Online Diary Aku dan Dia..: July 2014

Thursday, July 3, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! Bab 6

Suasana bengkel yang terletak ditepi jalan itu kelihatan sibuk. Reza terkejar-kejar kesana kemari bagi menyudahkan kerja-kerja yang menimbun sejak pagi tadi. Apabila kaki mula terasa lenguh, dia berhenti seketika sambil memusing-musingkan badan kekiri dan kekanan. Lagaknya itu bagai orang yang sedang bersenam. Reza kemudian mengitarkan pandangannya melihat sekeliling.
Line clear! Dia tersengih.
Akhirnya Reza melangkah kearah kerusi panjang yang terletak dihujung bengkel. Disitu dia duduk bersandar dengan kaki yang sengaja dilunjurkan. Reza menyeka-nyeka peluh yang laju sahaja menitik didahi. Sementara belakang bajunya yang telah lama kuyup, dibiarkan kering sendiri.
Dia kemudian mencapai botol mineral didalam beg sandang yang terletak di dalam almari, berdekatan dengan kerusi tempat dia duduk. Sambil meneguk air itu, Reza  membuang pandang kearah rakan-rakan sekerja lain yang tekun dengan tugas masing-masing. Dia berasa lega seketika apabila air mineral itu laju meluncur di tekak.
Reza hanya mencampakkan botol itu ke dalam tong sampah yang terletak enam meter dihadapannya apabila botol itu telah kosong. Nazim yang berada dihujung bengkel hanya menggeleng-gelengkan kepala melihat keletahnya itu.
Perangai tak berubah-ubah! Bebel Nazim dalam hati.
Reza hanya tersengih sambil melambai-lambaikan tangannya memanggil Nazim.  Namun lelaki itu terus membuat kerja tanpa mahu melayan karenah Reza. Reza ketawa kecil.
Takut sangat buat apa, bos takde bai! Reza ketawa lagi.
Namun apabila menoleh kekiri, dia terperanjat. Matanya tertangkap dengan kehadiran Mr. Yong dengan seorang gadis muda. Reza bergegas bangun meneruskan kerja yang tertangguh tadi.
Baru nak mengular kejap! Reza mendesis geram. Bukan dia tidak tahu perangai lelaki cina tua itu, mulut langsung tiada insurans. Mentang-mentang bengkel ini dia punya, tau main sembur saja.
 Tergesa-gesa Reza mencapai spanar diatas meja bagi mengelak kemarahan Mr. Yong yang mula mencerlung tajam kearahnya. Dia bergegas menuju kearah Nazim yang masih terkial-kial menelek kereta Viva yang remuk akibat terhempap pokok petang semalam.
            “Leza, itu keleta bia lulu. Nanti Nasim boleh tengok. Lu tolong ini amoi, tengok dia punya Mercedes sana tepan.” Suara Mr. Yong dengan nada pelat, kedengaran memerintah.
Langkah Reza terbejat. Dia berpaling melihat lelaki tua itu seraya memandang kedepan bengkel. Reza mengeluh, paling pantang dirinya kalau orang pilih bulu. Mentang-mentang gadis yang baru datang itu memandu kereta Mercedes-Benz S350 Bluetec, tapi kena layan dulu! Padahal kereta Viva itu yang dulu  tersadai dibengkel ini.
Nazim mengangkat pandangan dan hanya melihat air muka Reza yang mula berubah. Dia kemudian menganggukkan kepalanya sebagai isyarat supaya Reza menurut sahaja arahan itu. Reza mengeluh lagi.
Ada aku kisah kau pandu Merc?
Namun dia tetap melangkah menuju kearah Mr. Yong dan gadis bergaya seksi itu. Melalui hujung mata, Reza perasan gadis itu asyik memerhati dirinya.
            “Ok, boss.” Reza akur. Dia segera melangkah kearah kereta mewah yang menjalar di depan bengkel itu. Derap langkah Mr Yong dan gadis itu jelas kedengaran  menurutinya dibelakang.
“Amoi, lu bole tunggu dilalam. Sini panas, lalam ada aircond.” Lelaki separuh umur itu mempelawa. Reza memandang mereka sekilas. Terukir senyuman miang dibibir boss nya itu. Pantang nampak perempuan berdahi licin!
“Never mind, i boleh tunggu kat sini. Tak lama kan?” Ujar gadis itu tersenyum. Dia memandang kearah Reza, berharap lelaki itu yang akan memberi jawapan. Namun Reza cuma buat entah tak endah. Walaupun gadis itu nampak menawan, potongan baju pula terlebih seksi, namun sedikit pun hatinya  tidak tersentuh.
Dah muak tengok perempuan macam ni! Cemuh Reza dalam hati.
Mr. Yong berdehem. Reza menoleh. Lelaki tua itu menjengilkan mata. Dia tahu orang tua itu pasti tidak berkenan dengan sikapnya. Reza menarik nafas dan menghembusnya lambat-lambat.
“Tak tahu la lambat ke tidak. Saya tak tengok lagi apa yang rosak.”
Bengap, kan aku tak tengok lagi! Kutuk Reza. Keningnya berkerut, hatinya mula berasa geram.
Gadis itu cuma menjongketkan kedua-dua bahunya. “It’s ok. I boleh tunggu disini.
Sombong! Gadis itu bersuara seperti berbisik. Namun telinga Reza sempat tertangkap rungutan itu.
Suka hati kau lah! Giliran Reza pula menempelak. Namun suaranya cuma bergema dalam hati.
Mr.Yong mengangguk-anggukkan kepala. Dia memberi kunci kereta tersebut kepada Reza. Sempat lagi lelaki tua itu menghadiahkan senyuman kepada gadis seksi itu sebelum bergegas menuju ke bilik pejabat yang terletak dihujung bengkel.
Reza melihat-lihat enjin kereta mewah itu. Sementara gadis itu pula dari tadi asyik ‘tergedik-gedik’ melihat lelaki itu membuat kerja. Walaupun kurang selesa, Reza tetap melaksanakan tugasnya. Malas dia mengendahkan gadis itu, walaupun gadis itu beberapa kali cuba mengajak dirinya untuk berbual.
Tak sampai setengah jam, kereta itu boleh berfungsi seperti biasa. Reza bergegas menuju ke bilik Mr. Yong. Langkahnya sengaja dicepatkan. Gadis itu menurutinya dibelakang.
“Ok, awak masuk buat pembayaran didalam.” Arah Reza sejurus keluar dari bilik Mr. Yong itu. Reza kemudian meninggalkan gadis itu. Lega. Rimas aku nak melayan minah ni!
Dia bergegas menuju kearah Nazim yang masih terkial-kial seorang diri. Riak kusut yang terpancar diwajah Nazim mengundang senyum Reza. Nazim adalah sahabatnya sejak dari bangku sekolah lagi. Dulu dia tak berapa mahu rapat dengan lelaki itu kerana berlagak ala-ala ustaz dan agak skema. Dia lebih cenderung memilih kawan yang menjanjikan kebahagiaan duniawi kepadanya.
Namun tatkala susah, Nazim lah orang pertama yang menghulurkan bantuan. Kalau bukan Nazim yang menumpangkan tempat tinggal untuk dirinya, pasti dia terpaksa menebalkan muka meminta bantuan dari Nazirah lagi. Reza tidak mahu menyusahkan sepupunya itu kerana telah banyak bantuan yang telah dihulurkan oleh Nazirah kepadanya. Lagi-lagi dalam misi mendapatkan Arina!
Reza mempercepatkan langkah kerana kasihan melihat sahabatnya itu asyik tergaru-garu kepala. Reza akui, Nazim memang agak slow dalam bab-bab kereta. 
Dungunya melampau-lampau, padahal dah lama bekerja disini. Reza tersengih.
Tak baik aku kutuk Nazim! Dah lah kerja dibengkel Mr. Yong ini Nazim juga yang membantu mendapatkannya. Apa pun tak boleh lah kau ni Reza!
  Tiba-tiba handphone di kocek seluar jeans lusuhnya bergerak-gerak. Terkocoh-kocoh Reza mengeluarkan gajet itu.
Arina! Reza girang apabila tulisan ‘My future wife’ tertera di handphone. Dia mengangkat lima jarinya memberi isyarat sekejap apabila Nazim memandangnya. Lelaki itu hanya mengangguk-anggukkan kepala.
“Assalammulaikikum.” Suara Arina menyapa lembut di telinga.
“Waalaikumsalam. Ye sayang, kenapa call ni. Rindu ye?” Usik Reza sejurus selepas menjawab salam. Telinganya kemudian tertangkap suara tawa Arina di hujung talian. Reza tersenyum. Hati lelakinya terasa bahagia apabila mendengar suara itu.
Semenjak mereka menjadi pasangan kekasih hampir sebulan yang lepas, Reza semakin bersemangat bekerja keras tanpa mengharapkan apa-apa bantuan dari Datuk Amran lagi. Perasaan itu tercetus akibat desakan hati yang terlalu mengasihi Arina dan inginkan kehidupan sempurna apabila bersama gadis itu nanti. Semangatnya itu juga disebabkan janji yang telah dia buat dihadapan Cikgu Hamdan dahulu.
“Perasan lah awak ni.” Getus Arina dengan nada manja. Reza ketawa. Dia terbayang-bayang wajah Arina yang berubah rona apabila berasa malu.
“Reza, nanti besok awak free tak?”
“Apa Reza Reza ni, abang lah.” Tukas Reza, berpura-pura marah.
“Mana boleh, awak tu bukan suami kita lagi nak ber ‘abang-abang’.”
“Ooo..kalau macam tu awak kena cepat-cepat jadi isteri saya.” Usik pemuda itu lagi.
“Alaa..awak ni” Arina berpura-pura merajuk. Reza ketawa.
“Ye, saya free besok. Kenapa Arina?” Soal lelaki itu apabila tawanya reda. “Nak ajak dating ke?”
“Lebih kurang macam tu lah. Tapi saya nak ajak awak dating kat Jalan Masjid India.”
Jalan Masjid India? Tak romantik langsung. Getus Reza dalam hati.
“Nak buat apa kesana? Tanyanya lagi kepada Arina.
“Ada benda saya nak beli. Boleh kan? Arina menyoal. Syikin takde temankan saya. Dia kan balik JB semalam dengan Asyraf” Sambung gadis itu lagi.
Reza tersengih. Kalau dengan Arina, dia memang ada banyak masa. Kalau boleh, setiap masa dia ingin mendampingi gadis itu. I’m your’s baby!
“Ok, nanti saya pinjam kereta Nazirah dan ambik awak besok.” Ujar Reza tergesa-gesa. Dia baru perasan Mr. Yong dan gadis kaya tadi berdiri dibelakangnya.
“Saya ada keja sikit, nanti malam saya call awak. By sayang!” Reza terpaksa mematikan talian.
***
Arina memandang telefon bimbitnya. Dia sedikit berasa kecil hati apabila Reza terus mematikan talian tanpa sempat dia menghabiskan kata-kata. Kemudian dia tersedar, tidak patut dia berperasaan seperti itu. Reza sedang bekerja. Sementara dia sedap duduk dirumah. Hari sabtu memang off day bagi dirinya. Nazirah yang membuat polisi seperti itu, kerja ikut waktu pejabat.
Arina masuk kebilik dan merebahkan tubuh di atas tilam. Sebentar tadi dia sibuk membasuh baju dan mengemas rumah. Selesai mandi, dia mengeringkan rambut menggunakan hair dryer sebelum menelefon Reza. Tidak selesa dia berbaring jika rambut masih basah. Sekarang inilah dia berpeluang untuk berehat sekejap.
Fikirannya menerawang. Dia teringat saat dia menerima Reza menjadi kekasih. Kegembiraan memang jelas terserlah di wajah pemuda itu. Dan kerana penerimaan dirinya kepada Reza, pemuda itu telah membuat beberapa pengakuan.
Kereta Vios yang digunakan untuk berjumpa dengannya di Johor Bahru, adalah milik Nazirah. Arina berasa keliru pada mulanya. Kenapa Nazirah? Arina terbayang-bayang akan wajah lelaki itu apabila membuat satu lagi pengakuan yang mengejutkannya. Nazirah adalah sepupu Reza! Reza meminta bantuan daripada gadis itu agar dapat mendekati dirinya.
Arina terpempan. Patutlah Nazirah bersungguh-sungguh menawarkan kerja juruterapi kecantikan itu kepadanya dahulu. Ada konspirasi bersama Reza rupanya! Kereta vios yang dipinjam Reza memang jarang digunakan oleh Nazirah. Tak pernah sekalipun dia nampak Nazirah memandu kereta itu ke Spa.  Jadi tidak hairanlah kalau dia langsung tak perasan.
Arina mengeluh halus. Dia berasa marah pada mulanya. Namun apabila mengingat kembali kesungguhan lelaki itu untuk mendekati dirinya, Arina pasrah. Pasrah kerana hatinya juga mula terusik dengan kehadiran Reza. Dia kemudian tersenyum apabila teringat luahan perasaan Reza kepadanya tidak berapa lama dulu.
‘Maafkan saya Arina. Saya lakukan semua ini kerana saya mula sedar, saya memang cintakan awak.’ Arina berasa malu apabila Reza menatap matanya. Kedua-dua tangan pemuda itu mendarat dibahunya ketika itu.
‘Dan impian saya adalah ingin menjadikan awak sebagai teman hidup saya sehingga ke akhir hayat.’ Ujar pemuda itu lagi sambil cuba melihat-lihat mukanya yang tertunduk malu.
Dirinya seperti diawang-awangan. Bahagia sungguh hatinya apabila mendengar kata-kata itu. Dirinya juga sama seperti Reza, mencintai lelaki itu sepenuh hati.
Reza..Detiknya dalam hati. I love you too! Dia tersenyum bahagia.
Penat berbaring, Arina membalikkan badan. Dia bertiarap sambil menongkat dagu dengan kedua-dua tapak tangan. Fikirannya menerawang entah keberapa kali. Tiba-tiba dia teringatkan ibu dan ayahnya yang mahu datang hari Isnin nanti. Kedua-dua orang tuanya itu ingin menziarahi dirinya dahulu sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan umrah. Cikgu Rubiah juga telah berjanji akan membawa asam pedas ikan pari kesukaan Arina.
Arina tersenyum. Dia telah pun memohon cuti daripada Nazirah dua hari, isnin dan selasa. Dia ingin membuat kejutan kepada ibu dan ayahnya itu sebelum kedua-dua mereka pergi ke Tanah Suci nanti.
***
        Suasana di Jalan Masjid India hari itu sangat terik. Panasnya sehingga memeritkan kulit. Sesudah menelusiri deretan kedai yang menjual pelbagai jenis tudung dan kain, Reza mengajak Arina untuk singgah dimana-mana kedai untuk makan tengahari.
            Arina mengangguk dan tersenyum. Mereka menuju ke deretan warung yang terdapat disekitar kawasan itu. Akhirnya mereka menuju ke warung yang menyediakan mee bandung Muar sebagai menu utama. Mereka turut memesan dua gelas air buah mangga sebagai penyejuk tekak.
            Arina mengeluarkan tisu dari handbag. Sehelai dihulurkan kepada Reza. Dia kemudian mengesat dahinya, mengeringkan peluh yang berjujuran. Kemudian dia mengeringkan tengkuknya pula.
Nasib baik hari ini aku ikat rambut fesyen ekor kuda. Jadi tidaklah panas sangat. Gumamnya sendiri, lega seketika apabila dapat duduk melepaskan lelah.
Reza hanya memerhatikan gadis itu. Sejak mereka menjadi pasangan kekasih, segala kelakuan Arina amat membahagiakan dan menarik minatnya.
Macam ini rupanya perasaan kalau dah betul-betul jatuh cinta. Reza tersenyum.
“Kenapa awak asyik pandang saya?”
            Reza tersengih. Dia menghulurkan tisu yang dihulurkan kepadanya tadi. Arina memandangnya dengan kening yang berkerut.
            “Keringkan peluh saya juga.” Pinta Reza manja. Dan manja lelaki itu nampak sangat dibuat-buat!
            Arina mencebik. Amboi, bukan main. Akhirnya bibirnya tersenyum.
“Mengada-ngada lah awak ni.”
            Reza terkekeh ketawa apabila Arina menenyeh tisu itu disekitar mukanya.
            “Ni ikhlas ke ni.”
            “Ikhlas la En. Hardy Reza.” Arina menjawab. “Hah, nak lap mana lagi?” Soalnya lagi.
            “Lapkan belakang abang boleh?”
Pemuda itu terjerit kecil apabila ‘sepit ketam’ milik Arina singgah dikulit tangannya.
“Hah, sedapkan.” Arina berpura-pura marah.
“Alaa, nak manja-manja dengan bakal isteri pun tak boleh.” Lelaki itu berpura-pura merajuk.
“Manja-manja lepas kahwin punya cerita.” Jelas Arina separuh berseloroh. Namun tetap ada ketegasan disitu.
Reza ketawa. “Ye lah Cik Arina Laila. Ni yang saya tak sabar kahwin dengan awak ni, boleh manja-manja. Manja lebih pun tak pe kan?” Arina ingin mencubit tangan lelaki itu lagi, tetapi kali ini Reza sempat mengelak. Dia mengangkat kedua-dua tangannya.
“Ok, ok saya gurau jer lah.” Ucap Reza ketawa.
Tiba-tiba telefon bimbit Arina berdering. Arina tergesa-gesa mengeluarkan gajet itu dari beg tangan. Muka gadis itu kelihatan ceria apabila melihat nama yang tertera di telefon bimbit itu.
Mesti ibu atau ayah dia yang call. Reza meneka dalam hati. Dia cuma memerhati kelakuan gadis itu. Tiba-tiba dia terkesan air muka Arina berubah. Mulut gadis itu melopong dan telefon bimbit yang dipegangnya tadi terlepas dari tangan. Reza segera menerpa kearah Arina yang tiba-tiba pitam!
***
Arina dan Reza tiba di Johor Bahru selepas solat Asar. Suasana terasa hening dan pilu. Saudara mara dari kedua-dua belah ibu dan ayahnya telah lama tiba dan memenuhi perkarangan rumah mereka. Syikin yang memang berada di Johor Bahru juga telah berada disitu. Gadis itu mendapatkan Arina dan memeluknya dengan erat. Air matanya merembes laju apabila mendengar tangisan Arina.
Kemudian dia memimpin tangan sahabatnya itu masuk kedalam rumah. Arina seperti tidak mempunyai kudrat lagi untuk melangkah. Dia menangis hiba apabila melihat kedua ibu dan ayahnya terbujur kaku di tengah rumah. Terasa lemah segala sendinya melihat kedua-dua jenazah insan yang paling disayanginya itu.
“Ibu, kenapa tinggalkan Arina ibu. Kan Ibu janji nak jumpa Arina dulu.” Gadis itu menangis tersedu-sedu. Rawan tangisnya itu mengundang air mata beberapa wanita yang membaca Yasin disitu.
Arina kemudian menuju kearah jenazah ayahnya. Terasa mahu pecah dadanya apabila melihat wajah kaku Cikgu Hamdan. “Ayah, jangan tinggalkan Arina ayah…Arina takut tinggal sorang-sorang ayah..” Rintihnya tersekat-sekat. Dia tidak mampu mengawal perasaannya lagi walaupun dia telah mencuba, tapi terlalu sukar.
Syikin segera memeluk Arina bagi berkongsi segala kesakitan gadis itu. Hatinya juga berasa hiba kerana arwah orang tua Arina juga begitu baik kepadanya. Reza yang melihat kesedihan Arina turut mengalirkan air mata. Dia berasa sebak apabila teringat pesanan arwah Cikgu Hamdan. Patutlah arwah beria-ia meminta dia berjanji untuk menjaga dan menikahi Arina, rupa-rupanya itu adalah petanda yang mereka akan meninggalkan gadis itu selama-lamanya.
Terbayang-bayang diruang matanya wajah tenang Cikgu Hamdan dan janjinya dengan orang tua itu. Dia berasa sedikit ralat. Tak sempat dia mengotakan janji yang telah diikrarkan di hadapan Cikgu Hamdan dahulu. Takdir Allah mendahului perancangan mereka.
Petang itu juga jenazah kedua-dua jenazah suami isteri itu disemadikan. Arina masih teresak-esak ditepi pusara ibu bapanya. Dia seperti hilang semangat untuk bangun meninggalkan kedua-dua mereka. Jiran tetangga yang mengiringi kedua-dua jenazah tadi kini beransur pulang. Sementara Syikin dan Reza masih setia menanti Arina.
“Gara-gara budak ni lah Rubiah dan si Hamdan tu meninggal. Ikut sangat cekadak budak ni nak makan asam pedas ikan pari, hah.. tu yang accident masa nak gi pasar tu. Dah sebok berkemas nak pegi umrah, sebok lagi nak pergi pasar. Hee..kalau ikutkan hati aku macam nak lempang je muka dia ni!”
“Betul tu, lepas tu buat-buat menangis pula.” Tukas satu suara lagi.
Arina tersentak. Syikin yang mendengar cemuhan yang tak bertapis itu terkumat-kamit mengucap. Dia segera memegang kedua-dua bahu Arina dari belakang. Perlahan-lahan Arina bangun sehingga pandangan matanya selaras dengan kedua-dua wanita yang bermulut lancang itu.
“Mak Su, saya tak ada pun minta pun ibu masakkan untuk saya. Ibu yang memang nak bawa sebelum pergi umrah. Lagipun inikan memang dah takdir. Saya tak minta semua ini Mak Su. Saya sayangkan ibu dan ayah lebih dari nyawa saya sendiri.”
“Ahhhh..kau tu memang bawa sial. Semenjak kau jadi anak angkat diorang ni, hubungan aku dengan kakak aku dah jadi tak baik. Memang bawa sial kau ni. Siapa yang jadi laki kau nanti mesti dapat sial kau ni nanti!” Wanita itu terus-menerus mengata Arina separuh menjerit. Wanita yang seorang lagi balik-balik mengiyakan kata-katanya itu.
“Hoi, perempuan! Mulut kau tu kalau aku tampar bagus jugak!” Tegur Reza separuh memekik.Hilang hormatnya kepada kedua-dua wanita separuh abad itu. Sakit sungguh hatinya apabila Arina dihina begitu.Dia meluru kearah wanita tadi. Nasib baik Syikin sempat bangun dan menahan badan Reza. Tergesa-gesa kedua-dua mereka meninggalkan pusara itu dengan mulut yang masih membebel. Syikin segera memeluk Arina yang tak berhenti-henti menangis.
“Sabar Arina. Bukan kau tak tahu perangai Mak Su kau tu.” Pujuk Syikin. “Kita balik ye?” Pujuk Syikin lagi. Reza yang meradang sebentar tadi sebak melihat nasib  Arina.
 Dahlah ibu ayah baru meninggal, kena maki lagi. Keluh Reza dalam hati.
Hatinya benar-benar tercalar apabila mendengar kata nista wanita tadi. Kalau bukan Syikin yang menahannya tadi, entah apa akan dilakukannya kepada kedua-dua wanita bermulut lancang itu.
Arina menuruti kata-kata Syikin. Perlahan-lahan dia bangun sambil dibantu oleh sahabatnya itu. Syikin segera memimpin tangan Arina. Akhirnya kedua-dua gadis itu melangkah perlahan meninggalkan tanah perkuburan itu. Beberapa langkah dihadapan, Arina menoleh semula kebelakang. Hatinya sebak.
Selamat tinggal ibu dan ayah. Semoga kita berjumpa di akhirat nanti. Ucapnya. Hatinya pilu sebaik sahaja mengungkap kata-kata itu dalam hati. Perlahan-lahan mereka melangkah meninggalkan tanah perkuburan itu disusuli oleh Reza. Pemuda itu memerhati Arina dari belakang.
Dalam hati dia bertekad. Dia akan melindungi gadis itu selagi nyawanya masih dikandung badan. Secara diam-diam, dia merancang satu rancangan yang membabitkan mereka berdua.
Aku akan kotakan janji ku kepada arwah Cikgu Hamdan. Insyaallah. Tekadnya. Reza menoleh kebelakang dan memerhati pusara kedua-dua pusara suami isteri itu.
Semoga roh pakcik dan makcik dicucuri rahmat. Doa Reza sebak. Perlahan-lahan dia menoleh kehadapan semula dan menuruti langkah Arina dan Sykin.
***
“Ira, saya nak minta kebenaran awak.. Saya nak berhenti kerja.”
Nazirah terperanjat. Dia segera bangun mendapatkan Arina. “Tapi kenapa Arina? Awak tak suka bekerja kat sini ke?”
Arina  laju menggeleng-gelengkan kepala. “Bukan sebab itu.” Matanya tertancap kewajah Nazirah. Semenjak mengetahui gadis itu adalah sepupu Reza, Nazirah meminta dia memanggilnya ‘Ira’ sama seperti Reza memanggilnya. Tak usah ber’cik-cik’. Ujar gadis itu dulu.
Arina mengumpul seluruh nafas dan menghembusnya perlahan. “Syikin dah nak kahwin, saya takde kawan lagi duduk serumah. Jadi baik saya balik ke Johor dan kerja disana sahaja.”
“Awak duduk la kat rumah saya. Saya kan tinggal seorang sahaja kat rumah.” Pujuk Nazirah.
“Lagipun kalau awak balik, kan ibu dan ayah..Err..maksud saya awak tinggal seorang juga nanti.” Sambung gadis itu lagi. Dia juga mengetahui orang tua Arina telah meninggal dunia dua bulan yang lepas.
“Ishh..takpe Ira. Saya tak nak menyusahkan awak. Maafkan saya Ira. Saya kena berhenti juga. Terima kasih kerana memberi peluang saya bekerja disini.” Pinta Arina. Dia telah berfikir masak-masak mengenai cadangannya itu.
“ Tapi Reza tahu ke awak nak berhenti dan nak balik Johor semula ni?”
Arina terkedu. Soalan Nazirah itu dibiarkan tanpa jawapan.
***
“Assalammualaikum..”
Arina membuka tingkap. Matanya tertancap kearah Reza diluar pagar.Hatinya berkira-kira. Nak buka pintu ke tak?
Akhirnya dia mencapai  tudung dan keluar menuju kearah Reza. Muka pemuda itu agak suram. Matanya ralit memandang wajah Arina yang mula memakai tudung.
Arina membuka pagar. Dia berpegang kepada prinsip, tidak akan sekali-kali membenarkan lelaki masuk kedalam rumah.
“Kenapa tak angkat call?” Tanya Reza apabila Arina berdiri dihadapanya. Gadis itu cuma mendiamkan diri.
“Kita keluar sekejap?” Pinta lelaki itu lagi.
“Cakap kat sini tak boleh?”
Please Arina, ada benda saya nak cakap pada awak.”
“Awak tak payah bersiap, pakai macam ni dah ok. Kita cakap dekat-dekat sini sahaja.” Sambung Reza lagi. Akhirnya Arina mengalah. Dia menuruti Reza masuk kedalam kereta sebelum kereta itu meluncur laju.
Reza memberhentikan kereta berhampiran dengan taman permainan. Dia menghembus nafas perlahan sebelum berpaling melihat Arina disisi. Gadis itu masih membisu dan terus  menerus memandang kehadapan.
“Arina..” Gadis itu menoleh sekilas. Kemudian dia berpaling kearah lain semula.
“Arina pandang muka saya ni.” Pinta Reza bersungguh-sungguh. Semenjak dua hari ini fikirannya berserabut. Apa yang dilakukannya semuanya serba tak kena. Kelakuan Arina betul-betul menyesakkan dada. Lambat-lambat Arina menoleh memandang wajahnya. Wajah itu tanpa riak. Namun Reza dapat meneka, pasti hati gadis itu masih tercalar hebat.
“Maafkan saya.” Reza memulakan kata. “Saya ingat papa saya takde kat umah masa tu.” Sambungnya lagi. Namun Arina masih berdiam diri.
“Pasal tu saya ajak awak jumpa mama saya. Saya nak kita mulakan hidup baru, tapi biarlah dengan restu mama. Kan elok macam tu?”
“Tapi papa awak tak suka saya kan?” Arina menoleh dan menyoalnya semula. Arina sebak. Hatinya masih terluka dengan kata-kata Datuk Amran apabila Reza mengajaknya ke rumah banglo milik keluarga lelaki itu minggu lepas.
“Saya memang tak tahu papa ada kat rumah. Percayalah. Saya cuma nak awak jumpa mama saya. Tapi tak sangka pula flight papa dan abang saya nak ke Vietnam tak jadi hari tu. Tu yang dia orang patah balik ke rumah.” Terang Reza lagi. Hatinya turut terluka dengan kata-kata Datuk Amran terhadap Arina.
Kau ni dahlah menyusahkan aku, eh bawa perempuan balik pula..Entah bohsia mana kau angkut balik rumah ni! Reza terus meraupkan rambutnya kebelakang. Kata-kata papa itu turut mengguris hatinya.
Sumpah aku tak akan jejak kaki lagi ke rumah itu! Ujarnya geram dalam hati. Dia menggetap bibir bahana terlalu sakit hati. Lagi-lagi apabila melihat muka Along tersenyum sinis memandang mereka berdua.
            Tiba-tiba telinganya tertangkap esakan Arina disebelah. Dia menelan air liur. Cuba menahan pilu. Kasihan gadis itu. Selepas satu, datang lagi masalah yang lain.
            Reza membiarkan Arina meluahkan kesedihan. Terhenjut-tenjut bahu gadis itu menahan tangis. Apabila tangisnya reda, Arina mengesat air mata menggunakan sapu tangan yang dihulurkan oleh Reza.
“Reza, saya dah berhenti kerja. Saya nak balik Johor.” Ucap gadis itu perlahan. Suaranya serak. Dia memandang Reza, menunggu reaksi dari lelaki itu.
Reza mengeluh halus. “Saya tahu, Ira dah cakap.”
“Awak tak kisah kan?” Soal Arina.
Reza menggeleng-gelengkan kepala. “Asalkan awak tak bersedih lagi, saya tak kisah awak balik. Pergilah.”
Arina berkecil hati dengan jawapan lelaki itu. Tak kisahkah dia berjauhan dengan aku nanti? Soalnya sendiri. Walaupun dia yang mengusulkan cadangan itu, namun dia masih berharap Reza terus memujuknya.
“Minggu depan Syikin dah nak nikah. Tiga hari sebelum dia nikah saya balik terus ke JB.”
“Ok.” Ujar Reza ringkas. “Oklah, mari saya hantar awak balik.” Sambungnya lagi. Arina terkesima. Memang sah Reza tak kisah dengannya lagi! Reza segera menekan minyak dan meninggalkan taman permainan itu. Kedua-dua mereka hanya berdiam diri sepanjang perjalanan balik ke rumah. Arina balik-balik menjeling kearah Reza, namun lelaki itu tekun memandang kehadapan. Tak menoleh langsung kearahnya.
Reza memberhentikan kereta didepan pintu pagar rumah sewa Arina. Arina memandang Reza lagi. Lelaki itu masih enggan menoleh memandangnya. “Reza, saya masuk dulu.” Lelaki itu masih diam. Arina mula berasa bosan.
            “Oklah, thanks.” Dia mula merajuk. Dengan pantas tangannya membuka pintu. Namun pergerakannya terbantut apabila terasa lengannya dipegang. Arina menoleh, Reza memandangnya. Lelaki itu mengeluh perlahan.
            “Maafkan saya.” Reza masih kejap memegang lengannya.
            “Sakitlah Reza.”
            “Ok, sorry, sorry.” Reza cepat-cepat melepaskan cengkaman di lengan Arina.
            “Sorry, saya serabut tadi.” Ucap lelaki itu lagi. Arina merenung mata Reza. Akhirnya dia mengangguk perlahan. Reza menarik nafas lega apabila bibir Arina mula mengukir senyuman.
            “Oklah, berkenaan tadi tu, awak boleh balik ke JB tapi dengan syarat?”
            Arina termangu sambil menanti kata-kata Reza seterusnya.
            “Awak akan balik selepas saya menikahi awak. Kita kahwin.”
            Arina melopong apabila mendengar hasrat lelaki itu!
            Biar betik mamat ni?
***
            “Hardy Reza Bin Amran, aku nikahkan dan aku kahwinkan dikau dengan Arina Laila Binti Yusoff yang berwalikan hakim dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.” Reza menarik nafas dalam-dalam, lalu dilepaskan dengan perlahan. Dengan Bismillah, dia memulakan lafaz.
            “Aku terima nikahnya Arina Laila Binti Yusoff dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai.” Suaranya bergema disetiap pelusuk ruang tamu itu. Dengan sekali lafaz, maka bertukarlah status bujang yang disandangnya selama ini.
            Alhamdulillah. Ucap Arina dalam hati setelah Nazim dan ayah Syikin serentak menyatakan sah. Bergenang matanya. Dirinya telah sah menjadi isteri Reza dan telah menjadi milik mutlak lelaki itu. Syikin memegang tangannya erat.
“Tahniah.” Ucap Syikin ditelinganya. Arina tersenyum.
            “Dah, jangan sedih-sedih. Nanti luntur make up kau kang.” Pujuk Syikin apabila  terkesan mata Arina mula bergenang.
“Patutnya kau kena happy.” Arina menjeling Syikin sekilas. “Malam ni malam pertama engkau.” Sambung gadis itu lagi terkekeh halus. Arina tersentak. Namun dia tak dapat berbuat apa-apa. Boleh sampai kesitu Syikin fikirkan. Mentang-mentang dia sudah selamat menjadi isteri Asyraf minggu lepas.
Nak kena Syikin ni. Nanti kau. Gerutu Arina dalam hati.
Selesai mengaminkan doa dan sujud syukur, pengantin lelaki diiring menuju kearah pengantin perempuan. Arina masih tunduk. Dirinya berasa canggung menjadi tumpuan semua orang. Walaupun hanya majlis akad nikah dan dihadiri oleh beberapa jiran tetangga, Nazim, mama dan adik Reza, dia tetap berasa malu.
Melalui bayang, matanya terkesan Reza telah duduk dihadapannya. Perlahan-lahan Arina mengangkat muka sehingga pandangannya dengan lelaki yang telah sah menjadi suaminya itu bersatu. Mata Reza redup menentang pandangan matanya. Bibir suaminya itu mengukir senyum sebelum melakukan upacara membatalkan air sembahyang.
Arina mengucup kedua-dua tangan suaminya itu setelah upacara itu selesai. Reza kemudian mengucup dahi Arina diselangi dengan usikan dari tetamu yang hadir. Arina berasa malu, namun rasa pilu segera bergayutan ditangkai hati apabila menerima kucupan pertama dari suaminya itu.   
Upacara akad nikah itu selesai juga akhirnya. Catering yang menyediakan makan dan minum juga telah siap mengemas pingan dan mangkuk yang telah digunakan dalam majlis itu. Jiran tetangga yang hadir tadi juga telah beransur pulang. Begitu juga mak mertua dan adik suaminya, Rozana. Mereka terus pulang selesai sahaja majlis tadi.
Datin Khadijah dan Rozana tiba dirumah ini semalam. Nazim yang menjadi driver mereka berdua datang ke sini. Mereka bertiga sempat bermalam di Johor Bahru. Nazirah pula tidak dapat menghadirkan diri kerana berada di Phnom Penh ketika ini. Majlis ini last minute baru dirancang. Membebel gadis itu apabila dikhabarkan mengenai pernikahan ‘mee segera’ ini. Jenuh juga dia dan Reza memujuk Nazirah sehingga gadis itu sejuk hati.
Arina duduk melepaskan lelah di ruang tamu. Kini hanya dia dan suaminya berada dirumah. Fikirannya menerawang mengingat majlis pernikahan tadi. Arina tersenyum.
“Alhamdulillah, selamat semuanya.” Ucapnya perlahan. Dia berasa puas. Walaupun secara kecil-kecilan, kedatangan mama Reza dan Rozana sudah cukup membahagiakannya. Tidak semua keluarga suaminya itu tidak menyukai dirinya.
Datin Khadijah memeluknya erat. Ibu mertuanya itu mencium kedua-dua pipinya sebelum meninggalkan mereka tadi. Rozana juga turut memeluknya. Adik iparnya itu nampak menyayanginya. Kedua-dua mereka kelihatan begitu ikhlas menerima dirinya menjadi salah seorang ahli keluarga mereka.
Arina terusik. Perlakuan Datin Khadijah itu segera mengingatkannya kepada ibu. Arina sebak. Dia memandang sekeliling ruang tamu yang menjadi saksi kebahagian mereka bertiga dulu. Tidak semena-mena hatinya dipagut rasa pilu. Dirinya berasa ralat kerana arwah ibu dan ayah tidak sempat untuk melihat dan menyertai hari bahagianya ini.
Arina menapak masuk kebilik ibu dan ayahnya. Dia duduk dibirai katil sambil mengitarkan pandangan melihat sekeliling. Dia terasa seperti kedua-dua mereka masih ada lagi. Arina mengesat air matanya yang mula mengalir. Dia yang meminta supaya majlis akad nikah nya bersama Reza dilakukan dirumah ini. Reza hanya bersetuju dan menuruti sahaja permintaannya itu.
Tangannya pantas mencapai bingkai gambar yang memperlihatkan imej mereka bertiga yang sedang tersenyum. Arina mengucup gambar itu berkali-kali. Perasaan sayu mudah sangat hinggap di hatinya kala ini. Arina kemudian memeluk gambar itu sambil menangis.
“Sayang, kenapa ni?” Wajah suaminya terpacul dimuka pintu sejurus pintu terkuak. Reza segera mendekati Arina dan duduk disebelah isterinya itu.
“Sayang tak sihat ke ni?” Reza kelihatan risau. Arina pantas menggeleng-gelengkan kepalanya. Reza segera mencapai bingkai yang berada dalam dakapan isterinya itu. Arina mengesat air matanya yang seolah-olah tidak berhenti mengalir. Telinganya kemudian tertangkap keluhan halus dari suaminya itu.
“Sayang, tak elok menangis macam ni.” Pujuk Reza sambil mengusap lembut rambut isterinya itu. “Tuhan lebih sayangkan mereka. Ada baiknya kita sedekahkan bacaan yasin untuk mereka selepas maghrib nanti, ermm? Reza segera memaut bahu isterinya itu sehingga kepala Arina terlentok dibahunya. Dia juga sebak mengenangkan kedua-dua arwah ibu dan ayah mertuanya itu.
Isterinya itu mendongak memandangnya, Reza cuma mengangguk lembut.
“Dah maghrib ni, pergi mandi. Nanti kita boleh berjemaah bersama.” Arah Reza apabila suara azan mula sayup kedengaran dari surau berhampiran. Arina segera mengangkat kepalanya semula dari bahu suaminya itu. Bahunya masih terhenjut-henjut menahan tangis.
“Dah,dah jangan menangis lagi. Abang kan ada? Mari abang tolong kesat air mata tu.” Pujuk Reza lagi sambil mengeIap air mata Arina yang laju sahaja mengalir.
“Sayang pergi mandi..hmm.” Arah Reza lagi dengan selembut-lembut kata. Dia menghadiahkan senyuman bagi memujuk gundah dihati Arina.
Arina cuma mengangguk seraya perlahan-lahan bangun dan menapak meninggalkannya. Reza memandang derap langkah isterinya itu sehingga hilang dari pandangan. Kemudian Reza mengeluh perlahan sambil mendongak. Dia memicit-micit kepalanya yang tidak sakit.
Semenjak berkawan dengan Nazim, dia sudah pandai bercakap mengenai agama. Reza tersenyum, gelihati dengan kenyataannya tadi. Diri sendiri masih merangkak-rangkak belajar agama, ada hati nak nasihatkan orang!
Namun dia kemudian tersedar. Dirinya telah menjadi suami orang. Arina bukan orang lain lagi, tetapi kini sah menjadi isterinya. Ada banyak lagi yang perlu dia pelajari untuk membimbing diri sendiri dan isterinya itu.
I will try. Dia berazam dalam hati.
Akhirnya dia bangun dan melangkah perlahan-lahan meninggalkan bilik tidur arwah ibu dan ayah mertuanya itu.
***
Pasangan pengantin baru itu sedang berdiri ditepi tingkap bilik sambil bersama-sama memandang kerlipan bintang dilangit. Mereka berdua menikmati kedinginan malam itu sepuas-puasnya. Dari siang tadi, suasana alam tidak terlalu panas. Mendung sahaja sepanjang hari tetapi tidak pula hujan.
Arina memaut erat lengan suaminya sambil merebahkan kepala dibahu Reza. Reza segera memaut bahu isterinya itu seraya mengucup ubun-ubunnya. Rasa kasihnya kepada Arina disaat ini serasa tidak bertepi lagi. Indah, mengasyikkan dan yang paling penting adalah sah mengikut syarak.
“Awak..”
Reza menoleh sambil menaikkan kening. “Awak?”
“Err..maksud saya aaa..aabg.” Lanjut Arina dengan sedikit gagap. Reza ketawa kecil. Gelihati melihat keletah isterinya itu.
“Hah, macam tu lah. Baru sedap sikit telinga abang ni dengar.” Ucap Reza lembut sambil tersenyum, seolah-olah jika bersama isterinya itu, senyumannya itu tidak menghilang sampai bila-bila. “Kenapa sayang.”
“Ina macam tak percaya yang kita ni dah menjadi suami isteri.” Ucap Arina tersenyum manja. Dia menggelarkan dirinya ‘Ina’ atas permintaan suaminya itu. Ringkas dan nama itu khas untuk Reza sahaja.
Reza ketawa. Dia mengucup ubun-ubun isterinya lagi. “Dah memang tersurat sayang, jodoh kita hari ini. Ini semua ketentuan tuhan.”
“Abang betul-betul sayangkan Ina?” Arina melonjakkan soalan lagi. Kening Reza berkerut dan sedikit terjongket. Pelik dengan soalan isterinya itu.
“Hai, dah tentulah abang betul-betul sayangkan isteri abang ni. Kenapa, tak percaya ke? Giliran Reza pula melontarkan soalan.
“Percaya tu memang percaya. Tapi taknak lah abang sayangkan Ina, disebabkan wajah Ina ni sebiji dengan Kristine Hermosa yang macam abang cakap tu. Nama pun dah sama dengan watak Kristine tu dalam cerita Pangako Sa Yo tu, Yna Macaspac, hah” Jelas Arina panjang lebar dengan mulut yang sengaja dimuncungkan. Seketika dia teringat cerita suaminya berminat mendapatkannya dulu.
“Eh, perasanlah sayang ni. Bila masa abang cakap macam tu.” Reza berpura-pura tidak ingat. Arina pantas memukul-mukul dada suaminya itu membuatkan Reza ketawa berdekah-dekah.
“Dulu memang abang terpikat dengan sayang, sebab wajah sebiji dengan  Kristine tu.” Ujar Reza perlahan apabila ketawanya reda. Arina menanti kata-kata suaminya seterusnya. “ Sama tapi tak serupa.” Sambung Reza lagi. Arina ketawa kecil.
“Tapi sekarang, sayang adalah paling cantik dimata abang, zahir dan batin.” Reza menoleh memandang isterinya sambil tersenyum.
I love you sayang.” Ucap Reza dengan selembut-lembut nada.
Arina tersipu malu apabila Reza memusingkan badan dan menatap matanya. Dia segera melarikan pandangan dan meleraikan tangan Reza yang mendarat dibahunya ketika ini. Arina beredar dan telinganya tertangkap bunyi tingkap ditutup. Tiba-tiba tangan Reza menjalar dipinggangnya. Arina terkedu. Reza memusingkan badan Arina lagi sehingga menghadap tubuhnya.
Arina tergamam. Mata suaminya yang sentiasa menggoncang jiwa selama ini kini begitu dekat diwajah.
I love you sayang.” Ulang Reza lagi.
Arina tersipu. 
Reza telah sah menjadi suaminya, Apa yang dimalukan lagi? Detiknya dalam hati.
I love you too abang..” Ucapnya lembut dan perlahan. Reza tersenyum. Dia meneguk air liurnya berkali-kali memandang wajah isterinya yang jelita itu. Sebagai lelaki normal, dia tidak lari dari perasaan seperti itu. Wanita yang dipujanya itu kini halal menjadi miliknya.
“Sayang adalah isteri abang dunia akhirat. Abang janji sayang.” Ikrarnya perlahan lalu memeluk isterinya dengan erat. Arina membalas pelukan suaminya itu. Dia juga tidak mampu menolak rasa hati. Dia terlalu mencintai suaminya itu.Mereka akhirnya tenggelam dan hanyut dalam lautan percintaan yang kini diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah.
***

           
           















Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen