Online Diary Aku dan Dia..: August 2014

Friday, August 29, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! Bab 7


Zaliya mengetap bibir. Sakit sungguh hatinya melihat kemesraan merpati dua sejoli itu. Sudah setahun dia menjadi pengintip tidak bergaji mereka berdua. Zaliya meneguk Fresh Orange yang dipesan tadi dengan rakus. Memandang wajah wanita disisi lelaki yang dipujanya itu sahaja membuatkan hatinya bagai disiat-siat.
Tak guna punya perempuan. Dia menggerutu dalam hati. Berani kau rampas lelaki yang aku suka!
Wanita itu mendengus lagi. Hei, ini Zaliya la. Apa yang aku nak aku mesti dapat. Bodoh punya betina! Dia menyumpah lagi dalam hati. Namun dia tersedar sesuatu. Wanita itu yang hadir dulu dihati lelaki itu berbanding dirinya. Zaliya meneguk air liurnya sendiri.
Ahhh, aku peduli apa. Pekiknya lagi dalam hati. Tiada siapa yang boleh halang apa yang aku mahu.
Kau tunggu perempuan!
***
Faizul memandang satu-satu anaknya itu. Ahli perniagaan berjaya itu masih kelihatan tampan bergaya walaupun usianya sudah melepasi separuh abad. Dia meramas-ramaskan jari dengan kening sedikit terjongket. Matanya melekat ke wajah anaknya yang masam mencuka.
“Boleh la papa. Biar Lia yang jaga branch kita kat JB tu.” Pujuk Zaliya lagi separuh merayu. Dia beralih duduk di sebelah Faizul yang dari tadi cuma mendiamkan diri. Faizul masih memandang wajah Zaliya seperti cuba mencari sesuatu.
“Papa tak payah pandang Lia macam tu lah. Just say yes je lah.” Zaliya sudah mula memberontak. Suaranya melengking memenuhi ruang bilik pejabat itu. Dia segera bangun sambil memuncungkan mulut apabila Faizul masih berdiam diri.
Faizul mengeluh halus. Apabila mengatakan ‘ok’, bermaksud dia harus berjauhan dengan anak kesayangannya itu. Zaliya adalah nyawanya. Dia tak sanggup berjauhan dengan permata hatinya itu. Dia tersepit. Kalau dia kata tidak, pasti anaknya itu akan merajuk panjang. Akhirnya dia membuat satu keputusan.
“Ok, baiklah.” Dengan berat hati Faizul terpaksa bersetuju.
Kening Zaliya sedikit terjongket memandang wajah papanya itu. Mencari kepastian. Apabila bibir Faizul terukir untuknya diselangi dengan sekali anggukan, Zaliya tersenyum lebar. Berjaya juga dia memujuk papanya itu.
“Thanks pa!” Ujarnya gembira. Dia meluru kearah Faizul dan memeluk lelaki itu. Gembira hatinya bukan kepalang. Faizul Cuma mengelus lembut rambut anak kesayangannya itu. Walaupun terpaksa, dia rela. Tak sanggup dia melukakan hati Zaliya. Biar kehilangan harta, tapi jangan kehilangan kasih sayang anaknya itu. Zaliya sahaja lah penawar hatinya dikala ini semenjak isterinya meninggalkan mereka berdua sebaik sahaja melahirkan Zaliya dua puluh lima tahun yang lepas.
“Papa harap Lia dapat jadi leader yang baik disana nanti.hmm?” Pinta Faizul dengan lembut. Dia berharap anaknya itu tidak mensia-siakan peluang yang diberikannya.
Zaliya Cuma mengangguk-angukkan kepala. Dalam pelukan papanya, dia menyembunyikan senyum. Matlamatnya akan tercapai dalam sedikit masa lagi. Apa yang pasti, matlamat itu tidak ada kena mengena dengan business mereka di Johor Bahru!
***
            Bau tumisan bawang hinggap di hidung Reza sebaik sahaja masuk ke dalam rumah. Tidak semena-mena perutnya terasa lapar. Kakinya pantas digerakkan menuju ke dapur. Di hujung dapur berdekatan tingkap, isterinya sedang kusyuk menggodak masakan dalam kuali. Arina yang langsung tidak menyedari kehadiran Reza menjerit nyaring apabila tiba-tiba suaminya itu memeluknya dari belakang. Tak semena-mena senduk yang digunakan untuk menggaul masakan tadi elok sahaja mendarat di kepala Reza.
            “Aduh!” Reza menggosok-gosok kepalanya yang terkena senduk dengan kening yang berkerut. “Sakitlah Ina.”
            “Abang ni. Suka buat Ina terperanjat tau.” Marah Arina sambil tangannya masih memegang senduk.
            “Kalau Ina ada sakit jantung dah lama kojol.” Sambungnya lagi. Reza masih mengusap-usap kepalanya sambil mendesis-desis kesakitan.
“Hah, sedap kena ketuk?” Namun apabila melihat suaminya itu kelihatan seperti dalam kesakitan, Arina pantas menutup dapur gas dan meletakkan senduk yang dipegangnya tadi.
            “Cuba Ina tengok kepala tu?” Ujar Arina sambil melihat-lihat kepala suaminya yang menjadi mangsa ketukan ‘senduk ajaib’ miliknya tadi.
            Benjol sikit kepala laki aku. Arina menggumam perlahan, namun telinga Reza dapat mendengarnya. Ketawa lelaki itu tiba-tiba meledak kuat. Terasa lucu dia mendengar kata-kata Arina sebentar tadi.
            Arina tersentak. Ni apsal tiba-tiba ketawa ni, tadi bukan main merengek sakit!
            “Tak sakitlah, abang main-main jer tadi.”
            Arina mencebik. Dia memukul-mukul lengan Reza. “Lain kali jangan buat macam tu lagi. Ina terperanjat tau. Ingatkan perompak ke apa tadi.”
            Reza tersengih. Suka betul dia mengusik isterinya itu. “Ye lah, yelah. Maafkan abang.”
            Arina pantas berpusing dan menghidupkan semula dapur gas, menyambung kerjanya yang terhenti tadi. Reza melihat-lihat isi kuali itu dari belakang. Wah, sambal sotong. Nampak menyelerakan!
            Reza meletakkan dagu di bahu isterinya. “Abang laparlah..” Ujar Reza perlahan. Matanya sengaja dikuyukan, lagaknya seperti orang yang tak makan seminggu. Arina berpaling sekilas.
            “Hah, jangan nak ngengade. Macam budak kecik tak tahan lapar. Awak tu tengah puasa. Kang kurang pula pahala tu nanti.” Arina membebel. Reza terkekeh.
            “Garang betul dia ni.” Reza menguis-nguis pipi isterinya itu.
            Arina tersenyum nipis. Dia menyenduk seketul sotong, meniup sedikit dan terus menyumbatnya masuk ke dalam mulut. Kemudian dia berpaling memandang suaminya, mata Reza bulat memandang.Tawa Arina terus meledak apabila melihat mulut suaminya itu terlopong melihat kelakuannya itu.
            “Oooo…tak puasa ea?Tak malu.”
            Arina ketawa lagi. “Eleh, orang cuti lah. Uzur. Jealous la tu.” Tangannya pantas menyenduk seketul sotong lagi sambil mengenyitkan mata memandang Reza, lalu menyumbatnya kedalam mulut. Suaminya itu mendengus.
            “Malaslah nak kawan dengan Ina ni.” Ujar Reza sambil menolak lembut bahu Arina. Ulahnya seperti orang yang sedang merajuk. “Abang pegi mandilah. Nak solat asar.” Sambungnya lagi.
            Arina ketawa apabila melihat Reza berlalu meninggalkannya. Dia menggeleng-gelengkan kepala.
Merajuk macam budak-budak. Desisnya dalam hati. Tapi dia tahu, suaminya itu cuma merajuk manja dengannya tadi. Arina kemudian cepat-cepat menyudahkan kerja-kerja memasaknya di dapur. Waktu berbuka hanya tinggal satu jam lagi.
Lepas ni nak tumis sayur kobis dan telur dadar pula. Dia merancang-rancang dalam hati. Arina kemudian hanyut menyudahkan kerja-kerjanya di dapur.
***
Allahumma laka sumna, wa bika amanna, wa a’la rizkika aftarnaa birahmatika Ya arhamar rohimin.
Allahumma baariklana, Fiima rozaktana, Wakiina a’zabannar.
Robbi la tazarni farda, Wa anta khairul Waarithin..Amin.
Doa memohon dikurniakan zuriat memang mereka amalkan sepanjang bulan puasa ini. Arina menyapu kedua-dua tangan dimuka selepas suaminya selesai membaca doa. Tangannya pantas mencapai bekas yang berisi buah kurma lalu dihulurkan kepada Reza. Suaminya itu menyambut huluran itu dengan senyuman. Arina kemudian mencapai bekas nasi dan menyendukkan nasi untuk Reza, manakala Reza  terus mencapai mangkuk berisi lauk pauk yang disediakan oleh isterinya itu.
Arina menemankan suaminya berbuka puasa. Dia seronok melihat Reza sentiasa berselera menjamah hidangan yang disediakannya. Suaminya itu bukan seorang yang cerewet. Apa saja yang disediakannya akan dimakan tanpa banyak soal. Malah, Reza selalu memuji masakan yang dimasaknya. Isteri mana yang tidak kembang hati apabila dipuji suami sendiri.
Selesai sahaja berbuka puasa Reza bergegas ke surau . Dia ingin menunaikan solat terawih secara berjemaah di surau. Arina mengemas pinggan mangkuk dan membersihkan dapur dengan pantas. Usai sahaja kerjanya, dia segera mandi. Dia menunggu suaminya balik dari masjid sambil menonton televisyen. Air matanya tak berhenti mengalir sebaik sahaja menonton buletin utama yang menyiarkan tentang keganasan regim Zionis ke atas Palestin. Sayu sungguh hatinya apabila kanak-kanak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa.
Bunyi ketukan pintu dan laungan salam mengejutkan tumpuan Arina. Dia segera mengesat air matanya dan bangun membuka pintu.
“Waalaikumsalam.” Dia menjawab salam. Wajah suaminya kini terpacul di depan pintu. Reza kehairanan apabila melihat mata isterinya sembab seperti baru lepas menangis.
            “Kenapa ni Ina?” Dia menyoal dengan nada yang risau.
            “Takde apa. Sedih tengok berita tentang Gaza tadi.”
            Reza menarik nafas lega. Risau sungguh dirinya jika ada sesuatu yang berlaku kepada Arina tadi. Mereka berjalan beriringan ke sofa selepas Reza menutup pintu.
            “Abang lapan rakaat je malam ni?” Soal Arina apabila perasan laungan suara imam dari surau masih jelas kedengaran. Reza memandangnya sekilas.
            “Haah, badan abang macam penat sangat hari ni.”
            Arina Cuma mengangguk-anggukkan kepala. “Abang nak kopi?” Soalnya lagi.
            “Boleh juga.” Arina segera menuju ke dapur. Beberapa minit kemudian dia kembali ke ruang tamu dengan membawa mug yang berisi kopi.
            “Minum bang.” Reza mencapai mug itu sambil tersenyum. Dia menarik tangan Arina duduk disebelahnya. Mereka menonton siaran dokumentari mengenai perang yang berlaku di Gaza ketika ini.
            “Kesiannya..” Arina mendesis perlahan. Matanya mula bergenang apabila melihat bayi adalah antara mangsa yang terkorban dalam perang itu. Reza memandang isterinya itu. Kemudian matanya dihalakan semula ke televisyen.
            “Kalaulah boleh, Ina teringin sangat nak ambil anak Palestin ni jadi anak angkat kita.”
            Reza terkedu. Dia memandang Arina semula. Dia faham gelojak perasaan isterinya kala ini. Hatinya turut tersiat apabila melihat mereka yang tidak berdosa menjadi korban keganasan. Lagi-lagi mereka diserang ketika sedang berpuasa.
            Namun apa yang lagi pasti, Reza tahu isterinya itu kecewa kerana usaha mereka untuk mendapatkan zuriat dalam bulan ini tidak berhasil lagi. Bukan dia tidak perasan air muka isterinya ketika berbuka puasa tadi. Walaupun bibirnya tersenyum, namun bahasa hati isterinya dapat dibacanya. Kosong dan tidak ceria.
            Mereka berkahwin baru setahun, namun Arina memang teringin untuk mendapatkan anak secepat yang mungkin. Isterinya itu pernah mengandung pada bulan kedua pernikahan mereka, namun keguguran. Selepas itu, mereka mencuba pelbagai cara untuk Arina mengandung semula tetapi belum berhasil sehingga sekarang.
Reza mengerling Arina disebelah. Wanita itu masih khusyuk melihat siaran dokumentari yang disiarkan. Sekilas wajah Datuk Amran bermain diruang mata. Semenjak mengetahui Arina berbadan dua, Datuk Amran mula berubah sikap. Dia mula menerima Arina sebagai menantu dan perubahannya itu nyata mengembirakan mereka sekeluarga. Lebih-lebih lagi apabila tembelang Along mula terbongkar.
Rupa-rupanya Along sengaja memfitnah dirinya selama ini. Abangnya itu menuduh dia meniduri anak kepada pelanggan syarikat mereka sehingga hamil. Fitnah itu nyata memberi kesan yang hebat apabila pelanggan itu terus sahaja membatalkan segala perjanjian dengan syarikat keluarga mereka. Dan kerana peristiwa itulah dia dihalau dari rumah oleh Datuk Amran.
Namun akhirnya kebenaran terungkai juga. Anak supplier alat tulis itu datang sendiri menemui Datuk Amran sekeluarga dan menceritakan segala-galanya. Along telah mengupah dirinya agar berpura-pura hamil dan mengaku Reza yang melakukan perbuatan itu.  Akhirnya dirinya betul-betul hamil, namun kali ini semua gara-gara abangnya itu.
Gadis itu tega menemui Datuk Amran kerana Along langsung tak mahu bertanggungjawab. Dia juga meminta maaf kepada Datuk Amran sekeluarga kerana memfitnah Reza. Gadis yang bernama Syuhada itu kini menjadi kakak Ipar Reza apabila Datuk Amran memaksa Along bertanggungjawab diatas segala semua perbuatannya. Sejurus selepas peristiwa itu, Datuk Amran datang sendiri ke Johor Bahru dan meminta maaf kepada mereka berdua. Dia meminta dirinya dan Arina agar tinggal bersama-sama mereka di Ampang. Namun Reza menolak secara baik. Mereka ingin berdikari. Lagipun tak mungkin dia ingin tinggal satu rumah bersama-sama Along buat masa ini. Mereka hidup bahagia disini walaupun dalam keadaan sederhana. Namun setiap bulan mereka pasti akan melawat Datuk Amran sekeluarga di Ampang.
            “Amboi,dah tembus sampai mana tu?”
Reza tersentak. Arina menoleh memandangnya.
“Err..Arina nak apa? Tanya apa tadi?”
“Abang setuju ke kita ambik anak angkat? Ina teringin sangat nak ada baby lah. Bosan duduk rumah sorang-sorang kalau abang pegi keja.” Suara isterinya itu kedengaran lirih, separuh mengharap. Semenjak mereka berkahwin, dia meminta Arina duduk dirumah sahaja. Hanya dia seorang yang bekerja. Cuma kadang-kadang Arina mengambil upah mengurut wanita selepas bersalin kerana isterinya itu mempunyai kepakaran dalam bidang itu.
Reza masih diam. Fikirannya ligat memikirkan jawapan apa yang harus diberikan. Akhirnya dia mengambil satu keputusan yang dirasakan sesuai pada waktu itu.
“Kita tunggu lagi dalam setahun ye sayang? Kita cuba ikhtiar dulu mana tau menjadi, hmm?”
Arina tiba-tiba bangun dan menuju ke bilik. Reza tersentak.
Isk, majok lah tu. Kalau datang bulan macam tu lah peel dia. Reza menggumam sendiri. Dia pantas bangun dan menutup semua suis, lalu menuruti isterinya itu ke dalam bilik.
***
Rosmah duduk di atas pangkin bawah kolong rumahnya sambil mengelap daun pisang yang digunakan untuk membungkus nasi lemak. Hari ni dia tidak turun berniaga di Bazar Ramadhan. Cuaca yang tidak menentu membuatkan dia  berasa tidak selesa dengan keadaan itu. Takut-takut hujan turun lebat jika dia berniaga hari ini.
 Tangannya ligat menyiapkan kerja-kerjanya itu. Sekali sekala mulutnya membebel, memarahi anaknya yang tak pulang-pulang dari bandar sejak keluar pagi tadi.
Ada anak dara tapi langsung tak boleh harap! Bebelnya lagi. Panas betul hatinya. Semua kerja rumah disiapkan seorang diri. Mana nak menyediakan bahan untuk jualan besok di Bazar lagi. Suaminya pun sama. Tak habis-habis dengan mesyuarat JKKK.
Mengalahkan Ketua Kampung sibuknya!
Sudahnya, daun pisang yang sedang dikeringkannya itu menjadi mangsa. Habis ditenyeh-tenyeh daun itu sebagai tanda protes.
Kerjanya terganggu apabila melihat sebuah kereta Merc berhenti betul-betul dihadapan rumah. Kepalanya tertoleh-toleh, ingin mengetahui siapakah gerangan tetamu yang tidak diundang itu. Melalui perut kereta, terpacul tubuh seorang gadis berambut perang dan menuju kearahnya. Mulut Rosmah sedikit terjuih melihat pakaian gadis itu.
Apa punya pakaian la budak ni pakai. Dahlah takde lengan, seluar pula ketat memperlihat semua lekuk!
Terkedek-kedek gadis itu menuju kearahnya. Tumit kasutnya yang mencecah empat inci itu nyata menyukarkan langkah. Kena pula jalan dihadapan rumahnya tidak rata. Mahu tak gadis itu berjalan macam itik!
“Assalammualaikum makcik.” Gadis itu ramah memberi salam.
“Waalaikumsalam. Hah, awak siapa? Nak apa?” Rosmah menjawab sedikit kasar. Moodnya yang kurang baik kala ini menyebabkan dia tiada hati untuk melayan tetamu yang tidak diundang iu.
Gadis itu tersentak. Amboi, bukan main biadap lagi orang tua ni!
“Saya Zaliya. Nak tumpang tanya sikit dengan macik ni.” Zaliya memperkenalkan diri. Dia terpaksa memaniskan rona wajah walaupun hatinya mula membengkak dengan sikap wanita itu.
Kalau bukan ada tujuan lain, dah lama aku maki kau ni! Zaliya menempelak dalam hati.
“Apa dia. Cepat sikit aku banyak kerja ni?”
Zaliya mengetap bibir. Sabarla wahai hati!
“Err..ada tak kat kampung ni, pemuda nama dia err..Reza?”
Mata Rosmah mencerlung memandang Zaliya hingga gadis itu kelihatan terpinga-pinga. “Dah, kalau kau nak tanya pasal budak tak guna tu baik kau berambus dari sini.”
“Tapi macik…”
“Berambus aku kata!”
Zaliya merengus kasar. Seumur hidupnya, belum pernah ada seorang pun yang menengkingnya begitu. Dia pantas berpusing tanpa mengucapkan apa-apa. Sakit sungguh hatinya apabila diperlakukan sedemikian. Mulutnya menyumpah-nyumpah wanita itu. Namun langkahnya terbejat. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Dia kemudian memetik jari apabila benaknya menghasilkan satu idea. Dia pantas berpusing sambil tersenyum. Kelihatan wanita tua itu masih memandangnya sambil bercekak pinggang.
Idea sudah mari! Ujar Zaliya girang dalam hati.
***
“Selamat hari raya abang, ampunkan dosa-dosa Ina yang tidak Ina disedari sepanjang perkahwinan kita ini.” Arina terus mengucup kedua-dua tangan suaminya usai sahaja mengungkapkan kata-kata itu. Dia mengangkat wajahnya semula dan memandang wajah suaminya itu.
Reza tersenyum melihat isterinya yang begitu jelita di pagi raya ini. “Abang ampunkan Ina. Abang pun minta maaf jika terdapat kekurangan dari diri abang terhadap Ina sepanjang menjadi suami Ina, hmm..” Arina cuma tersenyum mendengar kata-kata suaminya itu sambil menganggukkan kepala.
“Selamat hari raya sayang.” Reza terus mengucup dahi isterinya. Kasihnya tertumpah seluruhnya kepada Arina. Sayangnya kepada isterinya itu serasa tak bertepi lagi. Amat membahagiakan. Reza kemudian mencuit hidung isterinya itu. Memandang wajah isterinya itu sahaja amat menggembirakankan hatinya kini.
“Ehem....”
Mereka berdua tersentak. Kelihatan Rozana tersengih melihat gelagat mereka yang saling pandang memandang  itu. Arina tersipu malu. Reza sengaja mencerlungkan pandangan kearah Rozana yang sengaja mengelip-ngelipkan matanya itu.
Kacau daun sahaja budak ni!
“Orang lain pun nak salam juga.” Ujar adiknya itu dengan nada selamba. Dia segera bersalam-salaman dengan kedua-dua suami isteri itu.
            “Seboklah.” Reza berpura-pura marah. Gadis itu ketawa riang kerana berjaya mengusik Reza. Arina Cuma tersenyum melihat gelagat adik beradik itu.
            Arina kemudian menuju kearah Datin Khadijah apabila Reza mengarahkan dia bersalaman dengan mama dan papanya . Reza telahpun bersalaman dengan kedua-dua mereka ketika Arina sibuk membancuh air di dapur tadi.
“Selamat hari raya mama, maafkan salah dan silap andai ada tutur kata Arina yang menyinggung perasaan mama selama ni.” Arina mengungkapkan ucapan itu selesai sahaja mencium kedua-dua tangan ibu mertuanya.
“Laa..takde apa pun salah Arina kat mama ni.” Ujar Datin Khadijah sambil tersenyum.
“Sayang menantu mama ni, selamat hari raya sayang.” Datin Khadijah kemudian memeluk Arina dan mencium kedua-dua pipi menantu kesayangannya itu.
 Arina tersenyum mendengar kata-kata Datin Khadijah. Bahagia sungguh hatinya dapat menumpang kasih ibu mertua semenjak pemergian arwah ibunya.
Dia kemudian berganjak sedikit kekanan dan menghulurkan tangannya kepada Datuk Amran dan mencium tangan ayah mertuanya itu.
“Selamat hari raya papa, maafkan Arina jika selama ini Arina pernah melukakan hati papa.”
Datuk Amran berasa sebak. Seharusnya dia yang meminta maaf kepada menantunya itu. Manakan tidak, dia pernah menghina Arina dengan kata-kata keji suatu masa dulu.
“Selamat hari raya Arina, papa yang seharusnya yang meminta maaf pada Arina. Maafkan papa ye?” Suara Datuk Amran tiba-tiba bergetar seperti menahan tangis. Arina segera menggeleng-gelengkan kepala.
“Tidak, papa takde salahpun kat Arina. Arina dah lupakan semuanya pa.” Ucap Arina bersungguh-sungguh. Senyuman dibibirnya sengaja dileretkan bagi memujuk kegalauan di hati ayah mertuanya itu. Datuk Amran hanya mampu mengangguk-anggukkan kepala. Dia berasa sungguh kesal diatas segala kekasaran bahasanya terhadap Arina dahulu.  
Menantu yang baik sebegini dipersia-siakan. Ungkapnya kesal dalam hati. Arina bukanlah seperti wanita yang disangkakan. Menantunya itu mempunyai hati yang baik. Air mukanya yang jernih itu amat mendamaikan hati mereka sekeluarga.
Arina kemudian bersalaman dengan birasnya, Syuhada yang cantik berbaju kebaya sambil mengendong anaknya yang baru berusia tiga bulan. Dia mengambil bayi itu dan mencium-cium pipinya yang montel. Geram sungguh dia melihat wajah Danial yang bulat itu.
“Bak sini anak aku tu.”
Arina tersentak. Begitu dengan Syuhada. Dengan kening yang berkerut, Along meminta Arina memberikan Danial kepadanya. Teragak-agak dia menyerahkan Danial kepada Along.
“Kalau nak, beranak sendiri.” Along meninggalkan Arina dan Syuhada disitu lantas membawa Danial naik ke bilik. Arina terkedu. Apabila kepalanya dipalingkan ketepi, matanya tertangkap raut wajah Reza telah berubah merah padam. Kelihatan Rozana memegang tangan suaminya itu. Arina dapat mengagak kemarahan Reza dikala ini. Mujur Datuk Amran dan Datin Khadijah tidak mendengar kata-kata Along sebentar tadi.
Arina memaniskan rona muka memandang suaminya itu. Dia tidak mahu perkara tadi mengganggu kegembiraan mereka dipagi raya ini. Dia menunjuk-nunjuk kearah dapur, berpura-pura ingin mengambil air lalu bergegas meninggalkan mereka semua disitu.
Dan di tempat itulah, Arina menghamburkan air mata yang cuba ditahannya dari tadi. Sejujurnya, hatinya bagai disiat-siat apabila mendengar kata-kata abang iparnya itu. Pedih dan perit sehingga ke tangkai hati. Tiba-tiba suara doktor yang merawatnya terngiang-ngiang di telinga. Berulang-ulang kata-kata itu melintasi benaknya sehingga menyesakkan dada.

Arina memandang  doktor muda yang merawatnya itu. Tidak semena-mena air matanya mengalir laju. Syikin yang menemaninya ketika itu segera menggenggam tangannya, tanda memberi semangat.
Patutlah selama ini setiap kali datang bulan, senggugut yang dirasainya sangat pedih dan terasa menyucuk-nyucuk perut. Rupa-rupanya dia menghidap penyakit endometriosis, iaitu tisu endometrium berada diluar rahim. Dan yang paling menyedihkannya lagi, kemungkinan untuk dia hamil adalah tipis. Kalau hamil sekalipun, dia akan mudah untuk keguguran. Dia harus menjalani pembedahan laparoskopi supaya peluangnya untuk hamil tetap ada.
“Peluang itu ada, namun mungkin 50/50 sebab endometriosis puan pada tahap yang teruk sekarang ini. Puan terlalu lambat untuk membuat rawatan. Banyakkan berdoa. Hanya Allah yang akan memperkenankan doa hamba-hambanya.”
Kata-kata doktor itu telah meragut semangatnya. Dia menolak untuk membuat pembedahan kerana tidak ingin suaminya risau mengenai penyakitnya ini.
Dia kemudian hanya dibekalkan ubat penahan sakit dan rawatan hormon. Walaupun pedih, Arina terpaksa menerima hakikat itu. Cuma Allah sahaja yang menjadi tempat sandarannya ketika ini. Walaupun kadang-kadang hatinya agak terusik dengan mereka yang mudah sahaja mendapat cahaya mata, dia pasrah. Dia yakin, Allah tidak akan mengujinya dengan dugaan yang tidak mampu untuk ditanggungnya.
“Ina, buat apa lama-lama kat dapur ni?”
Arina segera mengesat air mata apabila suaminya itu tiba-tiba muncul dibelakang.
“Ina nak ambil bekas rendang ni. Jom kita masuk bang.” Arina terus melangkah masuk kedalam tanpa mahu memandang wajah Reza.
Reza melepaskan keluhan secara perlahan-lahan. Baru sebentar tadi isterinya itu kelihatan ceria, dan sekarang tiba-tiba sahaja moodnya berubah menjadi sedih.
Ini semua gara-gara Along! Reza mengetapkan bibir. Pasti kata-kata Along tadi melukakan hati Arina. Nasib sahaja dia memikirkan pagi ini adalah hari raya. Jika tidak, sudah lama dia berdepan dengan abangnya itu.
Akhirnya Reza menuruti isterinya itu masuk ke ruang tamu. Namun hatinya masih tertanya-tanya sendiri.
Mengapa sejak kebelakangan ini isterinya itu kerap menangis?

***

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen