Online Diary Aku dan Dia..: September 2014

Thursday, September 4, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! - Bab 8


“Abang baru balik?” Sapa Arina sejurus selepas membuka pintu rumah. Bibirnya diukir dengan senyuman yang paling manis dirasakan.
 Senyap.
Kelihatan Reza masih terbongkok-bongkok membuka kasut di depan beranda rumah. Arina masih sabar menanti reaksi suaminya itu.
“Hmm…”. Hanya desahan kasar yang keluar dari mulut Reza usai sahaja meletakkan kasut di atas rak berdekatan dirinya.
Arina terkedu. Sudahlah wajahnya langsung tidak dipandang, lelaki itu terus berlalu meninggalkan dirinya terkontang kanting seorang diri di muka pintu. Sudahnya, dia hanya mampu melihat kelibat Reza yang menghilang disebalik pintu bilik. Lenyap senyuman yang menghiasi bibirnya sebentar tadi. Apabila berpaling hendak menutup pintu, kedua-dua bahunya terjungkit keatas apabila suaminya itu tiba-tiba menghempas  pintu bilik dengan kuat.
 Arina terpempan. Terketar-ketar bibirnya menahan pedih yang menggigit hati. Sebenarnya sudah lama dia terkesan dengan perubahan Reza. Hampir sebulan suaminya bersikap dingin tanpa diketahui apa puncanya. Tiada lagi gurau senda dan keceriaan lelaki itu, dan Arina dapat merasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran Reza ketika ini.
Namun Arina cuba bersangka baik. Dia mengandaikan mungkin Reza penat kerana bekerja seharian. Namun semakin hari sikap suaminya itu semakin sukar untuk dijangka. Kadang-kadang Reza diam sahaja, dan kadang-kadang marah tidak bertempat. Paling ketara, Reza juga sudah kerap meninggikan suara kepadanya tanpa sebab.
Arina segera mencapai telefon bimbit. Terasa tidak tertanggung lagi beban yang digalasnya ini seorang diri. Desakan hati yang menghimpit telah mengarahkan tangannya menekan-nekan nombor telefon seseorang.
“Syikin, aku nak jumpa kau besok…Please..”
***
“Sudahlah, jangan sedih lagi. Nanti orang pelik tengok muka kau monyok macam ni.” Pujuk Syikin. Dia mengitarkan pandangannya melihat sekeliling. Sesekali dia perasan beberapa orang yang lalu lalang mencuri pandang melihat mereka berdua. Kemudian pandangannya itu dihalakan semula kepada Arina. Tangan Arina segera digenggamnya.
“Aku kan ada disini.” Sambungnya lagi. Hatinya rawan apabila melihat Arina tertekan seperti itu. Baru nak happy-happy, datang  bala lain pula menimpa minah ni. Syikin sempat berseloroh  dalam hati.
Arina memandang sayu wajah Syikin. Perlahan-lahan dia menarik tangannya semula lalu meraup muka. Syikin terkedu apabila tiba-tiba Arina teresak-esak menangis. Dia segera menggosok-gosok belakang wanita itu.
“Arina, dah..jangan nangis macam ni.” Pujuk Syikin lembut. Dia mengeluh perlahan. Kasihan sungguh dia dengan nasib  Arina. Dugaan yang datang silih berganti seperti tidak pernah jemu-jemu untuk menguji. Ada sahaja rintangan yang menghampiri, seolah-olah hidup Arina hanya untuk menanggung derita. Namun apabila menyedari itu adalah takdir, terkumat-kamit mulut Syikin beristighfar. Tidak patut rasanya dia mempertikaikan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada Arina. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi dan tidak ternampak dek mata kasar mereka.
 “Aku pelik Syikin. Reza berubah sekelip mata. Aku tak tahu apa salah aku.”Ujar Arina tiba-tiba sambil kedua-dua tangannya masih meraup muka. Pilu sungguh rasa hati apabila suami yang diharapkan menjadi tempat bermanja berubah sekelip mata. Syikin kelihatan risau. Dia memanggil nama sahabatnya itu berkali-kali.
“Arina, hei jangan macam ni. Pandang muka aku. Arina please..” Arina kemudian menatap wajah Syikin. Mukanya basah dek terkena air matanya sendiri.
“Kau ada cuba tanya, kenapa dia jadi macam tu?” Syikin cuba bertanya dengan jujur.
“Ada Syikin, banyak kali. Tapi dia diam sahaja. Aku nak buat macamana lagi.” Balas Arina dengan nada yang bersungguh-sungguh.
“Entah-entah dia dah bosan sebab aku tak boleh bagi anak kat dia. Ye lah aku kan berkemungkinan besar, mandul.” Sambungnya lagi.
“Ish kau ni, ada cakap macam tu. Korang baru setahun lebih kahwin tau. Ada orang lagi lama dah kahwin, tapi masih belum dapat anak. Lagipun doktor cakap kau masih ada peluang untuk mengandung. Bukannya mandul. Kau ni…” Tingkah Syikin  dengan panjang berjela. Dia tidak suka mendengar kata-kata Arina yang asyik mencari kekurangan diri sendiri.
Arina hanya mampu menundukkan wajah apabila mendengar bebelan Syikin. Memang benar doktor ada mengatakan perkara yang sama seperti apa yang dikatakan oleh Syikin sebentar tadi. Namun apabila  suami mula berubah sikap, isteri mana yang tidak curiga. Mungkin kekurangannya itu, adalah punca suaminya berubah. Dan apa yang nyata, perubahan Reza membuatkan semangatnya untuk mendapatkan zuriat semakin berkurangan. Apatah lagi Reza sudah tidak pernah menemankan dirinya untuk membuat rawatan susulan. Ada sahaja alasan lelaki itu jika diminta untuk menemankannya pergi ke klinik.
Syikin yang menanti reaksi Arina perlahan-lahan melepaskan keluhan  apabila wanita itu hanya diam membisu. Dia kemudian menyandarkan tubuhnya  di kerusi yang disediakan di taman rekreasi itu. Dengan dahi yang berkerut, matanya sengaja dipejamkan seperti cuba memikirkan sesuatu.
Bagaikan skrin layar, gambaran Reza makan berdua dengan wanila lain mengasak-asak fikirannya ketika ini. Dia merasakan perlu menyatakan perkara itu kepada Arina. Namun demi sahaja melihat wajah sugul Arina, mulutnya seakan terkunci. Dia cuba menahan rasa hati dari terluah. Tak sanggup dia melukakan hati Arina ketika ini. Lagipun dia tidak pasti lagi siapa wanita itu dihati Reza.
“Arina.”
Arina mengangkat muka memandang wajah Syikin.
“Banyak-banyak bersabar ok? Aku akan sentiasa ada untuk kau. Ingat, apa sahaja yang berlaku, aku ada disamping kau.”
Arina sebak. Terharu sebenarnya apabila mendengar kata-kata seorang sahabat. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum. Dia mengesat air mata yang mengalir dipipinya tadi. Dalam masa yang sama, dia memandang wajah Syikin yang semakin berubah matang. Semenjak menjadi ibu kepada dua orang anak kembar, perangai kebudak-budakan sahabatnya itu semakin hilang.
Thanks Syikin..”
“Laaa…kau ni. Kecil punya hal.” Balas Syikin sambil tergelak. Lapang hatinya apabila melihat Arina mula tersenyum. Dia menepuk-nepuk tangan Arina. “Dah, jangan fikir sangat.”
            Baru berseri sikit wajah minah ni. Gumamnya dalam hati apabila melihat air muka Arina yang telah berubah manis.
***
“Boleh ke Pak Tabit?” Rosmah mengaju pertanyaan. Dia agak rimas apabila mulut orang tua itu asyik terkumat kamit menyebut perkataan yang langsung tidak difahaminya. Zaliya yang duduk disebelahnya juga mula tidak berasa selesa dengan bau kemenyan yang semakin menyengat hidung.
Mata lelaki tua itu terbuka luas. Anak matanya sengaja dilirikkan kearah Rosmah yang duduk ditepinya. Kemudian pandangan itu dialihkan kearah Zaliya.
“Boleh. Memang boleh. Tapi kau ada gambar budak lelaki tu?” Soal lelaki tua itu sambil matanya tajam mengerling memerhati bentuk tubuh Zaliya. Kelihatan bomoh tu itu menarik nafas panjang, halkumnya kelihatan bergerak-gerak. Tubuh Zaliya yang terdedah itu ternyata memancing berahinya.
Zaliya berasa kekok. Sakit betul hatinya apabila orang tua itu memandang dirinya seperti harimau ingin menerkam mangsa.
Tua keparat! Jeritnya dalam hati.
“Zaliya, kau ada gambar budak Reza tu?” Soal Rosmah memecah benaknya.
“Err..ada.” Balas wanita itu sedikit tersentak. Kelam kabut dia mengeluarkan beberapa keping gambar dari dalam beg tangannya. Kesemua gambar Reza diserahkan kepada bomoh tua itu melalui Rosmah.
“Macamana Pak Tabit?” Soal Rosmah lagi. Dirinya seakan tak sabar-sabar lagi mendengar jawapan dari bomoh bujang terlajak itu. Dia dan Zaliya mempunyai matlamat yang sama walaupun sasaran yang berlainan. Sasaranya ada Arina, manakala Zaliya pula adalah Reza. “Gambar yang perempuan tak mau ke?” Soalnya lagi tak senang duduk. Zaliya yang berada disebelahnya menjeling sekilas.
Kelihatan bomoh itu mengangguk-anggukkan kepala beberapa kali. “ Tak perlu. Aku cuma nak gambar yang lelaki sahaja.” Suara Pak Tabit garau menerpa cuping telinga mereka berdua.
“Dengan gambar budak lelaki ini, aku mampu memisahkan mereka berdua. Aku juga mampu membuatkan hidup perempuan ini merana. Jangan risau.” Lanjut bomoh tua itu lagi dengan nada sombong. Secara tak sedar, dia mula mengikut resam iblis. Takbur dan  menidakkan kuasa Yang Maha Esa. Dia terlupa, hanya Allah sahaja yang boleh menentukan takdir manusia.
Rosmah dan Zaliya tersenyum mendengar janji manis bomoh tua itu. Dibenak masing-masing, mereka mula terbayang kejayaan yang bakal dikecapi sedikit masa lagi.
***
 “Laa..baru aku teringat.” Ujar Syikin tiba-tiba. Arina yang sedang enak melantak sizzling mee mengerutkan kening, memerhati kelakuan Syikin yang menepuk dahinya.
“Apa dia?”
“Ni, aku jumpa Nazirah semalam. Dia kirim salam kat kau.” Beritahu Syikin. Dia turut mengenali Nazirah kerana pernah membuat rawatan kecantikan di Spa kecantikan milik wanita itu dahulu. Arina juga banyak bercerita mengenai Nazirah kepada dirinya sebelum ini. Lebih-lebih lagi wanita itu adalah sepupu kepada Reza.
“Laa..Ye ke?” Arina nyata teruja apabila mendengar nama bekas majikannya itu. Lama juga dia tak bertemu dengan Nazirah. Kali terakhir dia menemui wanita itu ketika dia meminta kebenaran untuk berhenti kerja dahulu.
“Ye lah, takkan aku nak tipu kau pula.”
 “Waalaikumsalam..Ni, kau jumpa dia kat mana? Err.. kat mana dia stay sekarang? Dia ok tak?”
“Mana satu aku nak jawab ni.” Syikin mengerling Arina sekilas dengan suara yang sengaja ditekan-tekan. Arina tersengih.
            “Aku jumpa kat Plaza Angsana. Dia stay kat Pan Pac. Ok je aku tengok. Tambah lawa lagi.” Ujar Syikin berseloroh.
            “Dia dah tak pakai nombor telefon yang lama.” Lanjut Syikin sambil mencari-cari sesuatu dalam telefon bimbit.
“Hah,ni nombor telefon dia yang baru.” Syikin menyerahkan gajet miliknya kepada Arina. Arina mencapai gajet itu dan segera menyalin nombor Nazirah yang baru kedalam aplikasi phone book.
“Orang lawa Arina, ramai sangat orang ganggu privacy dia. Tu yang tukar nombor telefon tu.” Ujar Syikin seperti memahami apa yang ingin disuarakan Arina apabila wanita itu tiba-tiba memandangnya dengan dahi yang berkerut. Arina kemudian mengangguk kepala tanda faham.
            “Ohh, satu lagi aku nak bagitahu. Besok flight aku ke Bandung tau. Asyraf dapat tiket free, company dia bagi.”
“Laa..kau ni. Baru nak bagitahu aku.” Ujar Arina sambil menyerahkan telefon bimbit Syikin semula. Mulutnya sedikit muncung. Syikin tersengih apabila Arina membuat mimik muka begitu.
Macam mulut itik. Dia tertawa dalam hati.
 “Sorrylah, kau tau lah semenjak aku jadi fulltime housewife ni, sibuknya mengalahkan orang kerja pejabat.” Seiring itu juga dia cuba menjelaskan hal yang sebenarnya walaupun dalam nada gurauan.
            “Ye la tu. Berapa hari kau kat sana?”
            “Lima hari je, pastu Asyraf kena pergi Jakarta. Kerja seminggu kat sana. Aku dengan anak-anak ikut sekali.” Ujar Syikin panjang lebar.
            “Lama tu, Jangan lupa beli ole-ole untuk aku tau.”
“Laa.. untuk kau mana bole aku lupa.”
            “Hah, macam tu lah. Ni yang aku sayang sangat-sangat kat kau ni Syikin.”
            “Hish, kau jangan cakap macam tu lah. Geli pulak aku dengar.”
            Arina terkekeh ketawa. Hilang seketika masalah yang memberat dihatinya ketika ini.  Matanya kemudian tertancap kearah jam di pergelangan tangan.
            “Syikin, dah lewat ni. Jom balik. Kejap lagi Reza sampai rumah. Aku tak masak lagi ni.”
            “Yelah, yelah jom aku hantar kau balik. Aku pun nak ambil anak-anak kat rumah mak aku ni.” Ujar Syikin sambil terkocoh-kocoh menghabiskan minumannya seraya memanggil pelayan di ruang makan itu.
***
Eh, tak kunci. Sejenak Arina termangu. Tapi aku memang dah kunci pintu ni tadi. Gumamnya lagi.
Malas hendak memikirkan hal itu Arina segera memulas tombol dan menolak pintu itu dari luar. Matanya sedikit membesar apabila melihat suaminya itu duduk di sofa, betul-betul menghadap ke muka pintu. Arina sedikit gerun kerana mata Reza begitu tajam memerhati dirinya. Dia segera menutup pintu dan menapak menuju ke arah lelaki itu.
“Err..awal abang balik hari ini, abang dah makan?” Arina kelihatan teragak-agak duduk  dihadapan Reza. Tetapi huluran tangan tetap diberi.
Reza hanya memandang sepi tanpa mahu menjawab dan menyambut huluran salam Arina. Arina yang mula terasa bahang panas yang melingkari suaminya perlahan-lahan menarik tangannya semula.
“Dah lama kau buat kerja ni?”
Arina tersentak. Matanya terkebil-kebil, tanda tidak mengerti. “Apa maksud abang?”
Tiba-tiba Reza menderam marah. “Kau tak tahu ke, atau buat-buat tak tahu hah!
Arina segera bangun. Terundur-undur dirinya beberapa langkah kebelakang apabila Reza tiba-tiba bangun dengan wajah yang bengis.
“Apa abang cakap ni? Ina tak fahamlah.”
“Ooo..tak faham. Kau keluar jumpa siapa tadi?Kau cakap ngan aku. Ni, telinga aku ni sakit tau. Hari-hari aku dengar kau selalu jumpa jantan lain. Siapa jantan tu, cakap dengan aku!” Jerit Reza seperti hilang kawalan. Dia segera menuju kearah Arina yang tergamam melihat dirinya yang seperti kerasukan.
“Jantan mana kau jumpa tadi hah!” Tempelak Reza lagi sambil menggoncang tubuh Arina sekuat-kuat hatinya.
“Astaghfirullah..jantan mana pula ni. Ina jumpa Syikin tadi. Kan Ina dah whatsap abang sebelum keluar tadi? Mengucap bang. Kenapa dengan abang ni? Tolonglah percaya cakap Ina bang.” Pinta Arina dengan suara yang lirih. Suara Reza yang tiba-tiba melengking mengundang air matanya. Perlakuan kasar Reza betul-betul menghancurkan hatinya.
“Habis, takkan si Zuraini sepupu engkau sendiri nak tipu aku? Kalau dia tak cakap dengan aku, sampai sekarang aku tak tahu kau asyik jumpa jantan lain masa aku takde kat rumah!” Tingkah Reza lagi dengan wajah yang bengis.
Zuraini. Perlahan-lahan nama itu meniti di bibir Arina. Tiba-tiba hatinya diasak dengan perasaan marah yang membuak-buak. Tak habis-habis sepupunya itu dengan Mak Su mencari pasal. Dia pun tak tahu kenapa kedua-dua beranak itu sangat membenci dirinya.
“Kau mengaku atau tidak?” Suara Reza kembali menunjal cuping telinganya. Kedua-dua tangan Reza masih mencengkam  lengannya. “Kau jangan nak buat-buat menangis depan aku lah perempuan, sakit hati aku tengok!”
“Ina tak buatlah bang. Demi Allah, Ina tak buat.Macamana Ina nak mengaku?” Ujar Arina tersekat-sekat  menahan esak. Gerun hatinya apabila melihat keadaan Reza seperti dirasuk hantu. Cuping telinganya jelas tertangkap deruan nafas Reza menderu laju dan kasar terhembus. Seluruh badannya terasa menggigil kerana terperanjat dan ketakutan melihat kegilaan suaminya itu.
Tiba-tiba pintu utama diketuk berkali-kali. Reza mengalihkan pandangannya ke pintu. Dia segera melepaskan cengkamannya dan menolak tubuh Arina sehingga tubuh itu terduduk di atas sofa. Kelam kabut dia menuju ke pintu tanpa mahu mempedulikan perasaan Arina yang terluka dengan sikapnya. Arina teresak-esak menangis namun pandangannya dihalakan sama ke muka pintu. Wajah Zuraini dan Mak Su terpacak di situ sejurus selepas pintu dibuka. Mereka kelihatan tergamam, namun sejurus kemudian senyuman sinis menghiasi bibir kedua-dua mereka apabila melihat keadaan Arina seperti tidak terurus.
“Zu, apa yang Zu buat kat akak ni? Kenapa Zu fitnah akak? Sanggup Zu buat saudara sendiri macam ni?” Tanpa tertahan-tahan, Arina bangun dan meluahkan segala persoalan yang menekan hatinya ketika ini.
“Fitnah? Bila masa aku fitnah kau? Memang betul, kau suka jumpa jantan lain masa abang Reza takde kan?” Dengan sinis Zuraini membidas soalan bertubi-tubi daripada Arina.
“Dan satu lagi, kau tu bukan saudara aku. Mak Long aku pungut engkau entah dari mana, keturunan siapa pun kami tak tahu. Entah-entah, kau ni anak luar nikah.”
Zuraini puas dapat menghina Arina. Memang saat ini adalah yang paling dinanti-nantikannya. Benci betul dia dengan Arina. Oleh kerana Arina lah sahamnya jatuh mendadak. Kedatangan Arina membuatkan dia bukan lagi gadis yang paling jelita dikampung ini. Dan kerana Arina jugalah, hubungan ibunya dan arwah Mak Long menjadi renggang. Rumah, tanah dan semua harta arwah Cikgu Rubiah diserahkan bulat-bulat kepada Arina. Bagi mereka, Arina adalah punca segala-galanya.
Arina cuba bersabar walaupun hatinya bagai disiat-siat mendengar kata-kata Zuraini itu. Bukan dia tidak tahu,  Zuraini dan ibunya cukup senang melihat dirinya terdera dengan keadaan itu.
Apabila menoleh memandang Reza, suaminya itu seperti tidak terasa langsung dengan penghinaan yang dilontarkan kepada dirinya. Malahan Reza seperti memihak kepada kedua-dua wanita yang berada dihadapannya itu.  Tiba-tiba dia berasa sebak.
Sampai hati abang…Ujarnya lirih dalam hati.
“Kau tunggu apa lagi? Berambus kau dari rumah ni. Kau memang takde kena mengena dengan keluarga kami. Berambus!” Giliran Mak Su pula bersuara.
Arina menghembuskan nafas secara perlahan. Dengan kesabaran yang masih tersisa, Arina cuba mempertahankan haknya. Ini rumah aku, aku tak akan mengalah! Tegasnya dalam hati.
 “Rumah ini rumah saya. Arwah ibu dan ayah saya dah menyerahkan rumah ini atas nama saya. Mak Su dan Zuraini tak boleh halau saya sesuka hati.Ingat tu.”
Kelihatan air muka kedua-dua beranak itu berubah  apabila mendengar kenyataan yang terluah dari mulut Arina. Ternyata kata-kata itu ibarat racun yang menyakitkan hati dan anak telinga. Mereka berpandangan sesama sendiri. Mak Su yang agak malu mendengar hakikat itu menapak pantas menuju kearah Arina dengan niat ingin menampar wanita itu. Namun hajatnya tak kesampaian apabila Arina sempat menepis dan secara tidak sengaja tertolak tubuh gempalnya sehingga hampir tersungkur.
“Kurang ajar, berani kau tolak mak aku.” Zuraini mula menyinga. Dia meluru kearah Arina dan melempang wajah Arina sekuat hatinya. Arina yang mula berang melempang muka Zuraini semula.
“Ina!”  Pang!!!
Arina terkedu. Kepalanya terasa pening. Tubuhnya berpusing dua kali sebelum jatuh tersungkur. Dia mengesat tepi bibirnya apabila terasa sesuatu yang mengalir, darah!
Arina menoleh memandang Reza. Air matanya bercucuran, dia menagis semahu-mahunya. Mak Su dan Zuraini yang tergamam pada mulanya keliahatan gembira apabila Reza memihak kepada mereka.
Padan muka kau. Mak Su ketawa dalam hati. Zuraini pula tersengih sambil menyilangkan kedua-dua tangannya. Dia menyembunyikan senyum apabila Reza sanggup menampar Arina demi mempertahankan dia dan ibunya.
“Kau jangan nak menangkan jantan tak guna tu depan aku. Hei, kalau kau kahwin dengan lelaki lain sebab nak anak, kau tu tetap tak boleh beranak. Kau tu mandul!” Suara jeritan Reza umpama halilintar bergema disetiap sudut rumah itu.
Arina tersentak. Hatinya remuk. Hancur berkecai apabila dihina sedemikian rupa. Dia boleh menerima penghinaan dan kesakitan dari orang lain, tetapi bukan suaminya sendiri. Sudahlah dituduh dengan perkara yang tidak pernah dilakukan, Reza juga telah memijak harga dirinya dihadapan orang lain.
“Dan untuk pengetahuan kau, aku pun dah muak dengan perangai kau. Kalau kau ada jantan lain, aku pun sama. Aku dah sayangkan perempuan lain.” Lanjut Reza lagi sambil menekan suaranya. Wajah Arina yang berdarah dibibir itu ditenung tepat sambil wajah isterinya itu dituding dengan jari telunjuk.
Telinga Arina semakin berdesing. Hatinya seperti mahu pecah mendengar pengakuan Reza. Tahulah dia kini punca perubahan suaminya. Rupa-rupanya ada wanita lain yang sedang bertahta dihati lelaki itu. Secara perlahan-lahan, dia bangun dan melangkah beberapa langkah kehadapan sehingga pandangannya selaras dengan tenungan suaminya itu.
“Ina pergi dulu abang. Maafkan Ina.” Ujar Arina teresak-esak seraya berpaling dan meninggalkan rumah itu tanpa membawa apa pun. Cuma beg tangan yang berada ditepi pintu sahaja yang sempat dicapainya. Dia terus berlalu tanpa mahu memandang semua wajah yang ada disitu. Walaupun rumah itu adalah haknya yang mutlak, serasa tak mampu lagi dirinya berada lebih lama disitu. Biarlah dia beralah dulu buat masa ini.
Reza hanya memerhati langkah Arina sehingga kelibat isterinya itu hilang dari pandangan. Hatinya berasa pedih, namun kakinya umpama kaku dan tak mampu untuk menahan. Dia begitu benci dengan Arina ketika ini, tetapi dalam masa yang sama hatinya mula berasa kosong apabila melihat wanita itu pergi dan langsung tak menoleh ke belakang lagi.
***
“Kak Liya, plan kita dah berjaya.”
Are you sure?”
“Ye la, takkan Zu nak tipu kak Liya pula.” Zuraini mencebik apabila merasakan Zaliya seperti memperkecil-kecilkan kejayaannya dengan ibunya. Kemudian telinganya tertangkap hilaian ketawa wanita itu melalui corong telefon.
Suara sebiji macam langsuir!
Good Zuraini. Aku tahu aku boleh percayakan kau dengan ibu kau yang mata duitan tu.” Dalam pujian, Zaliya sempat mengutuk kedua-dua beranak itu.
Telinga Zuraini berdesing apabila mendengar sindiran Zaliya. Perempuan mulut longkang! Kutuknya dalam hati.
“Err..cut it short, macamana dengan bayarannya? Bila Kak Liya nak transfer masuk akaun saya?” Zuraini malas mahu melayan wanita itu terus meminta jumlah bayaran yang telah dijanjikan.
“Kejap lagi lah. Kau sabar sikit. Tapi aku bayar separuh je. Aku nak kau terus perhati si Arina tu sehingga Reza kahwin dengan aku. Dah selesai semua baru aku bayar habis. Faham?” Zaliya terus mematikan talian telefon bimbitnya.
Tak reti nak menyabar. Mak anak sama je. Mulut Zaliya terus mengomel sebaik sahaja memutuskan talian.
Kerja tak habis lagi dah minta bayaran. Hei, kerja macam ni aku bayar korang lima puluh ribu ringgit ok. Dasar mata duitan. Sambungnya lagi terus mengutuk kedua-dua beranak itu.  Dia melemparkan gajet itu jauh dari dirinya.
Wanita itu kemudian terus bersandar sambil memainkan pen dihujung jari. Dia kemudian tersenyum. Puas sungguh hatinya apabila rancangan yang sekian lama dirancang telah berhasil. Terasa berbaloi juga duit yang dilaburkannya untuk membayar Rosmah dan Pak Tabit.
“Hebat juga penangan bomoh miang tu. Gumamnya sendiri. Apsal la aku tak terfikir cara ni dari dulu? Kalau tak, dari dulu Reza dah jadi milik aku.” Zaliya mempersoalkan tindakannya dahulu.
Whatever, yang penting Hardy Reza dah jatuh ke tangan aku, Good bye Arina.” Ujarnya perlahan dengan suara angkuh. Dia mengecilkan anak matanya.  Kemudian dia tertawa kegembiraan. Namun tawanya terhenti apabila telefon bimbitnya berdering-dering. Dia mencapai gajet itu semula dan menatap skrin. Bibirnya menyengih. Reza!

***

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen