Online Diary Aku dan Dia..: October 2014

Monday, October 27, 2014

Yes, Isteriku Pregnant!-Bab 10


“Kenapa Reza nak jumpa Liya?” Soal Zaliya riang sebaik sahaja melabuhkan punggungnya di hadapan Reza. Dia sengaja meliuk lentokkan tubuh bagi menarik perhatian lelaki itu. Usahanya agak berhasil apabila mata Reza mula galak memandang tingkahnya itu.
“Mak Su cakap Liya yang suruh datang. Dia suruh saya tunggu Liya kat sini. Ni hah, dia siap suruh saya order makanan lagi.” Ujar Reza sambil menunjuk makanan dihadapan mereka. Mimik muka lelaki itu jelas nampak kehairanan.
Zaliya tersentak. Ingatkan dia yang beria-ia nak jumpa aku! Zaliya sedikit berasa kecewa apabila mendengar kata-kata Reza.
“Macik cakap saya yang suruh da…” Zaliya dengan suara mengejek tiba-tiba mematikan kata apabila akalnya mula memikirkan sesuatu.
Ini mesti rancangan orang tua tu dan Zuraini. Bagus, cepat korang buat kerja Pujinya dalam hati.
Fikirannya mula mencari jalan agar Reza tidak perasan dengan rancangan yang diaturkan oleh Rosmah dan Zuraini. Namun otaknya tiba-tiba menjadi beku. Pujian yang baru diberikan sebentar tadi bertukar menjadi sumpah seranah.
Buat kerja tak inform aku. Bodoh macam keldai! Kutuknya dalam hati sambil terus tersenyum memandang Reza yang cuma memerhati tingkah lakunya itu. Zaliya mula tidak tentu arah.
Adoi..aku nak cakap apa ni! Kepalanya sekejap memandang Reza, sekejap memandang gelas dihadapannya. Dia mula merangka alasan apa yang patut diberi.
“Zaliya?” Tegur Reza. Zaliya tersentak.
“Hah? Ooo..Sebenarnya  Liya dah janji dengan macik dan Zuraini, err..dengan Reza sekali lah. Nak belanja semua orang makan. Tapi ni hah, Zuraini baru sms ni. Katanya macik tak dapat datang. Tiba-tiba pening kepala.” Ujar Zaliya mereka-reka ayat. Kata-kata itu spotan terkeluar dari mulutnya. Matanya sengaja ditolehkan kearah telefon bimbit. Dia berpura-pura menekan gajet itu kerana bimbang Reza akan terkesan dengan  penipuannya. Seboleh-boleh dia cuba mengawal lakonannya dihadapan Reza.
“Ooo..nampaknya kita berdua je la habiskan semua makanan ni.” Ucap Reza sambil memandang Zaliya yang masih ralit menekan-nekan telefon bimbit. Zaliya menghembus nafas lega.
 Fuh, selamat. Nasib baik Reza tak perasan!
Apabila mengangkat pandangan, jantungnya hampir tercabut. Mata Reza redup memandang wajahnya. Hatinya mula terbelai dengan tenungan itu.
Oh my God! Mata itu yang membuatkan dirinya tidak keruan siang malam. Reza, Kahwin dengan aku please!
“Err..mungkin lah kut. Jom lah makan.” Zaliya yang mula tidak keruan segera mengangkat gelas.
 “Cheers.” Dia menghentakkan gelas dengan Reza bagi menyembunyikan kekalutan yang hebat melanda dirinya ketika ini.
Tepat pukul 9.00 malam mereka keluar dari coffe house hotel bertaraf 6 bintang itu. Zaliya segera menyaingi Reza yang mendahuluinya. Mereka jalan beringan menuju ke car park.
“Reza, biar Liya hantar Reza balik.” Pelawa Zaliya dengan suara yang manja. Reza memandangnya sekilas.
“Tak pe Liya. Saya boleh balik naik motor.” Lelaki itu menolak secara baik. Zaliya kelihatan kecewa. Namun dia masih belum berputus asa lagi.
“Err..tapi malam ni macam nak hujan. Nanti awak tak sempat sampai rumah dah basah kuyup.” Pujuk Zaliya lagi penuh mengharap.
“Takpe saya dah..”
“Jom.” Zaliya segera menarik tangan Reza. “Motor biar tinggal sini dulu. Besok kita ambik motor ni.”
Reza terkulat-kulat. Namun dia hanya menuruti gerak langkah Zaliya tanpa ada kekuatan untuk membantah. Sementara dalam kegelapan malam, Zaliya menyembunyikan senyum. Hatinya kuat mengatakan Reza akan menjadi miliknya malam itu!

“Ok, dah sampai.” Zaliya menoleh sambil tersenyum memandang Reza disisi.
“Eh, gelap je rumah awak ni. Isteri awak tak de ke?” Pancing Zaliya walaupun dia telah mengetahui Arina telah meninggalkan rumah itu. Maklumat tersebut diperolehinya daripada Zuraini petang tadi. Dia membuang senyum ke luar tingkap apabila mendapat tahu Arina ditampar oleh Reza. Gembira betul rasa hatinya apabila menerima perkhabaran itu. Semakin senang jalannya untuk memiliki Reza selepas ini.
Reza berdehem. Zaliya menoleh dan memandang lelaki itu semula. Reza memandang dirinya dengan kening sedikit terjungkit.
“Opsss, Sorry.” Kelam kabut Zaliya menekan kunci kereta.
“Ok, thanks.” Reza kelihatan tidak berminat untuk berbual mengenai Arina. Dia segera membuka pintu kereta namun perlakuannya terbantut apabila Zaliya tiba-tiba menarik tangannya. Dia berpaling memandang kearah wanita seksi itu.
“Kan hujan kat luar tu. Biar saya hantar. Ada payung kat sit belakang ni.” Ujar Zaliya seraya berpaling ingin mencapai payung di tempat duduk belakang kereta.
“Eh, takpe Zaliya. Dah de...”
 “Arghhhhhhh.”
 Belum pun habis Reza  berkata-kata, Zaliya menjerit nyaring apabila  tiba-tiba guruh berdentum memekakkan cuping telinga. Dia sengaja mendakap erat tubuh Reza sambil berpura-pura ketakutan.
“Reza saya takut guruh.” Ujarnya terketar-ketar.
Reza yang terperanjat pada mulanya dengan reaksi spontan Zaliya mula meneguk air liurnya sendiri. Manakan tidak, pakaian Zaliya terlalu seksi. Dengan hanya memakai tank top berwarna merah hati dan seluar jenis jorts yang melekap separas peha, hati mana-mana lelaki pun pasti akan tergugat. Lagi-lagi Zaliya kejap memeluk dirinya saat ini.
Reza mengeluh perlahan. Ketika dia ingin membalas pelukan itu, lintasan wajah Arina tiba-tiba muncul di benak. Segera dia meleraikan pelukan Zaliya yang melingkari tubuhnya. Wanita itu kelihatan hampa. Godaannya masih belum berhasil. Namun dia masih belum berputus asa lagi.
Shit! Sumpahnya dalam hati.
“Hati-hati drive balik tu.” Ujar Reza seraya ingin berlalu.
“Err..Reza boleh saya tumpang teduh kat rumah awak. Serius, saya takutkan guruh. Saya harap isteri awak tak kisah.” Ujar Zaliya lirih. Dia cuba menarik perhatian Reza sekali lagi.
“Hujan berhenti saya baliklah. Please, saya takut.” Pujuk Zaliya penuh mengharap. Tangannya kejap memegang lengan sasa lelaki itu.
Reza kelihatan serba salah. Namun apabila dia memandang wajah Zaliya yang benar-benar ketakutan, akhirnya dia mengangguk lemah.
“Ok, jom.”
"Yes!” Jerit Zaliya dalam hati.
                                                                   ***
Passport dah bawa?” Arina mengangguk.
“Ok, aku pergi check in dulu. Takde barang masuk kargo kan?”
 Arina dan Nazirah menggeleng serentak.
Check in kat kiosk tu je Nazim. Tak payah beratur kat kaunter.” Arah Nazirah sambil menuding kearah beberapa mesin kiosk di Lapangan Terbang itu. Nazim mengangguk dan berlalu meninggalkan Nazirah dan Arina.
So? Macamana sekarang? Happy?”
 Arina memandang Nazirah sekilas. 
 Sajalah tu nak sindir aku! Dia mencebik dalam hati.
“Perempuan tak siuman je happy berjauhan dengan suami sendiri.” Arina membalas sindiran Nazirah yang tersengih memandangnya.
“Alaaa..Gurau je lah. Janganlah marah. Senyum sikit.” Ujar Nazirah berseloroh. 
Arina hanya mencebik memandang. “Malas nak layan.”
Nazirah ketawa. “Hah, Pak Lebai dah sudah tu. Jom la masuk dalam.” Ujar Nazirah sebaik sahaja tawanya reda. Kelihatan Nazim menapak laju kearah mereka berdua sambil memegang tiket. Lelaki itu tersenyum manis sambil menunjukkan isyarat ibu jari.
“Suka Pak lebai nak melancong.” Detik Nazirah perlahan.
“Haah memanglah suka. Lagi-lagi pergi dengan awak.” Ujar Arina selamba meninggalkan Nazirah yang melopong memandangnya. 

“Fuh, panaslah Phnom Penh ni.” Rungut Nazirah sambil mengesat peluh yang berjejeran di dahi.
“Nazim punya idea lah ni nak datang sini. Aku ajak pergi Bandung tak nak.” Bebel Nazirah lagi sambil mengipas-ngipas dirinya dengan tangan.
“Awak ni. Kata nak tolong Arina. Ustaz tu tinggal kat sini. Bukan kat Bandung.”
“Macam kat Malaysia takde ustaz.” Bidas Nazirah sambil mencebik.
“Ustaz tu abang angkat saya. Saya nak lawat dia sekali sebab dah lama tak jumpa dia…” Jawab Nazim perlahan. Dia seperti berkecil hati apabila mendengar kata-kata Nazirah.
“Lagipun kan kita nak sama-sama happy kan Arina.” Usai berkata-kata Nazim segera berpaling ke arah lain.
 Awal-awal tak cakap tak nak datang sini. Detiknya dalam hati.
Nazirah yang mula tersedar perubahan air muka Nazim segera menoleh memandang Arina  yang cuma mengangkat bahu.
“Err..gurau je lah. Awak jangan ambil hati ye bilal.” Pujuk Nazirah berseloroh sambil memandang Nazim yang masih menoleh ke arah lain.
“Alaaa…sorry lah. Tak ceria percutian ni kalau bilal masam macam ni. Bilal lah penyeri kami disini.” Nazirah semakin galak mengusik Nazim yang sudah mula memuncungkan mulut.
Arina cuma menggeleng apabila melihat keletah Nazirah. Entah sejak akhir-akhir ini bekas majikannya itu sudah kerap bergurau. Padahal Nazirah yang dikenalinya dulu adalah seorang wanita yang agak serius dan kurang bercakap.
Entah-entah dia dah tangkap cintan dengan si Nazim ni. Teka Arina dalam hati.
Tapi boleh ke? Nazirah anak orang kaya, Nazim kerja bengkel je. Nak ke parents Nazirah terima Nazim? Namun persoalan itu hanya berlegar-legar dalam hati tanpa mahu diluahkan.
 Pandai aku menilai diorang. Aku dengan Reza pun ceritanya sama. Cuma bezanya Reza yang anak orang kaya, aku ni anak orang kebanyakan je!
Kenderaan yang dinamakan ‘tuk tuk’ oleh masyarakat Kemboja itu tersengguk-sengguk apabila melanggar lubang dijalanan. Nazirah mula kelihatan tidak selesa. Lagi-lagi suasana berhabuk dijalanan membuatkan dirinya semakin lemas. Nasib baik sebelum datang kesini dia dan Arina telah membuat kajian ringkas mengenai bandar Phnom Penh ini. Mereka membeli penutup muka di farmasi kerana melalui pembacaan mereka, bandar Phnom Penh memang sangat berhabuk kerana kebanyakan jalan raya disini masih belum dimajukan. Kebanyakannya masih rosak dan sebahagian tempat masih belum berturap.
Lima belas minit kemudian mereka tiba di Hotel New York. Hotel tersebut adalah hotel yang dicadangkan oleh kawan Nazim yang menetap disitu. Arina dan Nazirah mengambil kunci dan berkongsi satu bilik. Sementara Nazim duduk di bilik sebelah. Usai mandi dan solat Zohor, mereka dijemput oleh Ustaz Harun yang merupakan abang angkat Nazim. Ustaz Harun merupakan warganegara Kemboja, namun pernah menuntut di sekolah pondok sewaktu berada di Malaysia beberapa tahun lepas bersama-sama  Nazim.
“Assalammualaikum, apa khabar?” Sapa Ustaz Harun ramah sambil terus berpelukan dengan Nazim. Arina dan Nazirah menjawab salam itu serentak sambil tersenyum. Mereka hanya memerhati perlakuan dua sahabat yang saling bertanya khabar itu. Ustaz Harun kemudian tersenyum memandang mereka berdua.
Setelah diperkenalkan secara ringkas oleh Nazim, mereka berempat keluar dari hotel itu apabila Ustaz Harun mengajak mereka untuk makan tengahari. Mereka hanya bersetuju sementelahan pula perut masing-masing mula berkeroncong minta diisi. Mereka dibawa ke sebuah restoran Islam iaitu Ah-Man Green Restaurant yang menyediakan masakan Malaysia.
“Hmm..sedap rendang dagingnya kan Arina.” Puji Nazirah sambil enak melantak lauk pauk yang disediakan di restoran itu. Arina cuma mengangguk sambil menunjuk isyarat ibu jari. Sementara Nazim ralit berbual dengan Ustaz Harun tanpa mempedulikan pelanggan yang keluar masuk ke dalam restoran itu.
“Err..macamana makanannya, sedap tak?” Ustaz Harun ramah bertanya kepada Arina dan Nazirah.
“Boleh tahan ustaz. Sedap rendangnya. Macam kat Malaysia juga.” Jawab Nazirah tersenyum manis.
“Restoran ni memang menyediakan makanan Malaysia. Sebab tu ramai orang Malaysia yang melancong ke sini, datang makan ke mari . Mereka yang bekerja di Pejabat Kedutaan Malaysia pun selalu makan di sini.” Panjang lebar penerangan yang diberikan oleh Ustaz Harun.
“Oh..ye ke? Patutlah orang kat meja belakang tu cakap Bahasa Melayu tapi pakai baju macam nak ke pejabat. Ingatkan orang sini. Diorang Malaysian ke ustaz?” Soal Nazirah.
“Ye, orang Malaysia. Saya kenal semuanya. Diorang kerja kat Pejabat Kedutaan Malaysia. Saya kenal diorang pun sebab selalu terserempak di sini.” Jelas Ustaz Harun kemudian. Arina hanya mengangguk  tanpa mahu menoleh ke belakang. Dia dan Nazim membelakangi meja yang menempatkan pekerja-pekerja kedutaan Malaysia yang diperkatakan oleh Ustaz Harun itu. Sementara Nazirah dan Ustaz Harun pula duduk bertentangan menghadap mereka berdua.
Ustaz Harun menyambung kembali perbualan dengan Nazim sementara Nazirah dan Arina meneruskan suapan masing-masing. Namun Arina mula perasan Nazirah seperti tak senang duduk.  Kelakuan wanita itu seperti tidak keruan. Matanya tidak lepas-lepas memandang ke hadapan seolah-olah ada sesuatu yang menarik perhatiannya disitu.
Apa kena minah ni? Soalnya dalam hati apabila sesekali Nazirah memuncungkan mulut menyuruh dia menoleh ke belakang. Malas hendak melayan ulah bekas majikannya itu Arina terus memberi tumpuan kepada perbualan Nazim dan Ustaz Harun sambil meneruskan suapannya.
Tiba-tiba telefon bimbit  Arina bergetar menandakan ada isyarat mesej masuk. Nazirah! Hah, tebiat apa la pulak Nazirah ni nak hantar whatsap pulak.
Arina, awek yang makan kat belakang tu ada iras muka awak lah. Serius, sebiji secetak!
Arina memandang wajah Nazirah yang asyik mengangguk-anggukkan kepala tanda betul-betul mengiyakan mesej yang dihantarnya sebentar tadi.
Ahhh..Ira ni. Takkan lah kut!
Cuba awak toleh belakang?
Ahh, malaslah.           
Arina terus meletakkan gajet itu semula di atas meja sambil menghabiskan makanannya.
Tiba-tiba Nazirah menendang kuat kakinya. Arina tersentak. Sepakan Nazirah betul-betul mengenai tulang kaki. Kening Arina berkerut menahan sakit. Dia mengetap bibir menahan geram.
“Korang dah kenapa? Dari tadi macam ada tak kena je?” Rupa-rupanya Nazim mula menyedari kelakuan mereka berdua sejak dari tadi. Ustaz Harun pula buat-buat tidak nampak. Namun Arina perasan, Ustaz Harun tersenyum walaupun dalam keadaan menunduk.
Nazirah tersentak. “Err..takde apa lah. Rendang ni pedas, kan Arina?” Ujar Nazirah sambil tersengih.  Arina turut mengangguk mengiyakan kata-kata Nazirah.
“Dah cepat habiskan makanan tu.” Arah Nazim sambil mengerling Nazirah di hadapannya.
“Tau.” Ujar Nazirah seperti tidak berpuashati dengan Nazim. Sementara lelaki itu berlagak selamba tanpa mempedulikan jelingan Nazirah. Lima minit kemudian, mereka semua duduk kekenyangan.
“Semua dah sudah ke? Kalau dah siap makan mari saya bawa jalan-jalan. Lepas tu saya hantar balik hotel untuk mandi dan rehat sekejap. Lepas Isyak nanti saya datang jemput kamu semua ke rumah saya. ” Ujar Ustaz Harun ramah memberitahu jadual mereka hari itu.
 “Ok sudah.” Sahut mereka hampir serentak. Nazim segera bangun dan menolak tangan Ustaz Harun yang ingin membayar harga makanan.
 “Saya belanja.” Ujar Nazim.
Ustaz Harun mengucapkan terima kasih  dan terus menuju ke van di luar restoran itu.  sementara Nazirah terus berdiri mendapatkan Arina.
“Cuba awak toleh belakang.” Bisik Nazirah di telinga Arina.
“Ye, sabar.” Ujar Nazirah membetulkan beg sandang dibahunya. Perlahan-lahan dia memusingkan badan dan mencari-cari wanita yang dimaksudkan oleh Nazirah.
“Ya Allah!” Terbuntang biji mata Arina apabila melihat wanita itu.
                                                                  ***
Zaliya terkekeh ketawa. Dia langsung tidak menyangka Reza bersetuju berkahwin dengannya secepat itu. Lusa adalah tarikh pernikahannya dengan Reza. Dia tersengih lebar sambil mengetuk-ngetuk jarinya di gelas kaca yang berada di atas meja.
 Fikirannya kembali menerawang mengingatkan perkara yang berlaku beberapa hari yang lepas. Saat Arina dapat menangkap dirinya dan Reza berdua-duaan di dalam bilik tidur, awal-awal dia sudah menyuruh Zuraini menghubungi Pejabat Agama. Dan dihadapan Arina, dia mengaku telah terlanjur dengan Reza. Sementara lelaki itu langsung tidak mengingati apa-apa.
Memang berkesan sungguh ubat guna-guna yang diberikan oleh Pak Tabit. Reza langsung tidak sedar apa yang telah terjadi malam itu. Hahaha!
 Zaliya ketawa lagi sambil terus meneguk air keruh berwarna kuning dihadapannya. Masuk kali ini, sudah lima gelas ‘air kencing syaitan’ itu diteguknya. Malam ini dia ingin meraihkan kejayaannya itu sepuas hati sebelum dia bergelar isteri kepada Reza.
Ahhh..Reza dah jadi milik aku. Tak salah kalau aku nak enjoy malam ni. Ucapnya perlahan sambil memandang gelas ditangannya. Dia menggerak-gerakkan gelas itu sambil memerhati air kuning didalamnya walaupun fikirannya  terarah kepada benda lain.
Arina cuma  semut. Aku pijak sekali, lenyap! Zaliya mula merapu sambil memandang gelas ditangannya. Mulutnya tak berhenti-henti menyebut ‘padan muka kau Arina.’ Dia ketawa lagi sebelum meneguk kesemua baki air itu. Kepalanya mula terasa pening. Mungkin kesan air itu telah mengganngu kewarasannya sedikit demi sedikit.  
“Hi gorgeous, seorang ke? Boleh I duduk?
Zaliya merengus kasar apabila lelaki miang itu terus duduk dihadapannya tanpa dipelawa. Mengganggu sahaja! Bentaknya dalam hati.
“Duduklah, ini bukan meja bapa aku.” Sahut Zaliya kasar. Dia mencebik memandang lelaki dihadapannya itu.
“Wow..garangnya.” Lelaki itu ketawa. “Well, I’m Danial. Saya pemilik kelab ini.”
Zaliya tersentak. Dia terus membetulkan duduknya.
“Oh.. ye ke? Sorry saya tak tahu pula. Tak pernah nampak you sebelum ini?”
Danial tersenyum. “Memang tak nampak. Saya jarang datang ke sini. Sebelum ni my brother yang jaga kelab ni.” Ujar Danial sambil matanya tidak lepas memandang susuk tubuh Zaliya yang hampir terdedah.
“Saya perhati awak dari tadi. Datang seorang diri ke?” Lanjut Danial lagi.
“Ye, saya datang seorang.” Jawab Zaliya ringkas sambil memicit-micit dahinya yang mula terasa pening.
“Banyak minum? stress ke?
Excuss me…” Zaliya mula tidak berasa selesa apabila Danial seperti detektif yang ingin menyoal penjenayah. Danial ketawa.
“Maaf, saya hanya ingin berbual. Bolehkan?” Ucap Danial sambil tersenyum manis memandang wanita anggun dihadapannya itu.
Zaliya merenung tepat ke anak mata Danial. Hmm..handsome juga mamat ni. Zaliya tertawa dalam hati. Layan je lah. Just for fun!
Dia menghias bibirnya dengan senyuman yang pasti akan mencairkan mana-mana lelaki berhidung belang. Usahanya agak berhasil apabila Danial mula tidak keruan.
“Jom menari?” Pelawa Danial. Zaliya mengangguk sambil terus menghulurkan tangannya kepada Danial. Mereka berjalan beriringan dan menyertai mereka yang lain menari di kelab itu. Apabila lagu berentak rancak, mereka terkinja-kinja menari mengikut alunan muzik.
Danial menari sambil matanya tidak lepas memandang tubuh Zaliya yang mula merasuk nafsunya. Gerak-geri wanita itu mula membuat fikrannya tidak tentu arah. Apabila lagu beralih keirama perlahan, semua pasangan menari berpelukan. Danial tidak melepaskan peluang itu. Dia turut memeluk tubuh Zaliya. Wanita itu juga seperti tidak kisah apabila dirinya dipeluk. Sementelahan pula dirinya semakin lembik bahana arak yang diteguknya sebentar tadi. Bibir Danial tersenyum senget. Dia yakin wanita itu akan tumpas ditangannya malam itu.
Semakin lama pelukan mereka semakin erat. Danial mahu menggoda Zaliya. Mendakap wanita itu dalam dakapannya membuatkan jantungnya berdegup laju.  Alunan nafasnya kian deras. Zaliya seperti dapat meneka isi hati Danial. Dia yang sememangnya sudah terbiasa melayan jantan semakin galak meliuk lentukkan tubuhnya menggoda lelaki itu. Niat mereka sama. Apabila nafsu mula menguasai diri masing-masing, hubungan singkat itu akhirnya ternoktah di bilik hotel.
***
Reza keluar dari bilik mandi  dengan air masih menitis jatuh dari rambutnya. Tubuhnya yang hanya berbalut dengan tuala itu kelihatan semakin kurus. Dengan langkah perlahan, dia berlalu ke dalam bilik dan duduk di birai katil.  Matanya melilau sebentar. Tiba-tiba dia mengeluh halus. Dirinya berasa sunyi. Balik kerja petang tadi dia terus tertidur di atas sofa  dan terjaga tiba-tiba apabila dia telah termimpi isterinya, Arina.
Mengingatkan Arina hatinya digigit rasa pilu. Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui mengapa sejak akhir-akhir ini kejadian buruk selalu sahaja menimpa rumahtangga mereka berdua. Dia mengaku, dia sering menyakiti hati isterinya itu tanpa alasan yang kukuh.
Reza kemudian mengitarkan pandangan melihat sekeliling bilik itu. Hatinya tiba-tiba bergetar. Dalam bilik inilah isterinya itu melihat kecurangan yang dilakukannya bersama Zaliya. Masih terngiang-ngiang ditelinganya suara Arina menangis sambil mengongoi di hujung kakinya sebaik sahaja dirinya dicekup oleh Pegawai dari Pejabat Agama.
Maafkan abang Ina. Ucapnya lirih dalam hati.
 Reza mengeluh berat sambil memandang meja alat solek dihadapannya. Tiba-tiba dia ternampak Arina sedang menyikat rambut sambil tersenyum memandangnya melalui cermin. Dia segera bangun dan cuba memegang isterinya itu. Namun apabila disentuh, tubuh Arina tiba-tiba hilang dari pandangan. Reza terkesima. Hatinya tiba-tiba digayuti rasa pilu. Dia duduk di meja solek itu dan mencapai minyak wangi yang selalu digunakan oleh Arina. Dia membuka penutup botol itu dan menghidu baunya. Reza tersenyum. Bau minyak wangi itu adalah bau tubuh Arina. Namun apabila mengingati Arina telah tiada di sisi, jiwanya kembali terasa kosong.
Arina sudah pergi meninggalkannya sementara Zaliya langsung tidak dapat dihubugi ketika ini. Tanpa mempedulikan air yang masih menitis di tubuhnya, Reza meraup muka. Tiba-tiba dia menangis teresak-esak. Dia benar-benar merindui Arina. Namun dia tidak tahu kenapa jika isterinya itu berada dihadapan mata, hatinya terlalu benci untuk memandang. Ada sahaja perbuatan Arina yag tidak kena pada penglihatannya.
Apabila mengingatkan dirinya akan berkahwin dengan Zaliya, dia seakan tidak percaya.
Apa kena dengan aku ni, apa kurangnya Arina? Dia mengeluh sambil mengepal penumbuk di dahinya berkali-kali.
Isterinya itu adalah secantik dan sebaik wanita yang pernah ditemuinya. Apa lagi aku cari? Reza bermonolog lagi.
Namun apa yang pasti, apabila berdekatan dengan Zaliya dirinya seperti dipukau. Apa sahaja yang dikehendaki gadis itu pasti akan diturutinya. Kini, dirinya benar-benar telah berada dalam genggaman Zaliya. Lebih-lebih lagi apabila mereka telah ditangkap berkhalwat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengahwini wanita itu walaupun dia benar-benar tidak ingat apa yang terjadi pada malam itu. Namun dengan kewarasan yang masih tersisa, dia masih tidak mahu menceraikan Arina walaupun dirinya berkali-kali didesak oleh Zaliya. 
Reza mencapai bingkai gambar pernikahannya dengan Arina. Wajah lembut isterinya itu benar-benar mengusik jiwa. Ada sendu menusuk tangkai hatinya apabila menatap wajah polos Arina. Perlahan-lahan tangannya mengelus wajah itu walaupun hanya dalam gambar. Dia mencium wajah Arina sebelum meraih bingkai gambar itu ke dalam pelukan seolah-olah Arina benar-benar dalam dakapannya.  Buat pertama kali, Reza menangis tersedu-sedu seperti kanak-kanak merindui ibunya. 
"Ina, abang rindu!" Jeritnya  memecahkan kesunyian malam itu.
***



           
           
           








           
           














Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Wednesday, October 22, 2014

Aku

Assalammualaikum wbt..

Apa khabar? Hari ini saya sibuk mengemas novel-novel koleksi saya. Hari cuti adalah hari yang paling best coz selain boleh menyiapkan novel , saya berkesempatan untuk meluangkan masa yang ada bersama yang tersayang disamping menghabiskan novel yang tak sempat saya baca.  SAYA MEMANG HANTU NOVEL! Terutama novel penulis kegemaran saya Ramlee Awang Mursyid. Bagi saya dia penulis terbaik di abad ini! Tak pernah sekalipun saya bosan apabila membaca novel penulisan beliau. Terutamanya cerita Sunan. Ok, layan koleksi-koleksi novel Ramlee Awang Mursyid yang sempat saya snap. Check It Out!
Happy Depavali kepada mereka yang menyambut perayaan ini. 

Laksamana Sunan terbaik!




Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Wednesday, October 8, 2014

Yes, isteriku pregnant!- Bab 9

Nazirah menggeleng beberapa kali. “Ye ke? Saya tak percaya Reza akan buat macam tu, tak..”
 “Ira, saya tak tipu awak. Memang betul Reza dah berubah. Kenapa semua orang tak percayakan saya ni? Hah?!” Tingkah Arina memintas kata. Dia segera bangun apabila merasakan semua orang tak mempercayai dirinya termasuk suaminya sendiri. Nazirah tersentak. Suara Arina yang tiba-tiba melengking membuatkan dirinya terperanjat.
“Arina, please dengar dulu. Saya tak habis cakap lagi. Relax ok?” Ujar Nazirah kaget. Dia cuba memegang tangan Arina walaupun wanita itu cuba menarik beberapa kali.
“Arina, relax. Please.” Pinta Nazirah lagi dengan bersungguh-sungguh. Dia langsung tidak menyangka angin Arina seteruk ini.
Arina berhenti meronta. Pandangannya dihalakan semula kearah Nazirah. Kelihatan wanita itu bersungguh-sungguh memujuknya dengan perkataan ‘relax’  tak lekang  dari bibir. Hatinya beralih dingin apabila melihat wajah itu. Perlahan-lahan dia duduk bersebelahan Nazirah. Kepalanya yang sedang berkecamuk dikala ini membuatkan dia menunduk sambil meraup muka. Udara yang mencengkam didada dipaksa keluar untuk melapangkan pernafasan. Apabila fikirannya  kembali tenang perlahan-lahan dia mengelus nafas halus. Terasa urat-uratnya yang  menegang sebentar tadi perlahan-lahan mengendur dengan perlakuan itu. Dia memandang wajah Nazirah semula.
“Maafkan saya Ira, saya tak sengaja tinggikan suara tadi.” Ujar Arina kesal. Dirinya kini mengalami keresahan yang melampau sehingga memperlihatkan tingkah lakunya yang lekas marah.
“Takpe. Relax ok?” Pinta Nazirah lagi. Sedaya  upaya dia memaniskan rona wajah bagi mengimbangi suasana berbahang yang melingkari bilik hotel itu sebentar tadi.
Arina merenung tepat mata Nazirah. Dalam keadaan hampir hilang pertimbangan, tiba-tiba wajah wanita itu muncul dibenaknya. Mujur Nazirah berada disini tepat pada waktunya. Hanya Nazirah menjadi sandarannya kini. Untuk menghubungi Syikin tidak sama sekali. Arina yakin, Syikin pasti membatalkan percutiannya serta merta jika mengetahui dirinya dalam keadaan tertekan seperti sekarang.
“Reza betul-betul dah berubah Ira. Saya tak pernah nampak dia marah macam tu.” Ucap Arina tiba-tiba. Suaranya kedengaran perlahan dan sedikit serak.
“Dia,sakitkan…saya..” Lanjutnya lagi satu persatu. Kemudian wajah Nazirah ditenung sayu. “Reza dah tak sayangkan saya, Ira.” Serentak dengan itu air matanya keluar berjujuran. Hatinya kembali digayuti pilu yang sarat. Perlakuan Reza tadi benar-benar membuatkan dirinya berasa takut. Bimbang jika kasih Reza kepadanya benar-benar beralih arah. Jika itu yang terjadi, dia akan kehilangan suaminya itu buat selama-lamanya.
Kata-kata Arina itu membuatkan Nazirah berasa sayu. Dia memandang simpati ke wajah itu dan segera meraih tubuh Arina ke dalam pelukannya.
“Menangislah Arina. Saya faham perasaan awak sekarang ni. Luahkan apa yang terbuku dihati awak, saya ada ni.” Pujuk Nazirah. Dalam waktu-waktu sekarang, dia harus mendengar apa sahaja luahan hati Arina. Arina mungkin tidak dapat berfikir dengan baik jika jiwanya masih dikuasai oleh emosi. Nazirah sedar, jika emosi lebih  menguasai diri berbanding akal fikiran, tidak mustahil keputusan yang salah bakal menjadi pilihan. Tak sanggup dia melihat  rumahtangga Arina dan Reza runtuh disebabkan tersilap percaturan.
Suasana menjadi hening seketika. Cuma hembusan penyaman udara sahaja kedengaran berselang seli dengan suara esakan Arina.
 “Arina, saya nak cakap sesuatu tentang Reza boleh?” Pinta Nazirah sejurus tangisan Arina mula reda.
“Boleh tak?” Pinta Nazirah lagi meminta kepastian. Suaranya dilunakkan dengan selembut-lembut nada.
Arina cuma mengangguk lesu walaupun rasa hatinya jauh bercanggah dengan bahasa tubuh itu. Kalau diikutkan hati, dirinya tidak mahu berfikir atau mengingati suaminya buat masa ini. Namun dia terpaksa akur kerana dirinya yang mencari Nazirah. Di akan mengikut apa sahaja rentak wanita itu sekarang. Seketika tangannya naik keatas muka. Dia mengusap-usap bekas tangan Reza yang pertama kali mendarat disitu. Hatinya kembali bergetar mengenangkan sikap kasar suaminya tadi.
Ok. Look, Saya tak percaya Reza buat semua ni dekat awak, melainkan ada sebab tertentu.” Ujar Nazirah kelihatan berhati-hati menyusun ayat. Bimbang kata-katanya  akan menyinggung perasaan Arina sekali lagi.
 Arina tersentak. Dia merungkai pelukan Nazirah sambil merenung tepat ke wajah sepupu suaminya itu.
“Sebab tertentu? Apa maksud Ira?”
Nazirah menghembus nafas perlahan. Dia merenung lembut wajah Arina. “Arina, saya kenal Reza dari kecil. Saya tahu perangai dia macamana. Dia takkan bertindak kasar macam tu dengan orang yang dia sayang. Mesti ada yang memaksa dia buat macam tu. Dan saya yakin, semua perlakuannya kat awak adalah bukan kerelaannya. ”
Arina mengerutkan kening sambil menggeleng tidak faham. Dia masih tidak dapat menangkap apa yang ingin disampaikan oleh Nazirah. “So, kenapa dia jadi macam tu? Siapa paksa dia?”
“Saya tak tahu. Tapi apa yang pasti mesti ada sesuatu yang tidak kena. Takkan tiba-tiba dia jadi macam tu tanpa sebab kan? Mustahil, mustahil.” Ujar Nazirah lagi. Jari telunjuknya dinaikkan dan digoyangkan beberapa kali. Sesekali  kelihatan dia menggelengkan kepala seperti tidak mempercayai sesuatu. Lagaknya itu seperti Detective Conan yang ingin merungkai sebuah misteri.
“Reza kalau dah sayangkan seseorang dia akan sayang sepenuh hati tau. Contoh terdekat, awaklah. Saya tahu yang Reza sangat cintakan awak. Awak sendiri nampak, macamana dia bersusah payah dapatkan awak dulu. Ahh.memang dia kena paksa lah.” Lanjut Nazirah lagi masih berteka-teki.
Please staright to the point Ira. Saya tak pandai nak meneka macam ni.” Pinta Arina sudah tidak sabar lagi. Kata-kata Nazirah yang berulang-ulang membuatkan fikirannya semakin beku untuk berfikir. Dia mula berasa pening.
Ok sorry.” Nazirah tersengih menayangkan giginya yang tersusun cantik. “Macam ni, saya rasa Reza takkan berubah sekelip mata. Tidak semudah itu. Saya rasalah..” Nazirah menjeling Arina sekilas.
“Reza dibomohkan!” Bersungguh-sungguh kali ini Nazirah meyakinkannya.
Arina tergamam. Dibomohkan? Akalnya cuba menyangkal kemungkinan itu, namun perasaannya seperti mengiyakan kata-kata Nazirah. Namun kalau benar sekalipun, siapa yang melakukannya? Mak Su dan Zuraini? Tetapi kenapa suaminya mesti menjadi mangsa? Yang dibenci adalah dirinya bukan Reza. Akhirnya dia mengeluh perlahan. Benaknya sudah terlalu penat untuk memikirkan hal itu.
“Apa yang harus saya buat Ira? Saya betu-betul buntu sekarang ni.” Soalnya sambil memicit-micit dahi. Namun serkap jarang Nazirah itu mula mempengaruhi mindanya. Wajah Mak Su dan Zuraini silih berganti bermain difikirannya dikala ini. Nazirah segera menggenggam tangan Arina.
“Arina, saya cuma minta satu je. Awak jangan buat keputusan dan tindakan terburu-buru. Kalau betul sangkaan saya, kesian Reza kalau awak terus tinggalkan dia. Tolong suami awak Arina. Percayalah Reza terlalu sayangkan awak. Dia takkan sanggup buat awak macam tu.”
Arina terbungkam. Hatinya dibuai layu mendengar kata-kata itu. Namun itu dahulu, sekarang? Pedih yang menyucuk-nyucuk hati masih terasa hingga kini. Sikap kasar Reza benar-benar mebuatkan jiwanya terluka. Tidakkah Reza menyedari betapa tercalar hatinya apabila dia melontarkan kata-kata hinaan yang tidak patut diucap? Namun bagaimana kalau serkap jarang Nazirah itu benar belaka?
Ya Allah bantulah hambamu ini..Doanya dalam hati. Terasa dirinya berdosa jika suaminya itu tidak bersalah.
“Tolong saya Ira..” Ucapnya tiba-tiba. Bahu Nazirah dipegang dengan kedua-dua belah tangan. “Please..” Gilirannya pula meraih pengertian wanita itu. Nazirah tersenyum sambil menganggukan kepala.
“Saya akan tolong awak. Jangan risau, ok?” Wajah lesu Arina ditatapnya penuh simpati. Hatinya cukup lega apabila Arina cuba berdiplomasi dengan sepupunya itu. Arina cuma mampu tersenyum tawar sambil menyapu air mata di pipinya.
“Terima kasih Ira.”
 “Welcome. Dah, awak rehat dulu. Besok kita jumpa Reza.Hmm?” Dia segera bangun mengambil pakaian tidur untuk diberikan kepada Arina.
“Ira.” Nazirah berpaling memandang Arina.
“Terima kasih banyak-banyak tau.” Ucap Arina sekali lagi sambil memegang erat tangan Nazirah. Kepalanya dianggukkan beberapa kali tanda dia bersungguh-sungguh menghargai kesudian Nazirah mendengar luahan hatinya.
 Nazirah terpempan. Wajah sugul itu betul-betul mengundang rasa belas dihati. Tangannya pantas merangkul wanita itu lagi. Kasihan sungguh dia melihat nasib Arina. Dalam masa yang sama hatinya berasa geram bila memikirkan perangai Reza. Dulu bukan main lagi Reza meminta bantuannya untuk mendapatkan Arina. Namun sekarang apabila Arina sah menjadi miliknya, berani dia mensia-siakan wanita itu.
Nazirah mengeluh lagi.Esok dia akan berhadapan dengan Reza. Harapannya biarlah serkap jarangnya itu benar belaka. Dia pasti, sepupunya itu takkan sekali-kali bertindak diluar kawalan tanpa ada sesuatu yang mengawalnya.
***
“Inilah rumah arwah ibu dan ayah saya.” Ujar Arina sebaik sahaja keluar dari perut teksi. Nazirah tersenyum seraya memandang sekitar rumah itu. Dia kagum seketika. Rumah itu masih mengekalkan ciri-ciri rumah kampung yang penuh dengan adat kemelayuan. Tempayan tempat letak air diletakkan dihadapan beranda rumah, supaya tetamu yang datang boleh membasuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah. Tingkap rumah itu juga seperti tingkap rumah iklan ‘Adabi’ yang papannya terukir  cantik. Selain itu, disebelah rumah itu terdapat pangkin yang sesuai untuk beristirehat.
Rumah kampung tapi bersih dan klasik. Pujinya  dalam hati.
“Ira tak pernah datang sini kan?” Suara Arina menyelinap tumpuannya. Nazirah cuma ketawa kecil sambil menganggukkan kepala. “Cantik rumah awak Arina.” Pertanyaan dari Arina dijawab dengan pujian.
 “Biasa je Ira.” Ujar Arina tersenyum. Dia memerhati keasyikan Nazirah memandang halaman rumah mereka yang penuh dengan pokok mempelam. Arina membiarkan wanita itu seketika. Pandangannya dihalakan ke rumah pusaka itu.
Pasti Reza tidur lagi. Gumamnya dalam hati. Dia yakin dengan itu kerana hari Ahad adalah hari Reza tidak bekerja. Dia segera mengeluarkan kunci rumah dari dalam beg tangan yang tersangkut dibahunya. Dia memandang kunci dan rumah itu silih berganti. Nak masuk ke tidak? Soalnya sendiri.
Mata Nazirah yang asyik mengitari memandang sekeliling terhenti pada wajah Arina. Wanita itu mula nampak resah. Nazirah segera  mendekati dan menggenggam tangan Arina. Terasa sejuk tapak tangan wanita itu sebaik sahaja berada dalam genggamannya. Nazirah pasti hati Arina pasti berbelah bagi lagi saat ini. Dia segera menyuntik kata-kata semangat agar Arina tetap meneruskan niat mereka itu. Akhirnya, Arina cuma mengangguk lesu dan menuruti langkah Nazirah. Hatinya yang rapuh kembali kuat apabila Nazirah kelihatan bersungguh-sungguh mahu membantunya.
Mereka jalan beriringan ke pintu rumah apabila tiba-tiba Arina terasa seperti tersepak sesuatu. Perlahan-lahan pandangannya dijatuhkan ke hujung kaki. Arina tersentak. Darahnya pantas menyerbu naik ke muka melihat benda itu. Dadanya berdetak laju seperti dipalu-palu. Dia segera menggoncang tangan Nazirah beberapa kali.
“Ira, Ira..” Ujarnya terketar-ketar.
Nazirah yang sedikit berada dihadapan memusing badan. Wajah Arina yang tiba-tiba kelihatan pucat ditenungnya hairan. “Kenapa Arina?”
“Ini, ini bukan, kasut saya..” Ujar Arina perlahan dan tersekat-sekat. Jari telunjuknya dihalakan kearah sepasang kasut yang kelihatan berselerak dihujung kakinya. Nazirah memandang kasut tumit tinggi milik seorang wanita itu. Dia segera mencapai kunci dari tangan Arina dan membuka  pintu rumah.
Nazirah bergegas masuk sebaik sahaja pintu terbuka. Sementara Arina hanya  melangkah perlahan dan langkah itu terhenti di muka pintu. Dia cuma memerhati kelakuan Nazirah yang membuka pintu bilik di rumahnya satu persatu. Apabila tiba dihadapan bilik tidurnya bersama Reza, Nazirah seperti terkaku. Dia kemudian menoleh memandang Arina.
Arina terpempan. Dia seperti dapat meneka sesuatu. Lututnya tiba-tiba menggeletar. Perlahan-lahan dia meneruskan langkah menuju kearah Nazirah. Sebaik berdiri seiring dengan wanita itu, hatinya bagai mahu pecah. Keadaan yang berlaku didepan matanya itu benar-benar mematahkan hatinya satu persatu. Dia cuba meraih kekuatan dalaman dengan istighfar bagi menopang tubuhnya yang hampir terlonglai.
“Apa kau buat ni Reza!” Telinga Arina sempat tertangkap jeritan Nazirah. Sementara dirinya seperti tubuh kehilangan nyawa. Dia tidak pasti perasaan apa yang menghuni hatinya ketika ini walaupun air mata laju sahaja berlinangan tanpa disedari.
Suaminya yang sedang tidur terpisat-pisat membuka mata. Dalam keadaan mamai, mata Reza membulat memandang mereka. Sekali lagi dia terperanjat apabila memandang tubuhnya berkongsi selimut dengan seorang perempuan yang tidak dikenali oleh Arina.
 “Apsal pagi-pagi kau menjerit macam orang gila!” Tiba-tiba wanita berambut perang  itu memekik dengan suara keras. Sementara Nazirah yang mula menyinga menapak pantas dan melempang wajah wanita itu sekuat hatinya.
“Hoi, betina. Kau ni dah takde jantan lain. Laki orang juga kau goda ye, dasar perempuan takde maruah!”
Perempuan itu memegang pipinya. Dia merenung wajah Nazirah dan Arina silih berganti. Dia amat mengenali wajah isteri Reza, namun perempuan yang melempang mukanya sebentar tadi langsung tidak dikenali. Bibirnya sengaja diukir sinis. Mimik muka wanita itu jelas mengundang kemarahan Nazirah. Menggigil tubuhya menahan geram yang membuak-buak didada.
“Kau tak malu ke, tidur dengan suami orang lain? Apsal, kau dah desperate sangat ke? Tak laku agaknya. Bodoh punya perempuan!” Kali ini Nazirah benar-benar memijak martabat wanita itu dibawah tapak kaki. Wanita itu mula berang apabila merasakan dirinya dihina sewenang-wenang.
“Hoi betina. Kaulah yang bodoh. Kalau kau nak tahu sangat, Reza dah tak sukakan perempuan ni. Kau nak tau kenapa, sebab betina ni mandul. Faham tak? Mandul!” Tempik wanita itu berkali-kali. Arina tersentak mendengar kata-kata itu. Nyata sekali perkara itu dicanangkan oleh suaminya sendiri. Hatinya cukup yakin dengan itu.
Kalau bukan Reza, bagaimana perempuan ini tahu? Sampainya hati abang. Suaranya  lirih bergema dalam hati. Nazirah yang terkesan wajah Arina yang berubah mendung segera berbisik.
“Sabar, jangan percaya cakap perempuan gatal tu. Ingat Arina. Kita kena bantu Reza.” Risau sungguh hatinya jika Arina mempercayai kata-kata wanita itu lantas berubah fikiran.
“Lagipun, Reza memang cintakan aku, kan darling?” Suara perempuan itu kembali kedengaran menampar cuping telinga. Nada suaranya kedengaran tergesa-gesa. Ternyata dia tidak mahu mengalah apabila terlihat Nazirah seperti berbisik sesuatu ke telinga Arina. Dia ingin memprovok Arina sehingga wanita itu betul-betul beralah dengannya. Hei, ini Zaliya lah. Mana pernah kalah!
“Pasal tu dia tidur dengan aku.” Lanjutnya lagi dengan angkuh. Kata-katanya itu membuatkan Arina benar-benar ingin pengsan.
Arina segera menghala pandangannya kearah Reza. Berdebar-debar hatinya menunggu reaksi Reza. Arina sebak, dia terlihat senyum dibibir lelaki itu. Tangannya mula naik ke pipi mengesat air mata yang tumpah sejak tadi.
“Kau ni….” Secara mendadak Nazirah mahu menampar wanita itu lagi. Sakit betul hatinya melihat perangai gatal perempuan itu. Namun Arina sempat mencapai tangan Nazirah. Nazirah berpaling memandang Arina, wanita itu mengeleng-gelengkan kepala. Nazirah merengus kasar.
Arina menoleh ke arah wanita yang tidak dikenalinya itu sambil menapak perlahan mendekati katil. Kelihatan wanita itu tersenyum sambil mencebik memandangnya. Arina mengalihkan pandangannya kepada Reza. Namun seperti biasa, wajah suaminya itu masih kelihatan dingin.
“Sampai hati abang buat semua ini dirumah arwah ibu dan ayah Ina, dikatil perkahwinan kita…” Ujar Arina dengan suara perlahan.
Reza hanya memandangnya sekilas sambil mencapai rokok disebelahnya. Dia menyalakan api apabila rokok itu diletakkan dikedua-dua bibir. Sementara Zaliya tersengih melihat lagak selamba lelaki itu. Dia sengaja melentokkan kepalanya di bahu Reza dengan niat membakar perasaan Arina. Arina semakin terdera melihat kemesraan itu. Hatinya benar-benar diusik rasa cemburu,marah,pilu dan semaunya berbaur menjadi satu.
“Abang..” Reza berpaling memandangnya.
“Tolong ceraikan Ina…” Pintanya dengan suara yang bergetar.
“Arina!” Mata Nazirah terbuntang memandangnya.
***
“Mak, si Zaliya gila tu bayar separuh je.
Rosmah yang sedang asyik membelek-belek katalog cosway mengangkat pandangannya sekilas. Dia kemudian menumpukan pandangannya semula kepada helaian katalog itu. Zuraini segera menoleh kebelakang apabila tiada respon yang kedengaran dari mulut Rosmah.
“Mak!” Dia memanggil ibunya separuh memekik. Rosmah tersentak.
“Engkau ni dah kenapa terpekik terlolong macam disampuk polong. Kenapa?”
“Mak tu orang tanya buat tak dengar je. Ni hah, si Zaliya ni bayar separuh je. Orang nak pakai duitlah mak.” Rungut gadis itu sambil membentak-bentak.
“Engkau ni tak reti nak menyabar kenapa? Kerja kita tak habis lagi memanglah betina tu bayar separuh je.”
“Tapi orang nak pakai duitlah mak.”
“Eh, eh engkau. Habis engkau seorang je nak pakai aku ni tidak? Kalau nak cepat dapat duit buat kerja tu pantas sikit. Bukan bangun tengahari buta lepas tu terus menghadap lap top.” Rosmah sempat menyindir anak daranya itu. Geram sungguh hatinya apabila melihat Zuraini setiap hari bangun lewat tanpa mahu membantunya di rumah.
“Eleh mak ni nak sindir-sindir Zu pula. Zu buka lap top ni pun sebab nak tengok duit tu dah masuk belum dalam akaun Zu ni. Mak tau apa.” Bidasnya sambil memuncungkan mulut. Dia cuba mempertahankan dirinya.
“Haa ye lah. Kau ingat aku ni bodoh sangat? Kat handphone pun boleh tengok kan? Kau tu memang tau itu je.Tidur, makan, berjalan, main internet. Macam tu la hari-hari. Satu benda pun tak boleh diharap. Ni kalau bapa kau tau siap kau.”
“Hee..dahlah. Membebel pula mak ni.  Dah, Zu nak pergi mandi ni. Tanya sikit terus nak membebel.” Ujar Zuraini terus berlalu.
“Kau tu aku cakap satu, kau jawab sepuluh. Duit si Zaliya masukkan tu kau jangan pandai-pandai keluarkan, kau dengar ni Zuraini? Mata duitan betul.” Rungut Rosmah. Dia sempat memberi amaran walaupun kelibat anaknya itu telah hilang dari pandangan.
Tiba-tiba Zuraini menghentak pintu dengan kuat. Rosmah tersentak.
“Eleh mak tu pun sama. Masa bulan puasa bukan main beribadah, lepas bulan puasa boleh pula tolong si Zaliya tu jumpa bomoh gara-gara nak duit. Ni kalau bapa tahu siaplah mak nanti.”
Rosmah mengetap bibir. Telinganya berdesing mendengar jeritan gadis itu disebalik pintu tandas. Sakit betul hatinya apabila Zuraini menyindirnya semula.
Bertuahnya punya budak. Getus hatinya geram.
***
Zaliya kesukaan. Dia menguatkan lagi volume lagu itu sambil terkinja-kinja menari mengikut alunan muzik yang mula membingit. Hatinya benar-benar puas. Keadaannya  seperti perempuan gila bayang. Namun Reza kini bukan lagi bayang-bayang dan angan-angan. Lelaki itu sedikit masa lagi akan menjadi miliknya. Zaliya tersenyum lebar.
Dia berpusing-pusing sambil mendepangkan tangan dan memejamkan mata. Hatinya benar-benar riang.Dia merasakan dirinya seperti seorang puteri sahaja. Apa sahaja yang dia kehendaki, cepat atau lambat akan menjadi miliknya juga.
Namun kali ini, kegembiraannya agak luar biasa. Dia tidak pasti kenapa, namun kegilaannya terhadap Reza seperti tidak dapat dikawal lagi. Hatinya terpaut ketika kali pertama bertentang mata dengan Reza di bengkel. Lelaki itu sentiasa membuatkan naluri wanitanya berkocak hebat. Ahh..lelaki itu betul-betul buat aku gila bayang. Detik Zalia sendiri.
 Bukan dia tidak pernah bergaul dengan lelaki lain sebelum ini. Malah ada diantara  lelaki itu pernah tidur sekatil dengannya. Namun bagi Zaliya itu hanya untuk suka-suka. Hatinya tidak pernah terusik sedikitpun ketika bersama mereka. Namun apabila mengenali Reza, dia benar-benar terpaut. Rasa ingin memiliki dan menakluki hati Reza begitu kuat mencengkam dijiwa. Oleh kerana desakan hati  begitu kuat menekan, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan Reza menjadi miliknya.
Dia mengimpikan majlis perkahwinan besar-besaran di sebuah taman bersama Reza nanti. Dia membayangkan dirinya memakai baju gaun ala-ala Snow White, sementara Reza memakai sepersalinan baju kot berwarna putih sambil menunggang kuda menjemputnya.
Zaliya yakin, ayahnya tidak akan keberatan menyempurnakan hajatnya itu. Zaliya ketawa lagi. Hatinya benar-benar gembira menganyam impian itu. Namun angan-angan itu bersepai entah kemana apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi nyaring. Zaliya merengus.
Ada saja gangguan! Tanpa melihat nama yang tertera di skrin, Zaliya terus menjawab panggilan.
“Hello.” Sapanya agak kasar.
“Garangnya anak papa ni.” Suara Faizul tertawa kecil kedengaran disebelah sana.
“Papa.”Ujar Zaliya girang. “Papa sihat?”
“Sihat baby. Liya sihat? Macamana branch kita kat Jb, ok?”
“Liya sihat. Alaa..papa ni asyik tanya pasal kerja je. Boring Liya macam ni.” Faizul tertawa mendengar rajuk anak gadisnya itu.
“Ye la, ye la. Bila Liya balik nak jenguk papa ni? Lepas raya hari tu langsung tak balik jenguk papa kat sini ye.” Ujar Faizul dengan nada suara merajuk yang dibuat-buat.
Zaliya menggigit jarinya. Maunya tak balik, dia sibuk dengan misi mendapatkan Reza disini!
“Err..nanti Liya balik lah. Tapi sebelum Liya balik, papa kena datang sini dulu.”
“Macam ada sesuatu je tiba-tiba suruh papa datang sana? Selalunya ada je alasan Liya tak bagi papa datang. Ada apa-apa ke ni?” Faizul cuba mengasak dirinya dengan pelbagai pertanyaan.
“Takde apa, cuma…”
“Cuma apa sayang, cakap kat papa.”
“Papa, Liya nak kahwin…”
Selajur perbualannya dengan Rosmah tiga hari lepas kembali menunjal fikiran.

“Korang kena cepat-cepat kahwin Zaliya, tu yang Pak Tabit tu pesan. Dia takut ubat guna-guna yang kau beri dekat Reza tu hilang kesannya nanti.”
Zaliya sengaja mengecilkan matanya memandang Rosmah. “Orang tua tu cakap dia handal. Ni kenapa takut pula?”
Zaliya terkesan Rosmah mencebik memandangnya. Dia cuma tersenyum sinis apabila melihat wajah perempuan separuh abad itu.
“Memanglah handal. Tapi itu yang dia pesan kat aku. Kau buat je lah.”
“Saya buat?” Soal Zaliya dengan lagak suara mengejek. “Saya bayar macik dan Zuraini, so macik dan Zuraini la kena fikir cara supaya saya cepat-cepat kahwin dengan Reza.”
Rosmah kelihatan terkedu. Zaliya tahu, pastinya Rosmah cuba menahan perasaan geram yang melonjak-lonjak di dada. Namun wanita itu tidak boleh berbuat apa-apa kerana dirinya telah menjadi lubuk duit Rosmah. Zaliya tertawa dalam hati.
“Ye lah, aku tau kerja aku.” Perlahan Rosmah bersuara walaupun ada nada getar disitu.
So?” Zaliya meningkah dan merenung tepat ke mata Rosmah. “Cepat sikit buat kerja tu.” Ujar Zaliya sambil membesarkan mata. Dia kemudian tersenyum lalu meninggalkan Rosmah yang  terpinga-pinga memandangnya.
           
“Zaliya!”
Zaliya terperanjat mendengar suara Faizul. Kilasan wajah Rosmah melayang entah kemana. Dia membetulkan duduknya semula. “Papa tanya apa tadi?
“Laa..bukan main panjang berjela papa cakap Liya tak dengar? Ni, dengan lelaki mana Liya nak kahwin ni? Tak pernah kenalkan dengan papa pun? Bujang ke?”
Zaliya berdehem beberapa kali. Fikirannya ligat mencari jawapan. Takkan cakap nak kahwin dengan laki orang? Gumamnya dalam hati.
“Err.. lelaki ni duda pa. Orangnya baik. Alaa.. nanti Liya kenalkan lah. Liya yakin papa mesti sukakan dia nanti.” Zaliya kelihatan berhati-hati menyusun ayat.
"What? Duda?"
“Err..oklah pa. Liya nak ke toilet ni. Nanti papa call Liya lagi. By, love you pa!” Pantas dia mematikan perbualan walaupun dia terdengar suara Faizul nyaring memanggil namanya di hujung talian. Zaliya menggigit jari. Selang beberapa minit telefon bimbitnya kembali bergetar menandakan isyarat mesej masuk. Zaliya menatap skrin.
‘Minggu depan papa datang JB.’
Zaliya mengeluh halus apabila menatap mesej dari Faizul. Minta-minta Rosmah dan Zuraini cepat-cepat aturkan perkahwinan aku dengan Reza. Gumamnya perlahan.  
Harap-harap papa merestui hubungan aku dengan Reza. Doanya lagi tidak putus-putus dalam hati lantas mencapai tuala dan menuju ke tandas.
***
Duhai kekasih pujaaan yang selalu dihati
Aku menunggumu
Engkau gadis yang selalu hadir dalam mimpiku
Di setiap tidurku

Dengarkanlah, aku cinta
Ingin aku, selalu menjaga dirimu,
Menemaniku, di setiap waktu.

“Abang.”
Lelaki itu menoleh sekilas kebelakang. “Ye Cik?” Jawabnya ringkas lalu memandang semula kehadapan. Dia memberi tumpuan kepada pemanduannya walaupun sesekali tangannya mengetuk stereng, menghayati setiap bait-bait lagu itu.
“Boleh tukar lagu lain tak? ”
Lelaki itu melihat Arina melalui cermin depan. Wajah Arina yang masam mencuka segera menerpa pandangan. Nazirah yang duduk dihadapan berpaling sekilas kebelakang, lalu memandang pemandu teksi itu. 
“Kenapa cik? Lagu ni kan sedap. Lagu Judika, bukan rayuan gembala.”
Ketawa Nazirah meledak kuat sebaik sahaja mendengar tajuk lagu yang diucapkan oleh lelaki itu. “Gombal la, bukan gembala.” Ujar Nazirah sambil terkekeh ketawa.
“Ooo..ye ke?” Lelaki itu itu turut ketawa sama.
“Baik gembala kambing terus.” Ketawa Nazirah meletus lagi.
Shut up!”
Mereka terdiam serentak. Lelaki itu terkial-kial menukar siaran lain, sementara Nazirah buat-buat memandang keluar tingkap.
Arina..Arina..Gumam Nazirah dalam hati. Dia menggelengkan kepala beberapa kali. Bukan dia tak tahu, lagu itu adalah lagu yang pernah diberikan oleh Reza pada kali pertama lelaki itu menghantar kad dan bunga. Dia yang menjadi posmen tidak bergaji Reza jadi dia amat tahu tentang perkara itu. Pasti kenangan yang tercipta antara mereka berdua terimbas kembali apabila mendengar lagu itu. Sedangkan hakikatnya sekarang apa sahaja yang berkaitan Reza langsung Arina tidak mahu ambil tahu lagi.
Macam aku tak tahu! Nazirah mencebik dalam hati. Namun dia kemudian mengeluh perlahan. Arina berhak bersikap seperti itu. Reza berlaku curang didepan matanya sendiri. Isteri mana pun akan goyah jika melihat suami sendiri tidur sekatil dengan wanita lain!
Walaupun tidak menoleh kebelakang, Nazirah tahu Arina sedang menangis. Wanita itu berkeras ingin mengikutnya semalam. Pada mulanya Nazirah keberatan. Namun dia tidak sampai hati membiarkan Arina bersedih seorang diri. Dia juga wanita. Dia tahu betapa sakitnya kelukaan yang ditanggung oleh Arina ketika ini. Akhirnya dia menuruti kemahuan Arina. Namun dia tetap berazam akan mencari jalan bagi menjernihkan hubungan Arina dan Reza. Mengingatkan Reza, hatinya kuat menyatakan yang sepupunya itu memang dibomohkan. Lelaki itu memang kelihatan berlainan dan bukan seperti Reza yang dikenalinya.
Aku akan lakukan apa sahaja untuk pulihkan hubungan mereka semula. Tekad Nazirah dalam hati. 
Tak guna punya betina. Nazirah mengetap bibir apabila mengingatkan wanita yang cuba meruntuhkan rumahtangga Arina dan Reza.
Hujan lebat diluar sana tidak menghalang teksi itu terus meluncur laju menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail meninggalkan bandar raya Johor Bahru.
            By by Reza..Ucap Arina sendu dalam hati.
***




Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen