Online Diary Aku dan Dia..: November 2014

Tuesday, November 11, 2014

Yes, Isteriku Pregnant! Bab 11


Datuk Amran duduk berehat di halaman rumah banglo mereka. Angin petang yang berpuput lembut menyebabkan dia mengambil keputusan untuk  bersantai-santai disitu. Matanya terasa segar apabila menatap pokok-pokok bunga hasil tanaman isterinya. Pokok-pokok bunga itu tumbuh dengan begitu subur.
Datuk Amran tersenyum. Datin Khadijah memang ‘hantu’ bunga. Pantang mempunyai  masa senggang, dia pasti akan menambah koleksi pokok-pokok bunga di halaman rumah. Sekali imbas, kediaman mereka ini seperti taman, sana sini bunga!
Datuk Amran mencapai surat khabar diatas meja. Setiap hari, tukang kebun merangkap pemandu mereka  Pak Aman akan meletakkan surat khabar disitu. Kecuali kalau hari hujan, Pak Aman akan  membawa semua surat khabar yang ditempah itu masuk ke dalam rumah dan menyerahkannya kepada Nab orang gaji mereka.
Datuk Amran membaca tajuk utama akhbar  itu sebelum satu persatu helaiannya diselak. Keningnya berkerut menghayati setiap butir berita yang disajikan. Sekali-sekala kelihatan dia menggeleng-gelengkan kepala. Berita-berita yang dipaparkan benar-benar menenggelamkan dirinya dalam kekhusyukan.
Perhatiannya terganggu apabila telinganya menangkap deru kenderaan dari luar pagar. Datuk Amran mendongakkan kepala. Kelihatan kereta Nissan Fairlady milik Rozana masuk ke perkarangan banglo itu. Apabila wajah Rozana terpacul keluar, anak gadisnya itu melambai ke arahnya seraya menunjuk-nunjuk ke dalam rumah. Datuk Amran cuma menganggukkan kepala.
Hmm..Budak-budak sekarang bukan reti nak bersalam dahulu dengan orang tua. Bebelnya sendiri lantas meneruskan bacaannya semula.
“Kusyuk benar bacanya tu.” Tegur Datin Khadijah seraya meletakkan dulang minuman ke atas meja. Dia melabuhkan punggung dihadapan suaminya sebelum mencapai teko yang berisi air kopi panas. Datuk Amran memandang cawan yang berisi kopi kegemarannya itu. Aroma kopi hitam pekat itu mula merasuk nafsunya. Dia segera melipat surat khabar dan menyambut cawan yang dihulurkan oleh Datin Khadijah.
Ahh..lega sungguh rasanya apabila air kopi itu merangsang deria manis lidahnya. Sedap betul kopi bancuhan isterinya itu!
Datin khadijah menghulurkan sepinggan kuih keria. Datuk Amran mencapai kuih itu sebelum menyumbatnya ke dalam mulut dan mengunyah perlahan.
Datin Khadijah tersenyum. Dia cukup senang melayan suaminya. Senyumannya semakin melebar apabila Datuk Amran mencapai sebiji kuih lagi. Dirinya berasa sungguh bahagia ketika ini. Perangai bengis suaminya langsung hilang. Kini Datuk Amran telah berubah menjadi seorang suami dan ayah yang cukup penyayang. Lebih-lebih lagi apabila telah bergelar atok.
Alhamdulillah. Ini semua kehendak Allah. Tidak putus-putus dia melafazkan syukur dalam hati.
Datin Khadijah kemudian memandang ke halaman rumah. Kelihatan kereta anak gadisnya menjalar disitu.
Dah balik la tu. Detiknya sendiri sambil menjenguk-jenguk lagi disekitar halaman. Kereta Along belum kelihatan lagi.
Malam baru balik agaknya. Lanjutnya seraya mengalihkan pandangannya ke beranda. Kelihatan Kak Nab orang gaji mereka sedang menyapu disitu. Menantunya Syuhada berada di dalam rumah. Ketika lalu dibilik tidur Along dan Syuhada tadi, dia ternampak menantunya itu sedang menidurkan Danial.
Datin Khadijah tersenyum apabila mengenangkan telatah Danial yang semakin membesar. Cucunya itu agak lasak. Kadang-kadang sakit juga pinggangnya dan Datuk Amran melayan cucunya itu bermain. Walaupun lasak, Danial agak manja dengan ibunya. Ada masa tertentu dia langsung tak mahu dengan orang lain kecuali dengan ibunya sendiri. Akhirnya Syuhada terpaksa  berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa untuk menjaga Danial. Hanya suaminya sahaja yang keluar bekerja. Danial kini menjadi keutamaan Syuhada.
Datin Khadijah tersenyum manis. Suami, anak, menantu dan cucu semua berada dihadapan mata. Berbunga-bunga hatinya mengecapi kebahagiaan itu. Dalam usia emas seperti ini, dia amat mendambakan keluarga mereka dapat berkumpul semua.
Tiba-tiba ingatan Datin Khadijah menerpa kearah Reza. Dia memandang kearah datuk Amran yang sedang enak mengunyah kuih keria.
“Abang.”
Datuk Amran memandang wajah Datin Khadijah. Keningnya berkerut, agak tidak suka berbual ketika sedang mengunyah makanan.
“Angah dan Arina dah lama tak call kan?”
“Sibuklah tu.” Datuk Amran menjawab sepatah.
Datin Khadijah seprti tidak berpuashati dengan jawapan itu.
“Aiiii..takkan call pun tak sempat? Entah sihat ke tidak budak-budak tu.” Rungut Datin Khadijah seraya membentuk-bentuk mulut.
Datuk Amran memandang sekilas. Dia berasa gelihati apabila mendengar rungutan isterinya itu.
“Biarlah Dijah oiii..Diorang bukannya budak-budak lagi awak nak risau sangat.”
Datin Khadijah memandang suaminya. Mulutnya bertambah muncung.
“Dijah ni bukan apa bang. Menantu kita Arina tu, dulu hampir setiap hari dia call bertanya khabar. Ni dah beberapa hari tak call. Mau saya tak risau.” Luahnya berterus terang. Seraya wajah menantunya yang lembut itu menerpa fikiran. Arina cukup manja dengannya. Kadang-kadang dia merasakan Arina itu seperti anak kandungnya sendiri dan bukan menantu. Arina cukup pandai mengambil hatinya. Syuhada pun sama. Cuma Syuhada agak pendiam berbanding dengan Arina.
“Bagilah mereka sedikit ruang Dijah oiii. Takkan semua hal rumahtangga, mereka nak cakap dengan kita ni. Awak ni pun satu.” Tingkah Datuk Amran seraya mencapai cawan kopi dan menghirupnya perlahan. Dia kemudian tersenyum apabila melihat wajah masam isterinya itu.
“Susahlah cakap dengan abang ni. Dahlah Dijah nak masuk dalam.” Ujar Datin Khadijah terus bangun.
Datuk Amran tersenyum lagi sambil menggeleng kepala melihat keletah isterinya itu. Makin tua makin kuat merajuk!
Belum pun sempat Datin Khadijah berlalu, tiba-tiba Rozana melaung memanggil mereka berdua. Berkali-kali gadis itu menjerit memanggil ‘papa’ dan ‘mama’. Mereka menoleh serentak kearah rozana yang tercungap-cungap berlari keluar rumah sambil memegang telefon bimbit di tangan.
“Kenapa ni Zana? Menjerit-jerit panggil papa dan mama macam tu.” Tegur Datin Khadijah kurang senang dengan kelakuan anak gadisnya seorang itu. Datuk Amran cuma memandang. Rozana cuba mengatur nafasnya semula sambil menunjukkan isyarat tapak tangan. Tangan kirinya yang menggenggam telefon bimbit diletakakkan di atas lutut.
“Apa kena lah budak ni. Macam baru tamat lari 100 meter lagaknya!” Bebel Datin Khadijah  seraya menggeleng-gelengkan kepala.
Sorry pa, ma. Tak sengaja. Ni, Angah telefon. Dia..” Rozana tidak sanggup menghabiskan kata-katanya.
“Mama cakap sendiri lah.” Ujarnya sambil menghulurkan telefon bimbit. Muka gadis itu kelihatan masam.
“Ish, apa kena lah dengan budak ni. Angah telefon nak terjerit-jerit macam tu.” Bebel Datin Khadijah seraya mencapai gajet itu.
“Ye Waalaikumsalam…” Datin Khadijah tersengih memanjang apabila mendengar suara Reza.
“Ye, lama Angah dan Arina tak telefon. Menantu mama tu sihat tak? Dah berisi ke belum?” Lanjut Datin Khadijah lagi sambil tersenyum. Sayup-sayup dihujung talian kedengaran suara Reza menjawab soalan Datin Khadijah walaupun butir-butir percakapannya kurang jelas pada pendengaran  Datuk Amran dan Rozana. Datuk Amran terus menghirup kopi panas tanpa mahu mempedulikan isterinya itu. Sementara Rozana kelihatan berdebar-debar menanti reaksi ibunya.
“Apa?! Astaghfirullah. Kenapa boleh jadi macam tu? Hello..hello Angah.” Ujar Datin Khadijah tiba-tiba sambil terus memegang dadanya. Suara Datin Khadijah yang melengking manarik perhatian Datuk Amran. Dia memandang Datin Khadijah yang sedang merenung telefon bimbit ditangan. Kelihatan berkerut seribu kening isterinya itu.
Bertuah punya budak. Orang tua tak habis bercakap dia dah tutup panggilan. Getus Datin Khadijah geram. Rona mukanya  berubah kemerahan. Hidungnya kembang kempis menahan marah yang membuak-buak didada.
Aku dah agak dah. Mama mesti mengamuk punya! Detik Rozana dalam hati. Arina kan menantu kesayangan mama!
“Apa hal dengan Angah?” Soal Datuk Amran dengan keningnya sedikit terangkat.
“Anak jantan awak tu lah,  besok nak menikah lagi satu!”
Datuk Amran jelas terperanjat. Mulutnya terkumat-kamit beristighfar.
“Dah kenapa budak tu? Kenapa tiba-tiba nak nikah? Dengan siapa? Arina pula macamana?” Soal Datuk Amran bertubi-tubi.
“Ni lah saya tak sempat tanya dia dah letak telefon.” Ujar Datin Khadijah dengan suara ditekan-tekan. Dia menjeling suaminya. Geram rasanya apabila Datuk Amran terus melontarkan pertanyaan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya.
“Dia cakap macam tu je ke mama?” Rozana tiba-tiba mencelah. Kedua-dua suami isteri itu serentak  mengangkat kening memandang Rozana.
“Ye lah. Tu je dia cakap kat mama tadi.”
Rozana mengeluh.
“Kenapa dengan Angah Zana?” Soal Datin Khadijah mula berasa sesuatu yang tidak kena. Sementara Datuk Amran terus memandang tepat kewajah anak gadisnya yang seorang itu. Rozana mengumpul seluruh nafas sebelum menghembusnya perlahan. Dia memandang wajah kedua-dua orang tuanya silih berganti.
“Papa dan mama jangan terperanjat pula.”
“Cepatlah cakap.” Desak Datin Khadijah.
“Angah kena tangkap khalwat. Dalam rumah mereka sendiri. Pasal tu dia kena nikah dengan perempuan tu.” Perlahan-lahan dia menuturkan kata-kata itu. Rozana kemudian mencebik mendengar kata-katanya sendiri sebentar tadi.
Bodohlah Angah ni. Kutuknya dalam hati. Entah kenapa tiba-tiba hatinya terlalu sakit hati dengan kelakuan abangnya yang seorang itu.
Datuk Amran dan Datin Khadijah berpandangan sesama sendiri. Datuk Amran terus menanggalkan kaca mata yang dipakainya dan memicit-micit dahi. Sementara Datin Khadijah merasakan seperti ada batu besar sedang menghempap kepalanya ketika ini!
***
Arina melunjurkan kaki. Terasa lega urat kakinya apabila berehat-rehat seperti itu. Tanpa menanggalkan telekong, dia termenung dengan kepalanya mendongak ke atas bumbung surau Lapangan Terbang itu. Lima jam penerbangan ditunda menyebabkan sakit hatinya datang lagi. Dalam saat-sat genting, perkara sebegini boleh terjadi.
Arina mengeluh kebosanan. Dia kemudian memejamkan mata apabila kelopak matanya mula memberat. Akhirnya dia terlelap seketika. Suasana berhawa dingin di dalam surau itu benar-benar membuai lenanya. Sekembalinya mereka dari Phnom Penh sebentar tadi, mereka transit di Lapangan Terbang ini sebelum meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.
Transit bukan sekejap ok! Bebel Nazirah tadi.
Sebelum berlepas tadi, mereka sempat berjalan-jalan di Central Market yang terletak di tengah-tengah bandar Phnom penh. Malam semalam pula mereka melawat Cawangan Pusat Kecantikan Nazirah yang terletak di Sorya Shoping Center sebelum Ustaz Harun membawa mereka mengelilingi bandar itu untuk melihat kemeriahan bandar Phnom Penh di waktu malam. Perjalanan yang tak henti-henti membuatkan dirinya berasa cukup-cukup letih saat ini.
Namun lenanya terganggu apabila cuping telinganya tertangkap suara bayi ketawa. Perlahan-lahan dia mengangkat kelopak mata. Kelihatan seorang bayi berada dihadapan dan duduk dipangkuan ibunya. Ibunya menyandar di dinding bertentangan Arina. Bayi itu tersengih memandang  Arina sambil menunjukkan gusinya yang belum ditumbuhi gigi. Seolah-olah dari tadi dia memerhati Arina terlelap.
Arina tersenyum. Dia mengacah-acah sehingga terlonjak-lonjak badan bayi itu ketawa. Ibunya tersenyum memandang Arina sambil menganggukkan kepala.
“Comel anak puan”. Puji Arina memulakan kata.
“Alhamdulillah.” Sahut wanita itu tersenyum manis.
Transit juga ke?” Soal Arina lagi.
“Tak, baru sampai. Suami saya solat sekejap. Takut nanti tak sempat nak asar kat rumah.” Ramah wanita itu menjawab.
Arina mengangguk sambil menanggalkan telekong di kepalanya. Dia menjeling sekilas ke tepi. Kelihatan Nazirah sedang enak tidur berbantalkan sejadah yang dilipat-lipat menjadi seperti bantal. Dia kemudian tunduk sambil menekan-nekan telefon bimbit.
“Balik dulu ye.” Kelam kabut Arina mengangkat kepala. Wanita itu tiba-tiba berada dihadapannya sambil mengunjukkan tangan. Arina menyambut huluran itu.
“Eh, dah nak balik.”
“Haah. Ayah budak ni dah sudah.” Ujar wanita itu ramah.
 Arina tersenyum seraya mengangguk. Dia kemudian mencuit pipi bayi itu. Arina tergelak apabila  mata bayi itu bulat memandangnya dengan mulut yang terjuih seolah-olah tidak mahu meninggalkan dirinya. Dia melambai-lambaikan tangan kearah bayi itu sambil matanya menyoroti langkah wanita itu meninggalkannya.
Comel betul. Puji Arina dalam hati. Dia tersenyum manis.
“Awak bercakap dengan siapa tu?” Suara serak Nazirah tiba-tiba menerpa cuping telinga. Arina menoleh pantas memandang Nazirah. Wajah Nazirah kelihatan sembap.
Stranger.”
Perlahan-lahan Nazirah bangun dan mengitarkan pandangan melihat sekeliling. Suasana nyaman dari pendingin udara didalam surau itu membuatkan dia tertidur mati sebentar tadi.
“Mana dia?” Soal Nazirah lagi.
“Laa..dah baliklah.” Ujar Arina sambil membelek telefon bimbitnya semula.  
“Bangun cepat Ira. Saya dah nak call Nazim ni. Flight kita lagi dua jam ni.” Gesa Arina seraya mengerling jam di pergelangan tangan.
Nazirah mencebik.
“Haha..sedap lama-lama kat sini kan.” Ujarnya dengan lagak ketawa yang dibuat-buat. Nazirah bangun dan terus duduk menghadap muka Arina.
“Saya suruh driver saya hantar ke JB,  awak dan bilal kodok tu tak nak. Kalau naik kereta, dari tadi kita dah sampai JB.” Lanjut Nazirah kembali mengungkit. Dia menanti reaksi Arina.
“Laa..tak baik membazir. Tiket Flight kan dah ada, kalau kita tak ikut flight ni, nanti  burn pulak tiket tu. Ish..membazirlah. Sabarlah, lagi dua jam ni. ” Ujar Arina sambil membetul-betulkan tudung ‘aidijuma’ yang dipakainya. Nyata dia kurang senang apabila Nazirah ingin membazir seperti itu. Dia bukan seperti itu. Lagipun sejak kecil dia di didik supaya sentiasa berjimat cermat.
“Ye lah tu.” Nazirah mencebik. Dia cuma memandang Arina yang berlagak selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku kepada dirinya.
 Nazirah mengeluh. Geram sungguh rasa hati apabila Arina dan Nazim tidak bersetuju dengan cadangannya sebentar tadi. Walaupun dia mula rapat dengan Arina, sebenarnya dia masih cuba untuk masuk ke dalam dunia orang kelas sederhana seperti Arina dan Nazim. Dirinya selama ini tidak pernah berasa susah. Baginya berapa ‘sen’ sangatlah kalau tiket penerbangan yang dikatakan Arina itu ‘burn’. Namun perasaannya itu hanya menjadi rahsia hati tanpa mahu diberitahu kepada sesiapa. Tak pasal-pasal nanti dirinya ‘di cop’ berlagak walaupun hakikatnya dia betul-betul tidak biasa hidup susah.
Lagipun aku buat semua ni sebab nak selamatkan hubugan kau dengan Reza! Tingkahnya geram dalam hati.
“Hah, awak dapat call Reza tak?” Soalnya  apabila benaknya tiba-tiba teringatkan sepupunya itu.
Arina tersentak. Mendengar nama suaminya itu membuatkan dia mengeluh perlahan. Dari tadi dia cuba menghubungi suaminya itu namun panggilannya hanya masuk kedalam peti simpanan suara.
“Tak dapat call lagi.” Arina menjawab perlahan.
Nazirah terus memicit-micit dahi.
Adoi, parah! Rungutnya dalam hati.
***
Reza melangkah laju. Dia keluar dari perkarangan masjid  itu tanpa memandang kekiri dan kekanan. Suara Zaliya yang  menjerit-jerit memanggil namanya juga tidak dihiraukan lagi. Kakinya pantas sahaja melangkah sehingga ke pinggir jalan. Setibanya disitu, fikirannya  menjadi kosong. Tangannya segera mencapai kotak rokok yang sengaja diletakkan dipoket baju melayunya. Dia menjepit sebatang rokok di bibir sebelum menyalakan api. Berkepul-kepul asap rokok itu keluar dari hidung dan mulut. Matanya sengaja dikecilkan bagi  menahan silauan matahari yang semakin terik.
Beberapa panggilan tidak berjawab daripada Arina begitu merusuh hatinya ketika ini. Semalaman  telefon bimbitnya terpadam dan pagi tadi, ada lima puluh tujuh missed call daripada isterinya itu. Satu pesanan ringkas turut dihantar oleh Arina kepadanya.
Abang, tolonglah jawab call, please…
Namun pesanan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan. Arina ada kat rumah ke? Dia menyoal diri sendiri.
Reza mengeluh kasar. Kalau Arina balik, pasti isterinya itu akan tercari-cari akan dirinya. Dia meraup mukanya dengan tapak tangan. Kelmarin dia telah berpindah ke satu apartment mewah di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru. Apartment itu disediakan oleh Faizul untuk dia dan Zaliya tinggal nanti. Cuma dia sahaja yang berpindah dahulu. Itupun setelah Zaliya berkali-kali memaksanya. Wanita itu tidak mahu lagi Reza tinggal di rumah arwah ibu dan ayah Arina setelah mereka berkahwin nanti.
Reza mengeluh lagi. Sejurus imbasan wajah Faizul bermain-main di ruang mata.  Mengingatkan lelaki itu membuatkan Reza menelan air liur sendiri. Ayah Zaliya itu jelas tidak menyukai dirinya. Dia masih teringat akan kata-kata lelaki itu ketika mereka diperkenalkan oleh Zaliya di sebuah restoran.
“Jangan kau ingat aku terima kau sebab aku sukakan kau. Aku terpaksa terima kau sebab aku tak nak kecewakan anak aku. Dah ada bini ada hati nak kahwin dengan anak aku. Tak sedar diri!”
Hatinya cukup terbakar mendengar kata-kata itu. Apabila ingin meningkah, Zaliya telah kembali ke tempat duduk. Meluat sungguh hatinya apabila Faizul terus berpura-pura ramah melayan dirinya dihadapan anaknya itu.
Reza  mengetap bibir. Hipokrit, ada aku kesah kau tak suka aku!
Jelingan mata Faizul kepadanya apabila dia meninggalkan masjid  selepas upacara pernikahannya dengan Zaliya langsung tidak menggetarkan hatinya.
Pergi mamposlah, aku dah nikah dengan anak kau dah cukup baik! Pttttuihh! Ucapnya seraya membuang ludah.
Reza mula merengus. Suasana yang semakin berbahang membuatkan hatinya yang sememangnya panas bertambah menggelegak. Pernikahannya dengan Zaliya langsung tidak menggembirakan hatinya. Fikirannya menjadi kacau. Peluh mula membasahi badan terutama di bahagian belakang tubuhnya. Baju melayu yang dipakainya mula melekap dibadan menampakkan bentuk tubuh badannya yang sasa.
Mana si Nazim ni? Detiknya perlahan sambil matanya tidak lepas memandang kereta yang lalu lalang dihadapan. Dia terbatuk-batuk kecil sebelum membuang dan  melenyek-lenyekkan puntung rokok itu menggunakan kaki. Dia berkalih duduk diatas divider jalan yang agak terlindung sikit dari pancaran matahari. Matanya balik-balik memandang jam tangan di pergelangan tangan.
Tiba-tiba telefon bimbit di poket seluarnya bergetar. Pantas dia mencapai gajet itu sebelum menjawab panggilan.
“Hah, kau kat mana? Kat dalam? Laaa..aku dah duduk kat luar ni kau tak nampak ke? Iye, aku kat luar ni. Dah.” Dia mematikan panggilan dan terus bangun dan memandang ke dalam perkarangan masjid itu.
Kelihatan sebuah kereta Innova berwarna kelabu perlahan-lahan menjalar keluar dari perkarangan masjid dan betul-betul berhenti dihadapannya. Reza menjenguk-jenguk memandang ke dalam. Apabila cermin tingkap diturunkan, Reza terpaku. Arina memandang wajahnya dengan linangan air mata!
***
“Sial!” Zaliya berteriak sekuat hati. Terhenjut-henjut bahunya menahan nafas kasar yang berasak-asak keluar melalui rongga hidung.  Habis barang-barang di dalam bilik itu dicampaknya.
“Bodoh!” Jeritnya lagi sekuat hati.
“Betina bodoh!” Zaliya seperti wanita gila yang hilang kawalan. Habis barang-barang hantaran daripada Reza dicampakkan ke merata-rata tempat. Zaliya menggigit ibu jari sekuat hatinya sehingga dia terjerit sendiri.
“Sakitnya hati aku!” Jeritnya lagi sambil mencampakkan set alat solek mary kay yang terletak diatas meja. Berderai peralatan solek itu apabila terhempas ke dinding.
Dia terduduk sambil mengitarkan pandangan melihat sekeliling. Kedua-dua tangannya dibentuk seperti penumbuk. Badannya menggigil menahan rasa sakit hati yang menekan. Serasa mahu pecah dadanya menahan amukan itu seorang diri. Dirinya hanya berseorangn di apartment itu apabila Faizul terus bergegas balik ke Kuala Lumpur selepas majlis pernikahannya tadi.
Selajur adengan yang dilihatnya di masjid tadi bermain di ruang mata. Selepas Reza meninggalkannya, dia perasan seorang lelaki sedang mencari-cari sesuatu di dalam masjid. Mula-mula dia tidak kisah dengan lelaki itu. Namun apabila dia terdengar lelaki itu menyebut nama Reza, dia segera mendekati. Lelaki itu pula kelam kabut keluar dari masjid apabila perasan kehadirannya. Zaliya mengejar namun lelaki itu  terus masuk kedalam kereta. Zaliya tidak pasti siapa dua orang wanita bersama-sama lelaki itu.
Dia terus memerhati dan dia ternampak kereta itu perlahan-lahan keluar dari perkarangan masjid dan berhenti di luar pagar. Senyap-senyap dia keluar dan mengekori kereta itu. Hatinya tiba-tiba membara apabila dengan jelas dia ternampak Arina dan lelaki yang masuk ke masjid tadi keluar mendapatkan Reza. Hatinya bertambah sakit apabila wanita yang melempang wajahnya itu turut ada bersama. Dihadapan matanya, dia melihat Arina mencium tangan Reza sambil menangis.
Dia melaung memanggil nama Reza. Namun apabila ternampak akan dirinya, kelam kabut  mereka semua menaiki kereta dan meninggalkan dia dengan baju pernikahan seorang diri. Seolah-olah dirinya  dilihat seperti jelmaan hantu yang menakutkan semua orang.
“Sialllll!!!!!!!”. Jerit Zaliya lagi sekuat hati.
***
Reza menjerit nyaring apabila Ustaz Hanafi memulakan bacaan rukyah. Terketar-ketar kedua-dua tangannya memegang kedua-dua belah telinga. Urat-urat berwarna hijau kelihatan timbul di sekitar dahinya. Nazim memegang kedua-dua bahu Reza yang sedang duduk berlunjur sementara Ustaz Hanafi duduk meninggung dihadapan lelaki itu.
“Ya Allah sakitnya, erghhhh”. Jerit Reza sambil cuba meronta-ronta apabila Ustaz Hanafi terus menekan kedua-dua ibu jarinya. Menggeletar tubuhnya apabila Ustaz itu terus-terusan mengalunkan bacaan rukyah.
 Arina menangis semahunya. Berkali-kali dia mengesat air mata. Dia merasa betul-betul berdosa meninggalkan suaminya dalam kesusahan seperti itu. Nazirah memeluk bahu Arina. Dia juga berasa hiba melihat Reza. Mujur Nazim sanggup membantu. Kalau tidak mereka berdua tidak tahu bagaimana untuk memulihkan Reza.
Cadangan bertemu ustaz Hanafi ini adalah usul daripada Ustaz Harun. Ustaz Hanafi adalah adik kepada Ustaz Harun yang telah bermastautin di Malaysia dan telah berkahwin dengan seorang wanita Melayu. Ustaz Harun tidak dapat mengikut mereka balik ke Malaysia atas tuntutan masyarakat Muslim disana yang menginginkan dia terus berada disana buat masa ini. Sebuah pembinaan masjid di Kampung Cham memerlukan perhatian yang khusus daripada Ustaz Harun yang bertindak sebagai sukarelawan di kampung itu. Walaubagaimanapun, Arina sempat diubati oleh Ustaz Harun dan dia bersyukur kerana dirinya telah sembuh dan bebas dari sihir buatan orang.
“Keluar aku kata!” Suara Ustaz Hanafi tiba-tiba melengking memenuhi ruangan itu. Arina dan Nazirah tersentak. Terkumat kamit mulut Arina beristighfar. Dia pasti, Ustaz Hanafi bukan menengking Reza tetapi makhluk lain yang menumpang dalam tubuh suaminya itu.
“Keluar aku kata!” Arah Ustaz Hanafi sambil terus menekan ibu jari Reza.
“Adoi, sakitlah. Jangan tekan lagi lah, bodoh!” Jerit makhluk yang menumpang didalam tubuh Reza.
“Tau kau sakit. Kau akan bertambah sakit kalau kau terus duduk dalam tubuh ini. Aku bakar kau dengan ayat-ayat Al-quran, kau nak macam tu?” Ugut Ustaz Hanafi lagi sambil terus memicit ibu jari Reza. Dia tidak berkompromi lagi dengan makhluk laknatullah itu.
“Adoi, Aku tak nak keluarlah!”
“Kenapa kau tak nak keluar?” Soal Ustaz Hanafi sambil merenung tajam ke mata Reza. Arina memandang Reza. Suaminya itu menyeringgai.
“Kenapa kau tak nak keluar?” Ulang Ustaz Hanafi lagi. Reza menjerit apabila Ustaz Hanafi mencapai kayu nona disisi dan memukul lututnya dengan kayu itu. Berkerut-kerut wajah Reza apabila Ustaz Hanafi terus-terusan memukul kakinya. Sebenarnya Ustaz Hanafi hanya memukul perlahan, tetapi dirasakan seperti bara api yang hinggap dikaki.
“Adoi, sakitlah! Tuan aku suruh aku duduk dalam tubuh ni.” Ujar makhluk itu membentak. Akhirnya dia membuat pengakuan kerana tidak tahan menahan kesakitan.
“Siapa nama tuan kau?” Soal Ustaz Hanafi lagi.
Diam.
“Aku tanya siapa? Kau nak aku bakar kau?”
Reza menjerit nyaring apabila ibu jarinya ditekan lagi. Badannya menggigil hebat. Menggelutuk giginya seolah-olah menahan kesejukan.
“Tttttaaabittttt…” Ujar makhluk itu tergagap-gagap. Dia berusaha kekal didalam tubuh Reza walaupun semakin lemah. Berhadapan dengan manusia yang kuat agama seperti Ustaz Hanafi membuatkan dia benar-benar berasa gentar.
Arina tersentak. Dia cukup mengenali bomoh tua  yang tinggal di hujung kampung.
“Siapa Tabit?” Soal Ustaz Hanafi lagi.
Diam.
“Cepat cakap!”
Badan Reza terus menggeletar apabila Ustaz Harun terus kejap menekan ibu jarinya.
“Bomoh tua yang tinggal dekat hujung kampung tu lah, bodoh!” Makhluk itu menjelaskan separuh memekik. “Sakitlah!” Bentaknya lagi. Namun Ustaz Hanafi tidak menghiraukan jerit pekik dan sumpah seranah makhluk itu.
“Sampai bila dia suruh kau duduk dalam tubuh cucu Adam ini?”
Reza menggelinjang. Nafasnya kedengaran kasar terhembus. Matanya sekejap celik sekejap pejam.
“Sampai lelaki ni mampos!”
Semua yang ada disitu beristighfar. Ustaz Hanafi menggeleng-gelengkan kepala.
“Apa kaitan bomoh itu dengan anak muda ni? Apa dosa dia sampai kamu diarahkan duduk mengganggu jasad ini? Tahukah kamu perbuatan kamu itu adalah dilaknat Allah.” Tegas kedengaran suara Ustaz Hanafi.
Reza menyeringgai lagi. Dia cuba melawan kesakitan yang dialaminya dan langsung tidak mahu mengalah. Sifat azali iblis yang bongkak benar-benar diwarisi oleh makhluk yang menumpang dalam ditubuhnya.
“Aku diarahkan supaya menghuru-harakan rumahtangga lelaki ini. Sehingga dia bercerai-berai dengan isterinya.” Ujar Reza penuh bangga dan terus ketawa. Suaranya sekejap kedengaran seperti suara Reza, sekejap lagi kedengaran seperti suara lelaki tua.
“Isteri kedua lelaki ini yang meminta bantuan Pak Tabit. Si Zaliya.” Ujar makhluk itu tanpa dipinta. Suaranya kedengaran semakin serak.
Arina memegang dadanya kerana terlalu terperanjat. Terasa sesak dadanya apabila mendengar nama wanita itu.
“Rosmah dan Zuraini pun terlibat sama.” Lanjut makhluk itu lagi sambil terkekeh ketawa.
Nazirah kelihatan mengetap bibir. Nazim menoleh memandang mereka berdua. Sementara Arina semakin terkelu apabila mendengar nama kedua-dua beranak itu. Dia merasa geram dan berjanji akan bersemuka dengan Mak Su dan Zuraini nanti.
Ya Allah, kesiannya suami ku. Aku meninggalkan dia saat dia perlukan aku. Ampunkan aku Ya Allah. Doanya penuh hiba dalam hati. Wajah suaminya dibasahi keringat itu ditatap penuh sayu.
“Dan kau…” Ujar Reza tiba-tiba sambil menuding jari kearah Ustaz Hanafi.
“Kau takkan sekali-kali dapat kalahkan aku.” Ujar Reza  sambil mengepal penumbuk dan meletakkan di dadanya berkali-kali. Dia ketawa lagi dan cuba menerkam ustaz itu namun dirinya seakan terkunci. Makhluk itu kedengaran merengus kerana malu.
Ustaz Hanafi tersenyum sinis.
“Engkau bukan siapa-siapa jika dibandingkan dengan Allah. Apabila aku melaungkan azan, keluar kau dari tubuh ini. Muntahkan segala kesakitan yang telah engkau lakukan keatas tubuh ini.” Ujar Ustaz Hanafi seraya melaungkan azan.
Reza melolong bagaikan serigala apabila mendengar seruan azan itu. Tubuhnya menggelinjang umpama udang yang dibakar. Nazim terus memegang bahunya yang semakin kuat meronta. Tiba-tiba Reza mengeluarkan semua yang ada dalam perutnya sebelum terkulai pengsan.
***




















Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen