Online Diary Aku dan Dia..: April 2015

Sunday, April 19, 2015

Yes, Isteriku Pregnant- Bab 19


“Saya rasa Encik Faizul tu syok kat awak lah Amira.”
Amira terbatuk-batuk. Matanya yang berair segera dikesat menggunakan tisu. Gelas berisi jus oren itu segera ditolak ke tepi.
“Awak jangan mengarut lah Nancy. Encik Faizul tu kan bos kita.” Ujar Amira sedikit marah dengan kata-kata Nancy.
“Laa..bukan saya je yang cakap. Kawan-kawan lain pun sama.” Nancy tetap dengan pendiriannya. Amira cuma menggeleng, malas mahu melayan kata-kata Nancy. Tangannya pantas mencapai gelas yang berisi air suam dihadapannya. Memang sudah menjadi tabiatnya akan minum air suam selepas minum benda-benda yang manis.
“Hei, awak dengar ke ni?”
“Ye, saya dengar.”
So?”
So, what?” Soal Amira kembali.
Nancy berpura-pura memicit dahinya. “Susahlah cakap dengan awak ni.”
“Apa yang susah? Awak tu yang suka sangat bergosip.”
“Awak betul-betul tak tahu lah ni?”
“Tahu apa? Cakap terus terang boleh tak?”
Nancy menarik nafas sebelum menghembusnya perlahan.
“Encik Faizul dah naikkan jawatan awak sebagai Penolong Pengurus jualan.”
“Hahaha..jangan nak mengarut. Habis tu Encik Razak tu nak campak kat mana?” Soal Amira sebelum menyuahkan gelas berisi air suam itu ke mulut.
“Encik Razak tu Penolong Pengurus Jualan kat sini. Awak tu…” Nancy memandang Amira. “Bakal Pengurus jualan kat JB!”
Sekali lagi minuman itu hampir tersembur keluar dari mulut. Mujur sempat dikawalnya. Dia berasa betul-betul terperanjat mendengar kata-kata Nancy.
Biar betik minah ni?
“Dan satu lagi..”
Amira kelihatan tidak sabar menunggu kata-kata seterusnya dari gadis Tionghua itu. Namun dia cuba berlagak selamba.
“Ramai kakitangan tak puas hati tau.” Beritahu Nancy melirik ke wajah Amira. Dia menanti reaksi wanita itu. Namun wajah Amira tetap kelihatan tenang.
 “Ye lah, diorang kata awak baru masuk kerja tiga bulan tapi dah dinaikkan pangkat. Yang diorang dah bertahun-tahun kerja tak dapat apa-apa.”
Amira tersenyum sinis. “Termasuk awak juga?”
“Eh, saya kan kawan awak. Takkan saya nak cakap macam tu.” Nancy tersipu-sipu malu.
Amira mengeluh perlahan. Kedua-dua matanya dilirikkan kekanan tanda otak kanannya sedang berfikir sesuatu.
“Tapi background saya kan sebagai PA, macamana Encik Faizul tu boleh lantik saya jadi Penolong Pengurus Jualan pula?” Amira mula keliru dengan berita yang disampaikan oleh Nancy. Sejujurnya, hatinya senang mendapat berita gembira itu. Bukan pangkat yang dipandangnya, namun peluangnya untuk duduk dekat dengan Arina semakin dekat.
Tapi layakkah aku?
 Dan kenapa aku?
Nancy tersenyum.
 “Hah, itulah. Macam saya cakap tadi, Encik Faizul tu syok kat awak. Semua colleague pun cakap benda sama.”
Amira merengus. Dia menjeling Nancy yang semakin melebar senyumannya.
“Lagipun Encik Faizul tu duda tau. Masih segak lagi.”
“Dahlah. Semua tu nonsense!” Amira memarahi Nancy.
“Gurau je pun.” Gadis Tionghua itu terkekeh ketawa. Amira mengetap bibir. Dia memicingkan mata.  Mata Nancy yang kelihatan seperti garisan sahaja apabila tertawa itu ditenung tajam.
“Gurau, gurau juga. Tapi gurauan awak tu melampau. Encik Faizul tu dah pangkat ayah kita, tau!”
“Alaa..main-main je lah.” Nancy tersengih. “Ok, jom ubah topik”. Pujuk gadis itu apabila melihat wajah Amira mula berubah rona. Dia kembali serius. 
“Ok, kalau berita ni betul, saya rasa ini peluang keemasan awak. Maybe, itu rezeki awak duduk dekat dengan Arina.” Nancy cuba menyuntik kata-kata positif. Dia menggenggam tangan Amira sambil menganggukkan kepala. Amira pernah bercerita dengannya tentang keinginan wanita itu untuk duduk dekat dengan adik kandungnya.
Amira mengeluh perlahan. “Berita tak sahih lagi Nancy. Lagipun saya memang tak layak. Saya mana tahu apa-apa pasal jualan.”
Nancy menepuk-nepuk tangan Amira. “Takpe, saya faham. Kita tunggu je nanti. Kalau betul berita ni, baguslah. Saya tumpang gembira.” Ujar Nancy tersenyum manis.
Amira cuma mampu menjongketkan kedua-dua bahu apabila mendengar kata-kata Nancy itu.
“Tapi..”
Wajah Nancy tiba-tiba berubah menjadi keruh.
“Kalau betul, mesti saya sedih tau.” Gadis Tionghua itu terus membuat mimik muka sedih.
 “Sedih? Sedih kenapa pula?” Soal Amira sedikit hairan.
 “Dah takde kawan nak keluar lunch.” 
“Hai…kan boleh makan dengan Kak Tipah?” Usik Amira tersenyum nakal. Dia tahu, Nancy tak begitu berkenan dengan sikap Kak Tipah yang terkenal dengan gelaran ‘mulut murai’ di pejabat.
Nancy menggeleng beberapa kali. “Uuughh..tak mau lah aku makan ngan perempuan tu. Mulut macam murai, tak padan dengan tua!”
Mereka berdua terkekeh ketawa. Di pejabat itu, hanya dia dan Nancy sahaja kakitangan perempuan yang masih belum berkahwin dan masih berusia awal dua puluhan. Kakitangan lain semuanya sudah veteran, rata-ratanya berumur 40 tahun keatas!
Menurut cerita orang lama disitu, dahulu ramai juga pekerja wanita muda seperti mereka yang bekerja di syarikat Encik Faizul. Namun kesemua mereka dipecat oleh Zaliya. Ketika itu Zaliya baru berusia 18 tahun, dan baru menghabiskan peperiksaan SPM. Namun Encik Faizul sudah memberi tanggungjawab menjaga syarikat besar itu kepada anak tunggal kesayangannya.
“Ye lah, takkan nak bagi Kak Tipah jaga pula.” Seloroh Nancy lagi. Amira ketawa lagi.
Mesti nak selitkan nama Kak Tipah!
“Awak nak tahu kenapa Zaliya tu suka pecat pekerja wanita muda macam kita ni?”Soal Nancy kembali serius. Nadanya kedengaran  sinis.
Amira menggeleng laju. Walaupun sudah tiga bulan dia bekerja di syarikat itu, dia kurang mengambil tahu hal-hal yang tidak berkaitan dengan kerja.
“Anak kesayangan’ bos kita tu, tak mahu salah seorang dari mereka dapat memikat papa dia. Pendek kata, dia tidak mahu Encik Faizul beristeri lagi.” Ujar Nancy dengan sengaja menekan perkataan ‘anak kesayangan’ itu.
“Oughh…” Hanya itu yang terluah dari mulut Amira. Dia tersenyum kerana berasa gelihati melihat keletah Nancy bergosip dengan mimik muka sekali.
“Masa tu, semua staf tertekan tau. Tak silap aku, Encik Faizul kat Jerman tiga bulan. Urus apa entah. Balik Malaysia je, tinggal berapa kerat je pekerja dia. Terkejut beruk orang tua tu. Tapi takde pula dia nak marah si Zaliya.”
Sekali lgi Amira menjongketkan bahu. “Ye lah, anak dia.” Sahut Amira perlahan. Namun akalnya mula ligat berfikir.
Teruk juga perangai anak perempuan bos aku ni! Tapi, macam…
“Tapi kan, kalau betul berita ni..” Ujar Nancy tiba-tiba. Dia sengaja melambat-lambatkan kata. Bibirnya tersenyum nakal memandang Amira.
Amira mencebik. Dia faham sangat dengan perangai Nancy yang suka menukar topik cerita secara tiba-tiba.
“Selamat berkerja dengan Puan Zaliya Faizul kat JB nanti.” Kata-kata akhir Nancy itu sedikit menyentak hati Amira.
Zaliya Faizul? Macam pernah dengar je nama tu? My God!
***
Air matanya menitis perlahan. Cerita Rosmah itu benar-benar  menyesakkan dada.
Sampai hati Zaliya memfitnah Reza! Raungnya dalam hati.
Dia memandang wajah Rosmah. Ibu saudaranya itu dan Zuraini turut terlibat sama. Walaupun perkara itu telah diketahuinya, namun apabila ia terluah dari mulut Rosmah sakitnya seperti tak tertanggung oleh jiwa. Arina mengeluh perlahan. Matanya dipejamkan. Air jernih mengalir lagi apabila mata itu dikatupkan.  Kala itu, fikirannya cuba membayangkan satu persatu imbasan cerita menyakitkan itu.
Zaliya dan Reza ditangkap khalwat ketika suaminya itu langsung tidak sedar apa-apa. Wanita itu telah memasukkan ubat guna-guna ke dalam minuman Reza sehingga suaminya itu pengsan. Kalau terjaga sekalipun, Reza langsung tidak akan dapat mengingati apa yang berlaku.
            Ketika Reza tak sedarkan diri, Zaliya segera menghubungi Rosmah dan Zuraini. Mereka bertiga merancang strategi seterusnya pada malam itu juga. Akhirnya, Zaliya mengarahkan Rosmah dan Zuraini menghubungi Pejabat Agama apabila hari telah siang. Keesokan paginya, Reza dan Zaliya ditangkap berkhalwat. Namun rancangan Zaliya lebih berjaya lagi. Arina dan Nazirah terlebih dahulu dapat melihat keadaan mereka berdua tanpa seurat benang pun di atas ranjang. Perfect!
            Arina memegang dada. Matanya dicelikkan semula. Apabila peristiwa itu seperti layar skrin bermain di ruang mata, hatinya seperti dihiris pisau. Pedihnya hanya tuhan yang tahu.
            Hati wanita mana tidak terluka jika terlihat suami sendiri tanpa seurat benang di katil dengan wanita lain!
            “Maafkan Mak Su, nak. Mak Su betul-betul menyesal menganiaya hidup kamu.” Pinta Rosmah lagi dengan rasa bersalah. Sayu hatinya apabila melihat wajah Arina yang kelihatan mendung itu.
“Perempuan tu dah mengandung masa tu. Pasal tu dia desak Mak Su ikut semua arahan dia. Dia nak cepat-cepat ikat suami kamu tu.” Terang Rosmah lagi bersungguh-sungguh.
            Arina mengesat air mata. Dia mengerling Rosmah yang duduk disebelahnya.
 “Sebenarnya saya dah tau yang Zaliya, Mak Su dan arwah Zuraini berpakat bomohkan Reza sebelum ni.”
            Rosmah tersentak. “Koci” yang duduk disebelah Rosmah segera bangun dan menggeliat sebelum melompat turun dari pangkin itu.
            “Saya dapat tahu pun selepas berjumpa dengan Ustaz pengamal perubatan Islam. Cuma yang saya tak tahu, Zaliya  mengandung anak orang lain masa tu.”
Sekali lagi Rosmah tersentak. Perlahan-lahan dia menunduk. Rasa bersalah betul-betul mencengkam jiwanya kala ini.
“Kenapa Mak Su takut sangat dengan Zaliya tu?” Arina memusingkan kepala memandang Rosmah. Perlahan-lahan ibu saudaranya itu mengangkat kepala. Bibirnya kelihatan bergerak-gerak seperti cuba menyatakan sesuatu, namun langsung tak terluah.
“Mak Su?”
“Perempuan tu ugut Mak Su. Dia cakap nak cederakan Mak Su dan Zuraini kalau tak iut arahan dia. Sebab…”
Arina masih setia menunggu kata-kata Rosmah.
“Dia dah bayar separuh daripada harga yang dijanjikan.”
Arina menggeleng-gelengkan kepala. Kerana duit, mata ibu saudara dan sepupunya  itu menjadi gelap dan tak kenal saudara!
“Berapa Zaliya bayar untuk buat semua kerja ni.”
“Lima..lima puluh ribu.” Beritahu Rosmah sedikit gagap. Amira mengeluh perlahan. Dia beristighfar. Berkali-kali zikir itu diulangnya. Akhirnya jiwanya kembali tenang.
“Dahlah Mak Su. Benda dah nak jadi. Apa yang penting sekarang, kita kena bagitahu Reza hal yang sebenarnya.” Putus Arina akhirnya. Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyum semula. Dia tahu, waktu ini adalah tidak sesuai membicarakan perkara itu. Ibu saudaranya itu masih bersedih kerana kehilangan anak dan suami.
“Mak Su makan dulu tau?”
Rosmah sudah tidak tahan menanggung rasa bersalah. Dia terus memeluk erat tubuh anak saudaranya itu.
“Maafkan Mak Su, Arina. Maafkan Mak Su!” Ungkapan itu entah berapa kali terkeluar dari mulutnya.
***
            “Cun sangat ke Arina awak tu?”
            Airil menjongketkan bahu.
“Cun sangat.”
            “Wow! ini yang buat aku tak sabar jumpa ‘gadis idaman’kau ni.”
            “Wajah dia iras satu pelakon ni tau. Tapi aku tak ingat lah. Pelakon Korea ke, Filipina. Cuma Arina ni, versi bertudung.”
            “Wow! Hebat tu!”
            Airil ketawa. “Tapi aku bukan tertarik dengan wajah cantik dia.”
            Pulak! Razif mencebik memandang Airil yang sedang menggodak minuman dihadapannya.
“Habis kau tertarik dengan dia pasal apa?”
            Airil menjongketkan kedua-dua bahunya.
“Entahlah Razif. Mula-mula aku nampak dia, dia membelakang aku tau. Tak nampak pun muka dia. Tapi hati aku ni, dah bergetar tau.” Ujar Airil sambil tapak tangannya diletakkan di dada.
            “Wow! Hebat betul penangan Arina tu pada kau ye.”
            “Memang.” Airil tersenyum mengiyakan kata-kata Razif itu. Entah kenapa hatinya terasa bahagia apabila mendengar nama itu.
            “Hai..Aku rasalah kan, dia memang dah ditakdirkan untuk aku lah.” Sambung Airil lagi.
            “Wow! Ini sudah bagus, Doktor Zahiril Nizam nak naik pelamin, wow!” Suara Razif tiba-tiba meledak kuat sehingga beberapa orang di restoran itu menoleh memandang mereka berdua.
            Kini giliran Airil pula mencebik.
            Tak habis-habis dengan wow wow dia, aku hempuk baru tahu!
            “Kau cakap slow sikit boleh tak?”
            “Opss..sorry.” Razif berpura-pura menutup mulut dengan lagak lelaki lembut.
“Aku teruja sangat dengar cerita pasal perempuan yang buatkan kau angau ni. Mesti dia hebat kan.” Sambungnya dengan suara seakan berbisik. “Sambunglah lagi!”
            Airil menggeleng melihat tingkah Razif yang tak tahu bersabar itu.
“Setakat tu je lah cerita aku. The end.”
            “Laa..cerita cepat.” Razif terus mendesak.
            “Cerita apa?”
            “Pasal Arina lah.”
            “Dah takde, setakat tu je lah.”
            “Kau jangan nak berdalih.”
            “Ya Rabbi..ye lah. Cerita dah habis, finish.”
            “Kau jangan cakap hari kepala kau benjol tu, kau tak jumpa dia lagi?”
            Airil mengeluh. Lambat-lambat dia mengangguk mengiayakan pertanyaan Razif.
            “What?”
            “Ye, tu hari terakhir aku jumpa dia. Aku ada bagi dia business card aku, tapi dia takde call aku pun.” Ujarnya sedikit kecewa. Sudah tiga bulan kejadian ‘kepala benjol’ itu berlaku, namun sekali pun Arina tidak pernah menghubunginya.
            Dia tak sudi berkawan dengan aku agaknya. Keluh Airil dalam hati. Senyuman Arina tiba-tiba bermain di ruang mata. Dia pantas menggeleng kepala bagi menghalau kilasan wajah yang amat dirinduinya itu.
            “Laa..habis tu selama ni kau angau sorang-sorang je lah?” Suara Razif kembali menampar cuping telinganya.
            “Ye la kut.” Airil menjawab selamba.
            “Kau tak pernah tahu pun siapa dia, bujang ke, isteri orang ke?”
            Airil sedikit tersentak. Pertanyaan Razif itu sedikit sebanyak mengundang debar di dadanya.
            “Err..aku rasa dia anak dara lagi.”
            “Rasa? Kalau dia isteri orang ke, tunang orang ke, macamana? Takkan orang jelita macam tu tak berpunya lagi? Kau jangan buat hal Airil, hah...”
            Airil terdiam. Akalnya ligat memikirkan sesuatu.
            Ahh..wajah Arina nampk muda belia lagi. Masakan dah berstatus isteri orang! Airil cuba menyedapkan hati sendiri. Ye lah, kalau isteri orang takkan duduk sorang-sorang kat hotel malam tu. Tapi, tak mustahil jugak!
“Nantilah aku siasat.” Sahut Airil akhirnya. Dia cuba menutup cerita mengenai Arina. Razif pula terkebil-kebil memandang wajah Airil yang berlagak selamba itu. Riak wajahnya masih kelihatan tidak berpuashati dengan cerita Airil. Namun bagi Airil, kata-kata Razif sebentar tadi cukup membuatkan dadanya  berdetak hebat.
Mudah-mudahan Arina belum jadi milik siapa-siapa lagi! Doanya tidak putus-putus dalam hati. Entah kenapa dengan tiba-tiba seluruh sendinya berasa lemah.
***
You Hardy Reza?”
Reza yang sedang membetulkan enjin sebuahkereta pantas berpaling kearah suara itu. Dihadapannya, berdiri seorang lelaki berkaca mata hitam sedang tersenyum sinis. Nada suaranya kedengaran sedikit angkuh, namun Reza tetap tersenyum.
“Ye saya Reza. Encik ni siapa? Kereta rosak ke?”
Namun lelaki dihadapanya itu terus tersenyum. Dia menanggalkan kaca matanya dan memerhati Reza dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Muka Reza yang ada calitan minyak itu mengundang tawanya. Reza mula tidak senang dengan gelagat lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu. Hatinya tiba-tiba mendidih namun dia cuba mengawalnya.
Kurang ajar betul!
“Kalau takde apa-apa saya nak buat kerja dulu.” Reza ingin terus berlalu. Terasa malas mahu melayan lagak lelaki angkuh itu.
“Tunggu!”
            Langkah Reza terhenti. Dia merengus sebelum memusing badan menghadap lelaki itu semula.
            Perlahan-lahan lelaki itu menapak mendekati Reza. “You suami Zaliya kan?”
            Reza menyilangkan kedua-dua tangannya didada. Keningnya berkerut memandang lelaki yang tidak dikenali itu.
            “Kau ni sape sebenarnya?”
***
            Jam di dinding sudah menginjak ke angka dua belas malam. Airil resah sendiri. Sejak meletakkan kepala ke atas bantal pukul sepuluh tadi, matanya seperti tidak ada tanda-tanda mahu lelap.
            Masak kalau bangun lewat lagi! Rungutnya dalam hati.
Penyaman udara sudah berada pada tahap maksimum waktu itu, namun tubuhnya tetap berpeluh. Dia segera bangun dari katil dan memulas tombol pintu sebelum mengatur langkah turun ke ruang tamu.
            Suasana gelap di ruang itu membuatkan Airil meraba-raba mencari suis. Apabila api dihidupkan, ruang tamu itu menjdi terang benderang. Airil segera menapak ke sofa sebelum mencapai remote televisyen. Tangannya laju sahaja menekan-nekan mencari siaran.  Namun, tidak ada satu siaran pun menarik perhatiannya.
            “Anak dara kepala hangguk engkau. Kau memang cari nahas lah aku rasa.”
            Kata-kata Razif tengahari tadi kembali terngiang-ngiang ditelinganya.
            “Aku bukan apa Airil, aku tak nak kau kecewa lagi.” Sambung lelaki itu lagi.
            Airil menelan air liur sendiri. Dadanya tiba-tiba seperti mahu pecah. Hakikatnya sekarang ini, dia betul-betul telah jatuh cinta dengan Arina!
            Namun mungkin ada benar juga kata-kata Razif. Tak mungkin wanita secantik Arina belum berpunya lagi. 
            Sejurus matanya tertancap kearah potret keluarganya di dinding. Dia tersandar lesu. Hatinya tiba-tiba sebak. Senyuman arwah isterinya, Afraniza dan anak perempuan mereka, Rania cukup membuatkan air jernih mengalir lesu melalui celah matanya.
            Afra..Rania…papa rindu! Laungnya dalam hati. Halkumnya kelihtan bergerak-gerak menahan sebak.
            Kemalangan yang meragut nyawa insan-insan kesayangannya tiga tahun lepas membuatkan separuh daripada jiwanya turut dibawa pergi. Selama tiga tahun itulah hidupnya terasa kosong. Hari-harinya hanyalah untuk ibunya, dan kerja. Kalaupun ada masa terluang, dia hanya keluar bermain futsal bersama Razif. Kadang-kadang, dia hanya menghabiskan masanya dengan minum di restoran atau coffe house bersama lelaki itu. Cuma pada malam dirinya bertemu dengan Arina, Razif tidak turut serta. Mengingatkan Arina, hatinya kembali diasak rasa debar.
            Sudah berpunya kah dia? Soalnya entah yang keberapa kali dalam hati.
Airil menarik nafas panjang. Apa yang membuatkan hatinya menjadi nanar ketika ini, gerak geri arwah isterinya dan Arina hampir sama. Sangat mirip walaupun wajah tak serupa. Oleh kerana itulah pada malam dia bertemu dengan wanita itu hatinya terus berdetak. Walaupun hanya memandang Arina dari belakang ketika itu!
            Orang lain takkan faham…Detiknya perlahan. Dia menelan air liur lagi. Dalam melayan perasaan, akhirnya Airil terlelap diatas sofa. Terlelap bersama harapan yang belum tentu dapat digapainya. Dan masih bersimpang siur pengakhirannya.
***



Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Friday, April 3, 2015

Yes, Isteriku Pregnant! -Bab 18-


Terkocoh-kocoh Airil turun dari biliknya. Rambutnya kelihatan kering dan berserabut, tidak kemas seperti selalu. Sambil menapak menuju ke rak kasut bersebelahan pintu, dia menguap sambil menutup mulut. Matanya terasa masih berat namun oleh kerana tuntutan tugas, dia menggagahkan diri untuk bangun pagi tadi. Solat subuh juga dia terlepas hari ini!
Sebaik sahaja membuka pintu rak kasut, bau harum ‘ambi pur’ segera menerpa hidungnya. Ahhh..segar…
Pewangi berbentuk gel berwarna ungu itu sengaja diletakkan disitu oleh ibunya bagi menghilangkan bau kepam.
“Airil tak sarapan dulu?” Suara Hajah Noraida tiba-tiba memecah sepi pagi itu. Matanya ralit memerhatikan kelakuan anak lelakinya yang kelihatan tergopah-gapah dan tertunduk-tunduk mencari kasut.
Kenapa pula budak ni bangun lambat!
Hajah Noraida hanya menggeleng-gelengkan kepala. Beg sandang yang sengaja disilangkan ke belakang oleh Airil dipandang lucu olehnya.
Biasanya doktor pergi klinik bawa briefcase, anak aku ni macam nak gi jalan-jalan pulak!
Gerak geri Airil terhenti apabila mendengar sapaan itu. Wajahnya yang terhalang oleh penutup rak itu dinaikkan sedikit bagi melihat wajah ibunya. Sejurus wajah lembut Hajah Noraida tertancap di mata. Kemudian pandangannya dihalakan ke atas meja makan. Sarapan telah tersedia disitu. Tiba-tiba dia berasa serba salah. Akhirnya dia bangun dari mencangkung. Langkahnya diatur perlahan menuju ke meja makan. Hajah Noraida tersenyum memandangnya sambil menarik kerusi untuk anaknya itu.
“Ermmm…nasi lemak! Mesti sedap ni.” Puji Airil sebaik sahaja melabuhkan punggungnya disitu. Hajah Noraida membubuh ikan bilis, kacang, timun, telur dan sambal ke atas nasi sebelum menghulurkannya kepada Airil. Dia kemudian duduk berhadapan anak lelakinya itu.
“Aik, belum makan dah cakap sedap.” Ujar Hajah Noraida menjeling sekilas. “Kenapa Airil bangun lambat ni? Tak pernah-pernah buat perangai macam ni? ”
Airil cuma tersengih. Sebenarnya dia cuba mengelak dari soalan itu, namun Hajah Noraida lebih cekap membaca segala tindak tanduknya.
“Subuh tadi ibu dah kejut kan? Airil dah duduk pun masa tu? Ni mesti dah tinggal sembahyang subuh, kan?” Soal Hajah Noraida lagi.
“Orang tertidurlah bu. Tak sengaja.” Jawab Airil tersengih. Hajah Noraida hanya menggeleng mendengar jawapan ‘selamba badak’ anaknya itu.
Bertuah punya budak, boleh dia tidur balik lepas dah kejut tadi!
“Banyak nyamuklah semalam bu. Orang tak boleh nak tidur. Balik-balik terjaga.” Sambung Airil lagi sambil terus menyuap nasi lemak ke mulutnya. Rasa pedas dan sedikit manis sambal Hajah Noraida betul-betul merangsang deria rasa. Memang tidak dinafikan, ibu kesayangannya itu memang juara dalam bidang memasak-masak. Apa saja yang dimasak oleh Hajah Noraida benar-benar memenuhi seleranya.
Airil tersenyum senang. Dia berasa bersyukur mempunyai seorang ibu seperti Hajah Noraida.  Bertuah sungguh rasanya apabila ditatang bagai minyak yang penuh walaupun dirinya bukan muda lagi!
Airil mencuri-curi memandang ibunya apabila terasa dirinya sedang diperhatikan.
Mak oi!
Hampir tertanggal jantungnya apabila Hajah Noraida masih merenung dirinya yang sedang enak melantak nasi lemak itu. Dia segera memperlahankan kunyahan. Wajah berkerut ibunya ditatap resah. Perlahan-lahan bibir tua itu mengukir senyum.
“Kenapa ibu senyum?” Soal Airil yang mula tidak senang.
“Senyum pun salah?” Soal Hajah Noraida selamba sambil mencapai teko dan menuangkan kopi ke dalam cawan.
“Betul lah bu. Banyak nyamuk semalam. Orang tak boleh tido.”
“Ye tau. Kenapa kalut sangat ni?”
“Ibu tu mesti fikir bukan-bukan.”
Hajah Noraida ketawa kecil. Nyamuk gigitlah sangat!
“Dah, makan cepat. Nanti lambat sampai klinik.”
Airil mengangguk. Usai menghabiskan makanan, dia segera bersalam dengan Hajah Noraida dan mencium kedua-dua pipi ibunya. Hajah Noraida masih tersenyum seperti tadi namun Airil buat-buat tidak faham.
“Airil gerak dulu lah bu.”
“Ye lah, hati-hati bawa kereta tu.” Pesan Hajah Noraida kemudian. Dia menghantar Airil sehingga ke muka pintu. Dia memerhatikan Airil sehingga susuk tubuh anaknya itu hilang dalam porch yang bertutup. Sejurus kereta anaknya itu mundur dan terus meluncur pergi.
Hajah Noraida menggeleng-gelengkan kepala. Ulah anak lelakinya itu saling tak tumpah seperti ketika dia mula-mula jatuh cinta dengan arwah isterinya dulu.
Mudah-mudahan Airil dah bertemu pengganti arwah Afraniza. Doa Hajah Noraida  dalam hati sebelum menapak keluar dan menutup pintu pagar.
***
Rosmah duduk di anak tangga terakhir rumahnya. Dia mengesat air mata yang mengalir di pipi dengan menggunakan selendang yang dipakainya. Hidungnya merah dan matanya bengkak akibat terlalu banyak menangis. Orang kampung yang datang seorang demi seorang telah balik ke rumah masing-masing selesai sahaja majlis pengebumian tengahari tadi.
 Rosmah berasa sunyi. Dunianya terasa kelam. Dia bangun dan memusing memandang kebelakang. Rumah mereka sekeluarga ditatap sayu olehnya. Kemudian dia menapak perlahan kearah pangkin yang terletak dibawah kolong rumah. Matanya segera tertancap kearah motor milik Pak Zali yang telah rosak berdekatan pangkin itu. Hatinya kembali dirundung rasa pilu. Dengan langkah terketar-ketar dia menapak perlahan ke pangkin itu. Sebaik sahaja melabuhkan punggung dia mengusap-usap motosikal milik arwah suaminya seolah-olah dia mengusap wajah Pak Zali.
 Kehilangan suami dan anak sekaligus dirasakan telah meragut separuh daripada nyawa. Arwah Pak Zali dan Zuraini telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya. Kedua-dua mereka meninggal pada hari yang sama semalam. Pak Zali meninggal ketika menungggang motosikal menuju ke surau. Arwah suaminya jatuh dari kenderaan tersebut dan meninggal di tempat kejadian akibat serangan strok dan kecederaan parah di kepala. Sementara Zuraini…
Rosmah terus menangis teresak-esak apabila mengenangkan nasib anak gadisnya itu. Zuraini telah ditemui dalam keadaan hampir bogel didalam semak dan dia disyaki diperkosa sebelum dibunuh.
“Ya Allah anak aku, suami aku…Ya Allah.” Rosmah mengongoi seperti anak kecil. Kucing arwah Zuraini yang sedang tidur diatas pangkin itu terjaga apabila mendengar suara tangisan Rosmah. Dia bangun dan menggeliat sebelum duduk menghadap wajah wanita itu. Rosmah segera membelai tubuh haiwan kesayangan anaknya itu.
“Zu dah takde, Koci.” Adu Rosmah seolah-olah binatang itu memahami kata-katanya. Koci terus mengiau apabila melihat tuannya itu terus-terusan menangis. Dia menggesel-geselkan badannya di peha Rosmah seperti turut sama berduka dengan kejadian itu. Rosmah segera mengangkat tubuh Koci dan meletakkannya diatas riba. Dia tunduk sambil membelai-belai bulu kucing kesayangan arwah Zuraini itu.
“Mungkin ini dosa-dosa aku menganiaya Arina, kan Koci?” Kucing itu terus mengiau sambil menggeliat manja di peha Rosmah. Sesekali dia menatap wajah wanita itu seperti memahami setiap patah yang diucapkan oleh Rosmah.
Rosmah teresak-esak lagi. Perit sungguh rasa dihati apabila ditinggalkan oleh orang-orang yang disayangi. Dia merasakan seperti sebatang kara di dunia ini.
“Hanya kau je yang aku ada sekarang ni, Koci…”
“Mak Su.”
Rosmah tersentak. Suara lembut Arina tiba-tiba menerpa cuping telinga. Dengan muka sembab, dia mengangkat wajah mengikut alunan suara lembut itu.
“Mak Su mari makan.” Pelawa Arina yang sudah pun berdiri dihadapannya. Senyum yang terukir di bibir anak buahnya itu amat memilukan hati.
“Arina…”
“Dari siang tadi Mak Su tak makan. Nanti Mak Su sakit.”
Bibir Rosmah terketar-ketar menahan getar dihati. Dia mengangkat tubuh Koci dan meletakkannya di atas pangkin. Kemudian dia terus bangun dan memeluk Arina.
“Maafkan Mak Su Arina. Maafkan Mak Su. Mak Su menyesal menganiaya hidup kamu dulu. Maafkan Mak Su. Mungkin ini balasan tuhan kepada Mak Su.” Pinta Rosmah berkali-kali.
“Mak Su..” Hanya itu yang terkeluar dari mulut Arina.
“Kerana Mak Su hidup kamu terseksa. Maafkan Mak Su nak. Mak Su menyesal.” Ucap Rosmah meleraikan pelukan sambil mengangguk-anggukan kepala tanda dia bersungguh-sungguh memohon ampun. Suaranya diselangi dengan esakan tangis yang tidak surut-surut dari tadi.
Arina berasa kasihan. Dia sudah tidak mahu memikirkan hal itu. Dia menggenggam kedua-dua tangan Rosmah sebelum mengukir senyum.
“Saya dah lupakan semuanya Mak Su. Mungkin semua ini telah ditakdirkan untuk saya. Saya pasrah.”
Rosmah menggeleng-gelengkan kepala. Bahunya masih terhenjut-henjut menahan esak.
“Dah, dah.Tak mau nangis macam ni. Apa yang penting sekarang Mak Su makan dulu. Saya dah masak nasi, cencaru sumbat sambal terutup dan sup sayur ni. Mesti Mak Su suka.” Ujar Arina tersenyum lagi sambil menunjukkan bekas makanan yang dibawanya. Dia tersengih menunjukkan barisan giginya yang tersusun cantik. Sebenarnya, dia sedaya upaya untuk menggembirakan hati Rosmah. Walaupun wanita itu pernah menyakiti hidupnya namun dia tidak pernah berdendam. Rosmah adik kepada arwah ibunya dan dia amat menyayangi wanita itu.
Keikhlasan yang terpancar pada wajah Arina membuatkan hati Rosmah semakin sayu. Dia tahu, disebalik senyum anak buahnya itu terselit duka yang tak mampu terungkai. Rosmah teresak-esak lagi.
“Laa..kenapa ni Mak Su? Dah jangan menangis macam ni. Saya ada ni. Saya takkan tinggalkan Mak Su.” Pujuk Arina lagi. Dia betul-betul risau apabila melihat keadaan Rosmah yang tidak terurus itu.
“Mak Su betul-betul rasa bersalah dengan kamu nak.” Ujar Rosmah sayu. Dia benar-benar diamuk rasa kesal. Tiba-tiba dia berasa terpanggil untuk menceritakan segala-galanya kepada Arina.
“Mak Su, saya dah lama maafkan Mak Su dan arwah Zuraini. Sedikit pun takde rasa dendam dalam hati saya ni. Saya…”
“Tidak Arina. Mak Su mesti bagitahu kamu satu perkara.” Rosmah terus memintas tanpa sempat Arina menghabiskan kata-kata. Dia memegang kejap bahu Arina sambil anak matanya merenung tepat kedalam anak mata wanita itu.
***
Beberapa bulan sebelum itu…
Hujan lebat yang turun mencurah-curah sejak dari tadi seperti tidak ada tanda-tanda untuk berhenti. Reza mula kelihatan gelisah. Sekejap-sekejap dia memandang ke halaman rumah. Sebenarnya dia bimbang jika ada kereta jiran-jiran yang melintasi halaman itu. Dia mengerling Zaliya yang berpeluk tubuh dihadapannya. Wanita itu memuncungkan mulut. Dia tahu, Zaliya pasti berkecil hati kerana setiap pertanyaan yang diajukan hanya dijawab secara acuh tak acuh olehnya.
Reza mengeluh lagi. Dia benar-benar risau kalau mereka ditangkap berdua-duaan disitu. Sementalahan pula mereka tidak mempunyai sebarang ikatan. Mereka  hanya duduk di beranda tanpa masuk ke dalam. Dia sengaja tidak menjemput Zaliya masuk kerana isterinya tidak berada di rumah. Pertengkaran yang berlaku dengan Arina petang semalam menyebabkan wanita itu meninggalkan dirinya. Hatinya berasa ngilu apabila ditinggalkan, namun dia tak pasti mengapa dia terlalu benci melihat wajah Arina jika wanita itu berada dihadapan mata.
“Sejuknya.” Suara Zaliya tiba-tiba menyelinap lamunan. Wanita itu sengaja menguatkan suaranya yang kedengaran berlawan dengan deru hujan yang turun mencurah-curah bagi menarik perhatian Reza.
“Awak nak minum tak? Boleh saya buatkan kopi.” Reza menyoal.
 “Apa dia?” Soal Zaliya kurang jelas.
“Awak nak kopi tak?” Reza mengulang soalannya.
“Ermm..boleh lah.
Reza mengangguk sebelum tubuhnya hilang di balik pintu. Dalam masa 10 minit dia muncul semula dengan dua  mug di kedua-dua tangannya.
“Nah.” Reza mengunjukkan secawan mug kepada Zaliya.
Thanks.” Zaliya sengaja tersenyum menggoda sambil meliuk lentukkan tubuhnya yang terdedah luas di bahagian dada.
Reza terpempan. Semangatnya sedikit tergugat melihat tubuh itu. Namun dia pantas melarikan anak matanya dan berpura-pura memandang ke halaman rumah. Dia menghirup kopi yang dibancuhnya sendiri sebelum meletakkan cawan itu diatas kerusi.
“Awak duduk sini dulu ye? Saya nak mandi kejap.”
“Errr…”
Reza terus masuk ke dalam tanpa menunggu jawapan dari Zaliya.
Zaliya mencebik. Matanya terhala kearah mug Reza yang masih berisi kopi. Dia tersenyum senget. Tangannya pantas mengeluarkan sesuatu dari beg tangan dan secara perlahan-lahan dia melangkah mendapatkan mug itu…
***
            “Ahhh..sudahlah.”
Wajah masam Razif mengundang senyum Airil. Dia hanya memerhati kelakuan Razif yang berpura-pura menulis sesuatu itu. Dia meninggikan kepalanya, namun apa yang pasti Razif hanya menconteng-conteng kertas tanpa tujuan. Airil tersengih lagi. Apabila rasa diperhatikan, Razif mengangkat muka. Wajah lelaki itu bertambah kelat apabila melihat senyuman Airil.
            “Tak payah buat muka ‘toya’ macam tu lah.” Usik Airil ketawa kecil.
            “Ahhh..malaslah aku nak layan kau.”
            “Heii..” Airil ketawa lagi. “Relax lah bro, jangan marah macam ni.”
            “Banyaklah kau punya relax. Gara-gara kau lambat ramai patient marah aku, tau? Semua aku kena handle sorang-sorang!” Razif terus-terusan merungut. Berkali-kali dia mengatakan benda yang sama sehingga naik muak Airil mendengar.
            “Dah lah Izati pun cuti seminggu. Kau pula datang lambat. Nak patah lutut aku ke hulu ke hilir pagi tadi.” Rungut Razif lagi sambil menunjuk bilik Izati disebelah. Izati adalah rakan kongsi mereka, yang juga merupakan seorang pakar sakit puan di klinik itu.
            “Ye..Sorry lah, aku kan dah minta maaf ni.”
            “Sorry..sorrySorry naik lori lah!”
            Airil terus ketawa apabila mendengar kata-kata Razif. Kawannya yang seorang itu kalau merajuk mengalahkan perempuan. Mentang-mentang setiap hari rawat pesakit perempuan!
            “Hah, gelaklah puas-puas. Besok biar aku pula yang datang lambat.” Ugut Razif sambil mengangkat jari telunjuknya. Kelewatan Airil pagi tadi membuatkan dia tak cukup nafas, tak cukup tangan melayan karenah pesakit. Sementelahan majoriti  yang datang ingin dirawat oleh Doktor Zahiril Nizam Rahmat, bukan Doktor Razif Johari!
            Ye lah, muka iras Baim Wong. Lemah lembut pula tu. Manalah pesakit tak suka, lagi-lagi pesakit perempuan. Bebel Razif dalam hati.
            Eleh, bukannya famous pun Baim Wong tu. Cemuhnya lagi.
            “Ok, aku minta maaf. Lain kali aku tak buat lagi.” Airil masih dengan sisa tawanya mengangkat kedua-dua tangan.
            “Hari ni aku belanja kau lunch.” Pujuk Airil lagi sambil mengenyitkan mata.
            Perlahan-lahan Razif tersenyum sambil mengangguk.
“Ok.”
            Airil tersengih. Dia tahu, Kelemahan sahabatnya itu ialah apabila diajak makan. Mana badan tak debab!
            “Aku pun dah lapar ni dari pagi aku tak makan lagi.” Ujar Razif sambil menggosok-gosok perutnya.
            “Ye...Dahlah,Jom!” Airil segera bangun.
            “Kejap!”
            Pergerakan Airil terhenti. Dia memusingkan badan. Keningnya berkerut memandang wajah Razif yang tangannya seperti polis trafik menahan kenderaan dari bergerak!
            Kejap pulak, tadi cakap dah kebulur sangat!
            “Apa lagi ni?”
            Razif tersenyum. “Kau duduklah dulu.”
            Airil merengus sebelum duduk semula di hadapan Razif. “Hah, ada apa lagi? Tadi cakap dah lapar sangat.” Ujar Airil dengan matanya balik-balik tertancap ke arah jam di pergelangan tangan.
            Dah 1.15, ada tak sempat makan ni kang. Bebel Airil dalam hati.
            “Tadi aku tak sempat nak tanya. Ye lah tadikan aku merajuk dengan kau.” Jawab Razif tersengih.
            Airil mencebik. Merajuk konon, aku tampar baru tau!
            “Hah, cepatlah apa dia? Dah satu suku lah wei.” Ujar Airil sambil menunjuk-nunjuk jam di pergelangan tangannya itu.
            Razif ketawa sebelum memandang tepat wajah Airil. “Apesal kau lambat tadi? Tak pernah-pernah kau buat sebelum ni?”
            “Laaa…apa punya pentinglah soalan kau tanya ni. Aku terlewat bangun lah, apa lagi.”
            “Bohong!”
            Airil tersentak. Dah buat tebiat ke apa si Razif ni nak menjerit-jerit?
            Razif tersenyum sumbing. Airil yang dikenalinya adalah seorang yang sangat menepati masa. Tak pernah dia lambat atas alasan-alasan yang tidak munasabah. Kecuali…
            “Kau dah jatuh cinta semula ke?”
            Sekali lagi Airil tersentak. Bibirnya cuba mengucapkan sesuatu namun tidak terluah oleh lidah. Matanya kemudian tajam memandang Razif yang ketawa berdekah-dekah di hadapannya.
Macam aku nak luku je mamat debab ni, entah apa yang lucu!
Akhirnya Airil turut tersenyum. Memang perasaan itu yang dirasainya ketika ini! Namun senyuman itu mati apabila mengingatkan sesuatu yang mengganggu emosinya..
Mana nak cari Arina?
Airil mengaru kepalanya yang tidak gatal.
Ibu, tolong..orang dah angau!
***
           

           







Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen