar Arina geli hati dalam hati.
            “Aloo..cian dia. Aku main-main je la. Arina ketawa lagi. Kau tu, kalau aku tak cakap macam tu asyik sangat menghadap handphone. Entah-entah kalau bom meletup depan rumah kita ni pun kau tak dengar.” Ujar gadis itu lagi sambil berseloroh.
            “Kau cakap apa tadi?” Syikin masih merajuk. Dia memandang kearah lain. Mulutnya sengaja dimuncungkan tanda protes kepada Arina.
            Arina terkekeh ketawa melihat ulah sahabatnya itu. Merajuk macam budak kecik. Bluekk! Arina mengejek dalam hati.
            “Aku main-main je lah. Sorry lah. Hihi..”
            Syikin memandang Arina yang sedang ketawa menutup mulut. Tangannya pantas membalingkan bantal sofa yang lain kepada Arina. Namun gadis itu sempat mengelak. Arina menjelirkan lidah dan meletakkan ibu jarinya di atas hidung sambil mengibarkan empat jari yang lain. Akhirnya Syikin tergelak melihat keletah sahabatnya itu.
            “Ok. Back to the topic. Aku nak balik kampung jumaat ni. Mak aku nak buat kenduri doa selamat sebab diorang nak pergi umrah hujung bulan nanti. Kau nak saing aku balik tak? Tanya Arina apabila tawa mereka reda.
            Syikin nampak teruja apabila Arina menyebut perkataan ‘balik kampung.’ Dia membesarkan mata sambil tersengih-sengih mengangguk kepala.
            “Tapi mak ayah aku takde kat jb skarang ni. Diorang kat Penang. Lawat Mak long aku kat sana.” Syikin kemudiannya teringat sesuatu. Kalau aku balik nak tidur kat mana?
            “Alaa.. kau tidurlah kat rumah aku. Bukannya ada sesiapun kat rumah ibu ayah aku tu. Macam tak biasa pula” Arina memahami apa yang difikirkan oleh sahabatnya itu. “Lagipun cuti hujung minggu ni lama sikit. Isnin cuti hari pekerja. Boss aku bagi cuti kat kitorang. Kau pun cuti kan. Jom lah.” Ajak Arina lagi.
            Syikin tersengih memandang wajah Arina. Bukan dia tak biasa tidur di rumah orang tua gadis itu sebelum ini. Dah namanya satu kampung!
            “Hmm, yelah, yelah. Nanti aku ambil cuti jumaat ni.” Putus Syikin. Arina tersenyum lega.
Nah, ambik pakwe kau ni!” Syikin pantas melemparkan patung ‘teddy bear’ pemberian Reza kepada Arina apabila gadis itu kelihatan lalai. Kali ini, Arina tak sempat mengelak dan patung itu elok mendarat di mukanya. Dia ingin membaling Syikin semula namun gerak gerinya mati secara tiba-tiba. Dia memandang wajah patung itu. Tiba-tiba mood cerianya berubah. Dia memeluk patung itu dan terus diam menikus. Berpura-pura menonton televisyen.
            Syikin yang terkesan perubahan perlakuan dan air muka Arina mencebik dalam hati.
Dah rindu dengan mamat tu lagi nak jual mahal!
***
“Assalammualaikum.” Arina memberi salam sambil tangannya mengetuk pintu berkali-kali. Kepalanya tertoleh-toleh memandang ke dalam rumah melalui tingkap kaca berdekatan pintu. Dia kemudian menyimpul senyum apabila melihat kelibat Cikgu Rubiah bergegas laju ke pintu.
“Waalaikumsalam”. Kedengaran kunci pintu dibuka sejurus suara lembut ibunya menyahut salam.
“Ibu!” Arina pantas menerkam memeluk Cikgu Rubiah apabila tubuh ibunya itu terpampang didepan pintu. Dia mencium pipi ibunya  berkali-kali 
“Eh budak bertuah, terperanjat ibu.” Arina tertawa gelihati apabila melihat ibunya melatah. Dia kemudian meraih tangan ibunya dan mengucup kedua-dua tangan orang tuanya itu.
“Eh, Syikin pun ada. Masuklah nak. Mak ayah Syikin apa khabar”. Cikgu Rubiah yang baru sedar akan kehadiran Syikin mempelawa gadis itu masuk. 
“Makcik”. Syikin meluru kearah Cikgu Rubiah dan mencium tangan orang tua itu. “Mak ayah sihat. Diorang takde kat sini. Pergi Penang lawat Mak Long saya. Makcik sihat?”
“Alhamdulillah sihat. Arina, ajak Syikin masuk.” Arah Cikgu Rubiah kepada anaknya.
“Arina ajak Syikin tidur kat sini bu. Rumah dia takde orang. Kalau dia sorang-sorang duduk kat umah takut jenglot kacau.” Arina kemudian terkekeh ketawa. Syikin mencubit pinggang Arina. Dia sebenarnya berasa segan. Walaupun sudah biasa bertandang ke rumah ibu dan ayah Arina, namun rasa malu masih menebal.
Dah nama rumah orang. Ujarnya dalam hati.
“Eh budak ini. Jangan disebut-sebut nama ‘hantu’ tu. Nanti kamu pula yang kena kacau.” Cikgu Rubiah mencubit lembut pipi Arina. Dia kemudian menggeleng-geleng kepala dan tersenyum apabila melihat gadis itu terkekeh ketawa.
“Dah, masuk  cepat. Panas kat luar ni. Ibu dah masak asam pedas ikan pari. Kejap lagi ayah kamu balik dari solat jumaat, kita makan sama.”
“Wah, asam pedas ikan pari!” Arina kesukaan. Kecur air liurnya. Kuah asam pedas Cikgu Rubiah memang sedap. Pekat dan melekat!
“Kau masuklah dulu Syikin.” Ujar Arina kemudian. Bawa beg kau sekali.” Sambungnya lagi. Syikin mengangguk dan menurut Cikgu Rubiah masuk ke dalam rumah. Arina pula bergegas ke laman kerana ingin mengunci pintu pagar.
Dihujung jalan, dia ternampak ayahnya berjalan perlahan menuju ke rumah. Dengan memakai baju melayu cekak musang, berkain pelekat dan bersongkok hitam, ayahnya mengukir senyum apabila ternampak dirinya.
Yeee…ayah dah balik. Ujarnya girang dalam hati.
***
Hari Sabtu, Arina dan Syikin  meronda-ronda disekitar City Square Complex sambil di tangan masing-masing memegang aiskrim sundae. Sementara menunggu wayang yang bermula kira-kira sejam lagi, kedua-dua gadis itu berlegar-legar tanpa tujuan. Arina mengitarkan pandangnya melihat sekeliling. Sementara Syikin pula dari tadi asyik melihat handphone.
“Err..Arina aku nak ke toilet kejap.” Ujar Syikin tiba-tiba. “Nak terkucil.” Sambungnya lagi. “Kau nak tunggu aku kat mana nanti?”
“Ok, pergi cepat. aku tunggu kau kat F.O.S.” Syikin mengangguk dan bergegas menuju ke toilet di hujung kompleks itu.
Arina pula menapak menuju ke F.O.S. Setibanya disana, dia meninjau-ninjau disekitar gedung pakaian itu. Dia memang gemar membeli-belah di F.O.S. Pakaian pelbagai jenama digedung itu selalu memenuhi citarasanya yang sederhana. Dia menapak ke hujung timbunan baju kerana ramai gadis sepertinya sedang memilih-milih pakaian disitu.
Mesti ada sale. Detik hatinya.
Arina membelek-belek baju yang bertimbun disitu bersama beberapa customer yang lain. Dia kelihatan seronok memilih-milih pakaian yang mempunyai pelbagai design yang baru. Arina mencuba beberapa pakaian yang kelihatan menarik pada pandangan matanya. Agak lama juga dia memilih baju yang berkenan dihati. Apabila berpuashati, Arina menuju ke kaunter pembayaran dan bergegas keluar dari kedai itu.
Ish, mana Syikin ni. Lama sangat kat toilet.Arina merungut dalam hati. Dia yang masih berdiri dihadapan kedai pakaian itu balik-balik melihat jam dipergelangan tangan.
 Dah hampir empat puluh minit aku kat kedai ni, dia tak habis lagi! Wayang dah nak start ni. Dia membebel lagi.
“Arina.”
Gadis itu terperanjat. Cuba mengenal suara itu. Macam pernah dengar!
 Apabila dia melihat dari mana datangnya pemilik suara itu, Arina tergamam. Reza! Arina berasa pelik. Macamana dia boleh ada kat sini.
Reza melangkah menuju kearah Arina yang masih kelihatan terkejut. Penampilan pemuda itu agak berbeza. Tidak seperti sebelum ini. Walaupun masih memakai seluar jeans dan t shirt, tapi tidak ada lagi fesyen jeans koyak di lutut. Juga tidak ada lagi anting-anting di telinga kanan pemuda itu. Dan yang paling ketara, gaya rambut lelaki itu juga telah berubah. Rambutnya kelihatan lebih kemas dan dipotong mengikut gaya rambut Lee Min Hoo dalam drama personal taste!
 
“Assalammualaikum.” Pemuda itu menyapa lembut apabila berdiri bertentangan dengan Arina.  Matanya redup merenung wajah gadis itu dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir.
“Err..waalaikumsalam.” Arina kelihatan gugup, terperanjat sebenarnya.
“Arina apa khabar? Sihat tak?”
“Alhamdulillah sihat.” Tiba-tiba hatinya berasa riang dengan kehadiran Reza yang tidak diduga itu. Namun Arina bijak menyembunyikan rahsia hati. Dengan mimik muka selamba, dia membalas tenungan Reza.
“Err..awak buat apa kat sini, maksud saya macamana awak boleh tahu saya ada kat sini.”
Reza tersenyum memandangnya. Dia kemudian menoleh ke kiri. “Syikin yang bagitahu.” Ujar pemuda itu sambil menunjuk Syikin yang sedang menapak kearah mereka berdua. Gadis itu tersengih sambil merapatkan kedua-dua tapak tangan tanda meminta maaf!
Arina mengetap bibir. Ooo.. kaulah dalang selama ni, geramnya aku minah ni! Dia menjerit geram dalam hati. Boleh-boleh dia jadi spy selama ini! Sambungnya lagi. Namun Arina kemudian tersedar sendiri.
Tak payah hipokrit lah Arina. Bukan kau pun suka dapat jumpa mamat ni balik!
Arina mengeluh lembut. Tatkala memandang Reza semula, jantungnya seakan berhenti berdegup. Pemuda itu sedang merenung wajahnya dengan penuh kasih! Arina menjadi tak keruan. Dia surrender. Hatinya tiba-tiba menjadi layu dibelai tenungan pemuda  sewel itu!
Bahagianya hati ini apabila ‘si dia’ muncul lagi!
***
Kenduri doa selamat di rumah orang tua Arina telah  selesai. Namun Cikgu Rubiah masih sibuk mengemas didapur. Arina dan Syikin pula membantu apa yang patut. Sambil mengelap pinggan diatas meja dapur, Arina menjeling ke ruang tamu. Kelihatan disana Cikgu Hamdan sedang asyik berbual dengan  Reza. Sesekali, terdengar tawa diantara mereka.
Entah apa yang lucu sangat. Detik hatinya.
“Amboi, tenung lagi sampai juling.” Entah bila masa Syikin duduk disebelahnya. Sambil tersengih, gadis itu mencapai pinggan diatas meja dan membantu Arina mengelapnya.
Arina menjeling Syikin sekilas. Walaupun dia berasa geram dengan sikap Syikin kerana menjadi ‘mata-mata gelap’ Reza selama ini, namun dia tetap memberi ‘kredit’ kepada sahabatnya itu. Selepas kantoi menjadi spy tak bergaji, Syikin memujuk Arina untuk mempelawa Reza datang ke majlis kenduri di rumah orang tua gadis itu.
Kesian dia. Pujuk Syikin semalam selepas memaksa Arina masuk kedalam toilet bagi membincangkankan hal itu! Akhirnya Arina bersetuju kerana dia juga berasa kasihan kepada Reza. Jauh-jauh pemuda itu datang semata-mata ingin berjumpa dirinya. 
 Reza kemudian memujuk kedua-dua gadis itu untuk mengikut mereka pulang ke rumah sejurus  menonton wayang. Walaupun telah dijelaskan berkali-kali  kenduri hanya dibuat pada hari ahad, pemuda itu enggan mengalah. Dia tidak mahu menjadi tetamu jemputan, tapi nak jadi ‘Ahli Jawatankuasa’ kenduri katanya. Nak tolong apa-apa yang patut. Lepas tolong, baru dia cari hotel.
Nak tolong apa, bukan kena cari kayu api pun! Cebik Arina.
Eleh, nak tunjuk yang dia tu menantu contohlah kononnya. Nak tarik perhatian ibu dan ayah aku. Sambungnya lagi dalam hati.
Tapi bila masa pula aku bercinta dengan dia! Arina kemudian tersengih sendiri. Kalau Syikin tahu apa yang difikirnya ketika ini, mahu sampai ke esok pagi gadis itu menyakatnya!
Ayah dan ibu Arina agak terperanjat pada mulanya apabila mereka membawa Reza pulang ke rumah. Namun setelah dijelaskan, Cikgu Hamdan pula yang lebih-lebih. Bukan dia tak tak tahu perangai ayahnya, pantang kalau ada tetamu datang rumah. Layanan macam raja, first class!
 Ayahnya terus mempelawa Reza tidur di rumah mereka kerana kasihan kepada pemuda itu yang masih terkial-kial mencari hotel! Bertambah lebar sengih Reza bila mendapat greenlight dari orang tua Arina.
Rajin budak tu. Begitu kata Cikgu Hamdan semalam. Cikgu Rubiah juga amat menyenangi sikap Reza. Berbudi bahasa budaknya. Ujar Cikgu Rubiah pula.
Berbudi bahasa? Kalaulah ibu dan ayah tahu yang Reza adalah penyebab dia masuk hospital, naya mamat tu!
Reza tu baik Arina. Cuma nakal sikit je. Biasalah lelaki. Bagilah dia peluang. Tak payah marah dia lagi. Kau tengok, sampai ke JB dia cari kau! Kata-kata Syikin pula terngiang-ngiang ditelinganya.
Wah, semua orang pun nak back up mamat tu. Tapi sumpah, aku memang tak marah kat dia lagi!
Akhirnya, Arina mula berhenti menyalahkan Syikin kerana berkomplot dengan Reza selama ini. Sedikit demi seikit, dia mula menerima nasihat sahabatnya itu.
Sahabat sejati sentiasa menginginkan kebahagian buat sahabatnya. Ceh! Arina berfalsafah dalam hati. Dia kemudiannya tersenyum sendiri.
“Dah gila ke apa senyum sorang-sorang?”
Syikin menyoal dengan mata yang sengaja dibesarkan. Arina tersentak. Dia membuat mimik muka ‘joker’ lalu mengangkat pinggan yang sudah kering ke almari pinggan mangkuk di ruang tamu. Namun telinganya  sempat tertangkap suara tawa Syikin dibelakang.
Malas aku nak layan. Dia menggerutu dalam hati.
Apabila melintasi ruang tamu, mata Reza tertancap kearahnya. Lelaki itu tersenyum seraya menganggukkan kepala kepada Arina. Sambil tersenyum Arina membalas anggukan Reza. Namun perlakuan itu mati tiba-tiba apabila Cikgu Hamdan mula tertoleh-toleh memandang mereka berdua . Tergesa-gesa Arina menapak menuju ke almari yang terletak disudut ruang tamu. Dia berpura-pura sibuk menyusun pinggan mangkuk yang sudah dikeringkan. Namun jauh dari sudut mata, Arina terkesan Reza masih mencuri-curi pandang memerhati dirinya. Dia juga perasan pemuda itu melihat setiap gerak gerinya.
Arina tak tahu apa yang dirasainya saat ini. Namun apa yang pasti, hatinya sedang berbunga-bunga riang dengan kehadiran Reza. Dan secara perlahan, dia mula sedar yang dia sudah mula menyukai lelaki itu!
***



            

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen