Datuk Amran duduk
berehat di halaman rumah banglo mereka. Angin petang yang berpuput lembut
menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bersantai-santai disitu. Matanya terasa segar
apabila menatap pokok-pokok bunga hasil tanaman isterinya. Pokok-pokok bunga
itu tumbuh dengan begitu subur.
Datuk Amran
tersenyum. Datin Khadijah memang ‘hantu’ bunga. Pantang mempunyai masa senggang, dia pasti akan menambah koleksi
pokok-pokok bunga di halaman rumah. Sekali imbas, kediaman mereka ini seperti
taman, sana sini bunga!
Datuk Amran mencapai
surat khabar diatas meja. Setiap hari, tukang kebun merangkap pemandu mereka Pak Aman akan meletakkan surat khabar disitu.
Kecuali kalau hari hujan, Pak Aman akan
membawa semua surat khabar yang ditempah itu masuk ke dalam rumah dan
menyerahkannya kepada Nab orang gaji mereka.
Datuk Amran membaca
tajuk utama akhbar itu sebelum satu
persatu helaiannya diselak. Keningnya berkerut menghayati setiap butir berita
yang disajikan. Sekali-sekala kelihatan dia menggeleng-gelengkan kepala. Berita-berita
yang dipaparkan benar-benar menenggelamkan dirinya dalam kekhusyukan.
Perhatiannya
terganggu apabila telinganya menangkap deru kenderaan dari luar pagar. Datuk
Amran mendongakkan kepala. Kelihatan kereta Nissan
Fairlady milik Rozana masuk ke perkarangan banglo itu. Apabila wajah Rozana
terpacul keluar, anak gadisnya itu melambai ke arahnya seraya menunjuk-nunjuk
ke dalam rumah. Datuk Amran cuma menganggukkan kepala.
Hmm..Budak-budak
sekarang bukan reti nak bersalam dahulu dengan orang tua. Bebelnya sendiri lantas
meneruskan bacaannya semula.
“Kusyuk benar bacanya
tu.” Tegur Datin Khadijah seraya meletakkan dulang minuman ke atas meja. Dia
melabuhkan punggung dihadapan suaminya sebelum mencapai teko yang berisi air
kopi panas. Datuk Amran memandang cawan yang berisi kopi kegemarannya itu.
Aroma kopi hitam pekat itu mula merasuk nafsunya. Dia segera melipat surat
khabar dan menyambut cawan yang dihulurkan oleh Datin Khadijah.
Ahh..lega sungguh
rasanya apabila air kopi itu merangsang deria manis lidahnya. Sedap betul kopi
bancuhan isterinya itu!
Datin khadijah
menghulurkan sepinggan kuih keria. Datuk Amran mencapai kuih itu sebelum
menyumbatnya ke dalam mulut dan mengunyah perlahan.
Datin Khadijah
tersenyum. Dia cukup senang melayan suaminya. Senyumannya semakin melebar
apabila Datuk Amran mencapai sebiji kuih lagi. Dirinya berasa sungguh bahagia
ketika ini. Perangai bengis suaminya langsung hilang. Kini Datuk Amran telah berubah
menjadi seorang suami dan ayah yang cukup penyayang. Lebih-lebih lagi apabila telah
bergelar atok.
Alhamdulillah. Ini
semua kehendak Allah. Tidak putus-putus dia melafazkan syukur dalam hati.
Datin Khadijah kemudian
memandang ke halaman rumah. Kelihatan kereta anak gadisnya menjalar disitu.
Dah balik la tu.
Detiknya sendiri sambil menjenguk-jenguk lagi disekitar halaman. Kereta Along
belum kelihatan lagi.
Malam baru balik
agaknya. Lanjutnya seraya mengalihkan pandangannya ke beranda. Kelihatan Kak
Nab orang gaji mereka sedang menyapu disitu. Menantunya Syuhada berada di dalam
rumah. Ketika lalu dibilik tidur Along dan Syuhada tadi, dia ternampak
menantunya itu sedang menidurkan Danial.
Datin Khadijah
tersenyum apabila mengenangkan telatah Danial yang semakin membesar. Cucunya
itu agak lasak. Kadang-kadang sakit juga pinggangnya dan Datuk Amran melayan
cucunya itu bermain. Walaupun lasak, Danial agak manja dengan ibunya. Ada masa
tertentu dia langsung tak mahu dengan orang lain kecuali dengan ibunya sendiri.
Akhirnya Syuhada terpaksa berhenti kerja
dan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga Danial. Hanya suaminya sahaja
yang keluar bekerja. Danial kini menjadi keutamaan Syuhada.
Datin Khadijah
tersenyum manis. Suami, anak, menantu dan cucu semua berada dihadapan mata.
Berbunga-bunga hatinya mengecapi kebahagiaan itu. Dalam usia emas seperti ini,
dia amat mendambakan keluarga mereka dapat berkumpul semua.
Tiba-tiba ingatan
Datin Khadijah menerpa kearah Reza. Dia memandang kearah datuk Amran yang
sedang enak mengunyah kuih keria.
“Abang.”
Datuk Amran memandang
wajah Datin Khadijah. Keningnya berkerut, agak tidak suka berbual ketika sedang
mengunyah makanan.
“Angah dan Arina dah
lama tak call kan?”
“Sibuklah tu.” Datuk
Amran menjawab sepatah.
Datin Khadijah seprti
tidak berpuashati dengan jawapan itu.
“Aiiii..takkan call pun tak sempat? Entah sihat ke
tidak budak-budak tu.” Rungut Datin Khadijah seraya membentuk-bentuk mulut.
Datuk Amran memandang
sekilas. Dia berasa gelihati apabila mendengar rungutan isterinya itu.
“Biarlah Dijah
oiii..Diorang bukannya budak-budak lagi awak nak risau sangat.”
Datin Khadijah
memandang suaminya. Mulutnya bertambah muncung.
“Dijah ni bukan apa
bang. Menantu kita Arina tu, dulu hampir setiap hari dia call bertanya khabar. Ni dah beberapa hari tak call. Mau saya tak risau.” Luahnya berterus terang. Seraya wajah
menantunya yang lembut itu menerpa fikiran. Arina cukup manja dengannya.
Kadang-kadang dia merasakan Arina itu seperti anak kandungnya sendiri dan bukan
menantu. Arina cukup pandai mengambil hatinya. Syuhada pun sama. Cuma Syuhada agak
pendiam berbanding dengan Arina.
“Bagilah mereka sedikit
ruang Dijah oiii. Takkan semua hal rumahtangga, mereka nak cakap dengan kita
ni. Awak ni pun satu.” Tingkah Datuk Amran seraya mencapai cawan kopi dan
menghirupnya perlahan. Dia kemudian tersenyum apabila melihat wajah masam
isterinya itu.
“Susahlah cakap
dengan abang ni. Dahlah Dijah nak masuk dalam.” Ujar Datin Khadijah terus
bangun.
Datuk Amran tersenyum
lagi sambil menggeleng kepala melihat keletah isterinya itu. Makin tua makin
kuat merajuk!
Belum pun sempat
Datin Khadijah berlalu, tiba-tiba Rozana melaung memanggil mereka berdua. Berkali-kali
gadis itu menjerit memanggil ‘papa’ dan ‘mama’. Mereka menoleh serentak kearah
rozana yang tercungap-cungap berlari keluar rumah sambil memegang telefon
bimbit di tangan.
“Kenapa ni Zana?
Menjerit-jerit panggil papa dan mama macam tu.” Tegur Datin Khadijah kurang
senang dengan kelakuan anak gadisnya seorang itu. Datuk Amran cuma memandang. Rozana
cuba mengatur nafasnya semula sambil menunjukkan isyarat tapak tangan. Tangan
kirinya yang menggenggam telefon bimbit diletakakkan di atas lutut.
“Apa kena lah budak
ni. Macam baru tamat lari 100 meter lagaknya!” Bebel Datin Khadijah seraya menggeleng-gelengkan kepala.
“Sorry pa, ma. Tak sengaja. Ni, Angah telefon. Dia..” Rozana tidak
sanggup menghabiskan kata-katanya.
“Mama cakap sendiri
lah.” Ujarnya sambil menghulurkan telefon bimbit. Muka gadis itu kelihatan
masam.
“Ish, apa kena lah
dengan budak ni. Angah telefon nak terjerit-jerit macam tu.” Bebel Datin
Khadijah seraya mencapai gajet itu.
“Ye Waalaikumsalam…” Datin
Khadijah tersengih memanjang apabila mendengar suara Reza.
“Ye, lama Angah dan
Arina tak telefon. Menantu mama tu sihat tak? Dah berisi ke belum?” Lanjut
Datin Khadijah lagi sambil tersenyum. Sayup-sayup dihujung talian kedengaran
suara Reza menjawab soalan Datin Khadijah walaupun butir-butir percakapannya
kurang jelas pada pendengaran Datuk
Amran dan Rozana. Datuk Amran terus menghirup kopi panas tanpa mahu
mempedulikan isterinya itu. Sementara Rozana kelihatan berdebar-debar menanti
reaksi ibunya.
“Apa?!
Astaghfirullah. Kenapa boleh jadi macam tu? Hello..hello Angah.” Ujar Datin
Khadijah tiba-tiba sambil terus memegang dadanya. Suara Datin Khadijah yang
melengking manarik perhatian Datuk Amran. Dia memandang Datin Khadijah yang
sedang merenung telefon bimbit ditangan. Kelihatan berkerut seribu kening
isterinya itu.
Bertuah punya budak.
Orang tua tak habis bercakap dia dah tutup panggilan. Getus Datin Khadijah
geram. Rona mukanya berubah kemerahan.
Hidungnya kembang kempis menahan marah yang membuak-buak didada.
Aku dah agak dah.
Mama mesti mengamuk punya! Detik Rozana dalam hati. Arina kan menantu
kesayangan mama!
“Apa hal dengan
Angah?” Soal Datuk Amran dengan keningnya sedikit terangkat.
“Anak jantan awak tu
lah, besok nak menikah lagi satu!”
Datuk
Amran jelas terperanjat. Mulutnya terkumat-kamit beristighfar.
“Dah kenapa budak tu?
Kenapa tiba-tiba nak nikah? Dengan siapa? Arina pula macamana?” Soal Datuk
Amran bertubi-tubi.
“Ni lah saya tak
sempat tanya dia dah letak telefon.” Ujar Datin Khadijah dengan suara
ditekan-tekan. Dia menjeling suaminya. Geram rasanya apabila Datuk Amran terus
melontarkan pertanyaan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya.
“Dia cakap macam tu
je ke mama?” Rozana tiba-tiba mencelah. Kedua-dua suami isteri itu
serentak mengangkat kening memandang
Rozana.
“Ye lah. Tu je dia
cakap kat mama tadi.”
Rozana mengeluh.
“Kenapa dengan Angah
Zana?” Soal Datin Khadijah mula berasa sesuatu yang tidak kena. Sementara Datuk
Amran terus memandang tepat kewajah anak gadisnya yang seorang itu. Rozana
mengumpul seluruh nafas sebelum menghembusnya perlahan. Dia memandang wajah
kedua-dua orang tuanya silih berganti.
“Papa dan mama jangan
terperanjat pula.”
“Cepatlah cakap.”
Desak Datin Khadijah.
“Angah kena tangkap
khalwat. Dalam rumah mereka sendiri. Pasal tu dia kena nikah dengan perempuan
tu.” Perlahan-lahan dia menuturkan kata-kata itu. Rozana kemudian mencebik
mendengar kata-katanya sendiri sebentar tadi.
Bodohlah Angah ni. Kutuknya
dalam hati. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terlalu sakit hati dengan kelakuan
abangnya yang seorang itu.
Datuk Amran dan Datin
Khadijah berpandangan sesama sendiri. Datuk Amran terus menanggalkan kaca mata
yang dipakainya dan memicit-micit dahi. Sementara Datin Khadijah merasakan
seperti ada batu besar sedang menghempap kepalanya ketika ini!
***
Arina melunjurkan
kaki. Terasa lega urat kakinya apabila berehat-rehat seperti itu. Tanpa
menanggalkan telekong, dia termenung dengan kepalanya mendongak ke atas bumbung
surau Lapangan Terbang itu. Lima jam penerbangan ditunda menyebabkan sakit
hatinya datang lagi. Dalam saat-sat genting, perkara sebegini boleh terjadi.
Arina mengeluh
kebosanan. Dia kemudian memejamkan mata apabila kelopak matanya mula memberat.
Akhirnya dia terlelap seketika. Suasana berhawa dingin di dalam surau itu
benar-benar membuai lenanya. Sekembalinya mereka dari Phnom Penh sebentar tadi,
mereka transit di Lapangan Terbang
ini sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.
Transit bukan sekejap ok!
Bebel Nazirah tadi.
Sebelum berlepas
tadi, mereka sempat berjalan-jalan di Central Market yang terletak di
tengah-tengah bandar Phnom penh. Malam semalam pula mereka melawat Cawangan Pusat
Kecantikan Nazirah yang terletak di Sorya Shoping Center sebelum Ustaz Harun
membawa mereka mengelilingi bandar itu untuk melihat kemeriahan bandar Phnom
Penh di waktu malam. Perjalanan yang tak henti-henti membuatkan dirinya berasa
cukup-cukup letih saat ini.
Namun lenanya
terganggu apabila cuping telinganya tertangkap suara bayi ketawa. Perlahan-lahan
dia mengangkat kelopak mata. Kelihatan seorang bayi berada dihadapan dan duduk
dipangkuan ibunya. Ibunya menyandar di dinding bertentangan Arina. Bayi itu
tersengih memandang Arina sambil menunjukkan
gusinya yang belum ditumbuhi gigi. Seolah-olah dari tadi dia memerhati Arina
terlelap.
Arina tersenyum. Dia
mengacah-acah sehingga terlonjak-lonjak badan bayi itu ketawa. Ibunya tersenyum
memandang Arina sambil menganggukkan kepala.
“Comel anak puan”.
Puji Arina memulakan kata.
“Alhamdulillah.”
Sahut wanita itu tersenyum manis.
“Transit juga ke?” Soal Arina lagi.
“Tak, baru sampai.
Suami saya solat sekejap. Takut nanti tak sempat nak asar kat rumah.” Ramah
wanita itu menjawab.
Arina mengangguk
sambil menanggalkan telekong di kepalanya. Dia menjeling sekilas ke tepi.
Kelihatan Nazirah sedang enak tidur berbantalkan sejadah yang dilipat-lipat
menjadi seperti bantal. Dia kemudian tunduk sambil menekan-nekan telefon
bimbit.
“Balik dulu ye.”
Kelam kabut Arina mengangkat kepala. Wanita itu tiba-tiba berada dihadapannya
sambil mengunjukkan tangan. Arina menyambut huluran itu.
“Eh, dah nak balik.”
“Haah. Ayah budak ni
dah sudah.” Ujar wanita itu ramah.
Arina tersenyum seraya mengangguk. Dia
kemudian mencuit pipi bayi itu. Arina tergelak apabila mata bayi itu bulat memandangnya dengan mulut
yang terjuih seolah-olah tidak mahu meninggalkan dirinya. Dia
melambai-lambaikan tangan kearah bayi itu sambil matanya menyoroti langkah
wanita itu meninggalkannya.
Comel betul. Puji
Arina dalam hati. Dia tersenyum manis.
“Awak bercakap dengan
siapa tu?” Suara serak Nazirah tiba-tiba menerpa cuping telinga. Arina menoleh
pantas memandang Nazirah. Wajah Nazirah kelihatan sembap.
“Stranger.”
Perlahan-lahan
Nazirah bangun dan mengitarkan pandangan melihat sekeliling. Suasana nyaman dari
pendingin udara didalam surau itu membuatkan dia tertidur mati sebentar tadi.
“Mana dia?” Soal
Nazirah lagi.
“Laa..dah baliklah.”
Ujar Arina sambil membelek telefon bimbitnya semula.
“Bangun cepat Ira. Saya
dah nak call Nazim ni. Flight kita lagi dua jam ni.” Gesa Arina
seraya mengerling jam di pergelangan tangan.
Nazirah mencebik.
“Haha..sedap
lama-lama kat sini kan.” Ujarnya dengan lagak ketawa yang dibuat-buat. Nazirah
bangun dan terus duduk menghadap muka Arina.
“Saya suruh driver saya hantar ke JB, awak dan bilal kodok tu tak nak. Kalau naik
kereta, dari tadi kita dah sampai JB.” Lanjut Nazirah kembali mengungkit. Dia
menanti reaksi Arina.
“Laa..tak baik membazir. Tiket Flight kan dah ada, kalau
kita tak ikut flight ni, nanti burn pulak tiket tu. Ish..membazirlah.
Sabarlah, lagi dua jam ni. ” Ujar Arina sambil membetul-betulkan tudung
‘aidijuma’ yang dipakainya. Nyata dia kurang senang apabila Nazirah ingin
membazir seperti itu. Dia bukan seperti itu. Lagipun sejak kecil dia di didik
supaya sentiasa berjimat cermat.
“Ye lah tu.” Nazirah
mencebik. Dia cuma memandang Arina yang berlagak selamba seolah-olah tiada apa
yang berlaku kepada dirinya.
Nazirah mengeluh. Geram sungguh rasa hati
apabila Arina dan Nazim tidak bersetuju dengan cadangannya sebentar tadi.
Walaupun dia mula rapat dengan Arina, sebenarnya dia masih cuba untuk masuk ke dalam
dunia orang kelas sederhana seperti Arina dan Nazim. Dirinya selama ini tidak
pernah berasa susah. Baginya berapa ‘sen’ sangatlah kalau tiket penerbangan
yang dikatakan Arina itu ‘burn’. Namun perasaannya itu hanya menjadi rahsia
hati tanpa mahu diberitahu kepada sesiapa. Tak pasal-pasal nanti dirinya ‘di
cop’ berlagak walaupun hakikatnya dia betul-betul tidak biasa hidup susah.
Lagipun aku buat
semua ni sebab nak selamatkan hubugan kau dengan Reza! Tingkahnya geram dalam
hati.
“Hah, awak dapat call Reza tak?” Soalnya apabila benaknya tiba-tiba teringatkan
sepupunya itu.
Arina tersentak. Mendengar nama suaminya itu membuatkan
dia mengeluh perlahan. Dari tadi dia cuba menghubungi suaminya itu namun
panggilannya hanya masuk kedalam peti simpanan suara.
“Tak dapat call lagi.” Arina menjawab perlahan.
Nazirah terus
memicit-micit dahi.
Adoi, parah!
Rungutnya dalam hati.
***
Reza melangkah laju.
Dia keluar dari perkarangan masjid itu tanpa
memandang kekiri dan kekanan. Suara Zaliya yang menjerit-jerit memanggil namanya juga tidak
dihiraukan lagi. Kakinya pantas sahaja melangkah sehingga ke pinggir jalan. Setibanya
disitu, fikirannya menjadi kosong.
Tangannya segera mencapai kotak rokok yang sengaja diletakkan dipoket baju
melayunya. Dia menjepit sebatang rokok di bibir sebelum menyalakan api.
Berkepul-kepul asap rokok itu keluar dari hidung dan mulut. Matanya sengaja dikecilkan
bagi menahan silauan matahari yang
semakin terik.
Beberapa panggilan
tidak berjawab daripada Arina begitu merusuh hatinya ketika ini. Semalaman telefon bimbitnya terpadam dan pagi tadi, ada
lima puluh tujuh missed call daripada
isterinya itu. Satu pesanan ringkas turut dihantar oleh Arina kepadanya.
Abang, tolonglah jawab call, please…
Namun pesanan itu
hanya dibiarkan tanpa jawapan. Arina ada kat rumah ke? Dia menyoal diri
sendiri.
Reza mengeluh kasar.
Kalau Arina balik, pasti isterinya itu akan tercari-cari akan dirinya. Dia
meraup mukanya dengan tapak tangan. Kelmarin dia telah berpindah ke satu
apartment mewah di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru. Apartment itu
disediakan oleh Faizul untuk dia dan Zaliya tinggal nanti. Cuma dia sahaja yang
berpindah dahulu. Itupun setelah Zaliya berkali-kali memaksanya. Wanita itu
tidak mahu lagi Reza tinggal di rumah arwah ibu dan ayah Arina setelah mereka
berkahwin nanti.
Reza mengeluh lagi.
Sejurus imbasan wajah Faizul bermain-main di ruang mata. Mengingatkan lelaki itu membuatkan Reza
menelan air liur sendiri. Ayah Zaliya itu jelas tidak menyukai dirinya. Dia
masih teringat akan kata-kata lelaki itu ketika mereka diperkenalkan oleh
Zaliya di sebuah restoran.
“Jangan kau ingat aku
terima kau sebab aku sukakan kau. Aku terpaksa terima kau sebab aku tak nak
kecewakan anak aku. Dah ada bini ada hati nak kahwin dengan anak aku. Tak sedar
diri!”
Hatinya cukup terbakar
mendengar kata-kata itu. Apabila ingin meningkah, Zaliya telah kembali ke
tempat duduk. Meluat sungguh hatinya apabila Faizul terus berpura-pura ramah
melayan dirinya dihadapan anaknya itu.
Reza mengetap bibir. Hipokrit, ada aku kesah kau
tak suka aku!
Jelingan mata Faizul
kepadanya apabila dia meninggalkan masjid selepas upacara pernikahannya dengan Zaliya langsung
tidak menggetarkan hatinya.
Pergi mamposlah, aku
dah nikah dengan anak kau dah cukup baik! Pttttuihh! Ucapnya seraya membuang
ludah.
Reza mula merengus. Suasana
yang semakin berbahang membuatkan hatinya yang sememangnya panas bertambah
menggelegak. Pernikahannya dengan Zaliya langsung tidak menggembirakan hatinya.
Fikirannya menjadi kacau. Peluh mula membasahi badan terutama di bahagian belakang
tubuhnya. Baju melayu yang dipakainya mula melekap dibadan menampakkan bentuk
tubuh badannya yang sasa.
Mana si Nazim ni? Detiknya
perlahan sambil matanya tidak lepas memandang kereta yang lalu lalang dihadapan.
Dia terbatuk-batuk kecil sebelum membuang dan
melenyek-lenyekkan puntung rokok itu menggunakan kaki. Dia berkalih
duduk diatas divider jalan yang agak
terlindung sikit dari pancaran matahari. Matanya balik-balik memandang jam
tangan di pergelangan tangan.
Tiba-tiba telefon
bimbit di poket seluarnya bergetar. Pantas dia mencapai gajet itu sebelum
menjawab panggilan.
“Hah, kau kat mana?
Kat dalam? Laaa..aku dah duduk kat luar ni kau tak nampak ke? Iye, aku kat luar
ni. Dah.” Dia mematikan panggilan dan terus bangun dan memandang ke dalam
perkarangan masjid itu.
Kelihatan sebuah
kereta Innova berwarna kelabu
perlahan-lahan menjalar keluar dari perkarangan masjid dan betul-betul berhenti
dihadapannya. Reza menjenguk-jenguk memandang ke dalam. Apabila cermin tingkap
diturunkan, Reza terpaku. Arina memandang wajahnya dengan linangan air mata!
***
“Sial!” Zaliya
berteriak sekuat hati. Terhenjut-henjut bahunya menahan nafas kasar yang berasak-asak
keluar melalui rongga hidung. Habis
barang-barang di dalam bilik itu dicampaknya.
“Bodoh!” Jeritnya
lagi sekuat hati.
“Betina bodoh!”
Zaliya seperti wanita gila yang hilang kawalan. Habis barang-barang hantaran
daripada Reza dicampakkan ke merata-rata tempat. Zaliya menggigit ibu jari
sekuat hatinya sehingga dia terjerit sendiri.
“Sakitnya hati aku!”
Jeritnya lagi sambil mencampakkan set alat solek mary kay yang terletak diatas meja. Berderai peralatan solek itu apabila
terhempas ke dinding.
Dia terduduk sambil
mengitarkan pandangan melihat sekeliling. Kedua-dua tangannya dibentuk seperti
penumbuk. Badannya menggigil menahan rasa sakit hati yang menekan. Serasa mahu
pecah dadanya menahan amukan itu seorang diri. Dirinya hanya berseorangn di
apartment itu apabila Faizul terus bergegas balik ke Kuala Lumpur selepas
majlis pernikahannya tadi.
Selajur adengan yang
dilihatnya di masjid tadi bermain di ruang mata. Selepas Reza meninggalkannya,
dia perasan seorang lelaki sedang mencari-cari sesuatu di dalam masjid.
Mula-mula dia tidak kisah dengan lelaki itu. Namun apabila dia terdengar lelaki
itu menyebut nama Reza, dia segera mendekati. Lelaki itu pula kelam kabut
keluar dari masjid apabila perasan kehadirannya. Zaliya mengejar namun lelaki
itu terus masuk kedalam kereta. Zaliya
tidak pasti siapa dua orang wanita bersama-sama lelaki itu.
Dia terus memerhati
dan dia ternampak kereta itu perlahan-lahan keluar dari perkarangan masjid dan
berhenti di luar pagar. Senyap-senyap dia keluar dan mengekori kereta itu. Hatinya
tiba-tiba membara apabila dengan jelas dia ternampak Arina dan lelaki yang
masuk ke masjid tadi keluar mendapatkan Reza. Hatinya bertambah sakit apabila
wanita yang melempang wajahnya itu turut ada bersama. Dihadapan matanya, dia
melihat Arina mencium tangan Reza sambil menangis.
Dia melaung memanggil
nama Reza. Namun apabila ternampak akan dirinya, kelam kabut mereka semua menaiki kereta dan meninggalkan
dia dengan baju pernikahan seorang diri. Seolah-olah dirinya dilihat seperti jelmaan hantu yang menakutkan
semua orang.
“Sialllll!!!!!!!”. Jerit
Zaliya lagi sekuat hati.
***
Reza menjerit nyaring
apabila Ustaz Hanafi memulakan bacaan rukyah. Terketar-ketar kedua-dua
tangannya memegang kedua-dua belah telinga. Urat-urat berwarna hijau kelihatan
timbul di sekitar dahinya. Nazim memegang kedua-dua bahu Reza yang sedang duduk
berlunjur sementara Ustaz Hanafi duduk meninggung dihadapan lelaki itu.
“Ya Allah sakitnya,
erghhhh”. Jerit Reza sambil cuba meronta-ronta apabila Ustaz Hanafi terus menekan
kedua-dua ibu jarinya. Menggeletar tubuhnya apabila Ustaz itu terus-terusan
mengalunkan bacaan rukyah.
Arina menangis semahunya. Berkali-kali dia
mengesat air mata. Dia merasa betul-betul berdosa meninggalkan suaminya dalam
kesusahan seperti itu. Nazirah memeluk bahu Arina. Dia juga berasa hiba melihat
Reza. Mujur Nazim sanggup membantu. Kalau tidak mereka berdua tidak tahu
bagaimana untuk memulihkan Reza.
Cadangan bertemu
ustaz Hanafi ini adalah usul daripada Ustaz Harun. Ustaz Hanafi adalah adik
kepada Ustaz Harun yang telah bermastautin di Malaysia dan telah berkahwin
dengan seorang wanita Melayu. Ustaz Harun tidak dapat mengikut mereka balik ke
Malaysia atas tuntutan masyarakat Muslim disana yang menginginkan dia terus
berada disana buat masa ini. Sebuah pembinaan masjid di Kampung Cham memerlukan
perhatian yang khusus daripada Ustaz Harun yang bertindak sebagai sukarelawan
di kampung itu. Walaubagaimanapun, Arina sempat diubati oleh Ustaz Harun dan
dia bersyukur kerana dirinya telah sembuh dan bebas dari sihir buatan orang.
“Keluar aku kata!” Suara
Ustaz Hanafi tiba-tiba melengking memenuhi ruangan itu. Arina dan Nazirah
tersentak. Terkumat kamit mulut Arina beristighfar. Dia pasti, Ustaz Hanafi bukan
menengking Reza tetapi makhluk lain yang menumpang dalam tubuh suaminya itu.
“Keluar aku kata!”
Arah Ustaz Hanafi sambil terus menekan ibu jari Reza.
“Adoi, sakitlah.
Jangan tekan lagi lah, bodoh!” Jerit makhluk yang menumpang didalam tubuh Reza.
“Tau kau sakit. Kau
akan bertambah sakit kalau kau terus duduk dalam tubuh ini. Aku bakar kau
dengan ayat-ayat Al-quran, kau nak macam tu?” Ugut Ustaz Hanafi lagi sambil
terus memicit ibu jari Reza. Dia tidak berkompromi lagi dengan makhluk laknatullah
itu.
“Adoi, Aku tak nak
keluarlah!”
“Kenapa kau tak nak
keluar?” Soal Ustaz Hanafi sambil merenung tajam ke mata Reza. Arina memandang
Reza. Suaminya itu menyeringgai.
“Kenapa kau tak nak
keluar?” Ulang Ustaz Hanafi lagi. Reza menjerit apabila Ustaz Hanafi mencapai
kayu nona disisi dan memukul lututnya dengan kayu itu. Berkerut-kerut wajah
Reza apabila Ustaz Hanafi terus-terusan memukul kakinya. Sebenarnya Ustaz
Hanafi hanya memukul perlahan, tetapi dirasakan seperti bara api yang hinggap
dikaki.
“Adoi, sakitlah! Tuan
aku suruh aku duduk dalam tubuh ni.” Ujar makhluk itu membentak. Akhirnya dia
membuat pengakuan kerana tidak tahan menahan kesakitan.
“Siapa nama tuan
kau?” Soal Ustaz Hanafi lagi.
Diam.
“Aku tanya siapa? Kau
nak aku bakar kau?”
Reza menjerit nyaring
apabila ibu jarinya ditekan lagi. Badannya menggigil hebat. Menggelutuk giginya
seolah-olah menahan kesejukan.
“Tttttaaabittttt…”
Ujar makhluk itu tergagap-gagap. Dia berusaha kekal didalam tubuh Reza walaupun
semakin lemah. Berhadapan dengan manusia yang kuat agama seperti Ustaz Hanafi
membuatkan dia benar-benar berasa gentar.
Arina tersentak. Dia
cukup mengenali bomoh tua yang tinggal
di hujung kampung.
“Siapa Tabit?” Soal
Ustaz Hanafi lagi.
Diam.
“Cepat cakap!”
Badan Reza terus
menggeletar apabila Ustaz Harun terus kejap menekan ibu jarinya.
“Bomoh tua yang
tinggal dekat hujung kampung tu lah, bodoh!” Makhluk itu menjelaskan separuh
memekik. “Sakitlah!” Bentaknya lagi. Namun Ustaz Hanafi tidak menghiraukan
jerit pekik dan sumpah seranah makhluk itu.
“Sampai bila dia
suruh kau duduk dalam tubuh cucu Adam ini?”
Reza menggelinjang.
Nafasnya kedengaran kasar terhembus. Matanya sekejap celik sekejap pejam.
“Sampai lelaki ni
mampos!”
Semua yang ada disitu
beristighfar. Ustaz Hanafi menggeleng-gelengkan kepala.
“Apa kaitan bomoh itu
dengan anak muda ni? Apa dosa dia sampai kamu diarahkan duduk mengganggu jasad
ini? Tahukah kamu perbuatan kamu itu adalah dilaknat Allah.” Tegas kedengaran suara
Ustaz Hanafi.
Reza menyeringgai
lagi. Dia cuba melawan kesakitan yang dialaminya dan langsung tidak mahu
mengalah. Sifat azali iblis yang bongkak benar-benar diwarisi oleh makhluk yang
menumpang dalam ditubuhnya.
“Aku diarahkan supaya
menghuru-harakan rumahtangga lelaki ini. Sehingga dia bercerai-berai dengan isterinya.”
Ujar Reza penuh bangga dan terus ketawa. Suaranya sekejap kedengaran seperti suara
Reza, sekejap lagi kedengaran seperti suara lelaki tua.
“Isteri kedua lelaki
ini yang meminta bantuan Pak Tabit. Si Zaliya.” Ujar makhluk itu tanpa dipinta.
Suaranya kedengaran semakin serak.
Arina memegang
dadanya kerana terlalu terperanjat. Terasa sesak dadanya apabila mendengar nama
wanita itu.
“Rosmah dan Zuraini
pun terlibat sama.” Lanjut makhluk itu lagi sambil terkekeh ketawa.
Nazirah kelihatan
mengetap bibir. Nazim menoleh memandang mereka berdua. Sementara Arina semakin
terkelu apabila mendengar nama kedua-dua beranak itu. Dia merasa geram dan
berjanji akan bersemuka dengan Mak Su dan Zuraini nanti.
Ya Allah, kesiannya
suami ku. Aku meninggalkan dia saat dia perlukan aku. Ampunkan aku Ya Allah.
Doanya penuh hiba dalam hati. Wajah suaminya dibasahi keringat itu ditatap penuh
sayu.
“Dan kau…” Ujar Reza
tiba-tiba sambil menuding jari kearah Ustaz Hanafi.
“Kau takkan sekali-kali
dapat kalahkan aku.” Ujar Reza sambil
mengepal penumbuk dan meletakkan di dadanya berkali-kali. Dia ketawa lagi dan
cuba menerkam ustaz itu namun dirinya seakan terkunci. Makhluk itu kedengaran
merengus kerana malu.
Ustaz Hanafi
tersenyum sinis.
“Engkau bukan
siapa-siapa jika dibandingkan dengan Allah. Apabila aku melaungkan azan, keluar
kau dari tubuh ini. Muntahkan segala kesakitan yang telah engkau lakukan keatas
tubuh ini.” Ujar Ustaz Hanafi seraya melaungkan azan.
Reza melolong
bagaikan serigala apabila mendengar seruan azan itu. Tubuhnya menggelinjang
umpama udang yang dibakar. Nazim terus memegang bahunya yang semakin kuat
meronta. Tiba-tiba Reza mengeluarkan semua yang ada dalam perutnya sebelum
terkulai pengsan.
***